Kajian Lapangan SK St Augustine, Meradong

1.0       Penerangan Tentang Sejarah Penubuhan Sekolah, Cogan Kata, Visi Dan Misi Sekolah Serta Maksud Warna Dan Simbol Pada Lencana Dan Bendera Sekolah
Sekolah Kebangsaan St. Augustine ditubuhkan pada tahun 1927 oleh seorang paderi Kristian Katolik tersebut dikenali sebagai Rev. Leonard v.d Bergh. Tujuan utama beliau membina sekolah ini adalah untuk mendidik orang dan menyebarkan agama Katolik. Pada 11 November 1952, Jabatan Pendidikan Kuching memberikan kelulusan bagi SK St. Augustine untuk mengadakan aliran Bahasa Cina. Pada masa itu, bangunan St. Augustine ini dibuat daripada papan dan kayu dua tingkat. Pada tahun 1957, sebuah rumah asrama telah dibina. Asrama ini khusus untuk murid-murd Iban yang datang dari rumah panjang yang jauh dari Bandar Bintangor. Apabila Majlis Daerah Meradong membina sekolah tempatan untuk setiap kampung di seluruh Daerah Meradong, tiada murid lagi yang menetap di asrama Sk. St. Augustine semenjak tahun 1966. Pada tahun 1927, bangunan sekolah yang dibina didapati tidak selamat. Justeru itu, atas sumbangan separuh wang dibantu oleh kerajaan dan separuh wang diderma dari penduduk di Bandar Bintangor maka bangunan baru siap dibina pada tahun 1969. Bangunan yang lama dimusnahkan pada Ogos 1969. Kemudian sebuah bangsal untuk meletakkan kereta, motosikal dan basikal telah dibina pada tahun 1986. Pada masa kini, SK St. Augustine merupakan sebuah sekolah rendah yang menggunakan Bahasa Melayu. Sekolah ini mempunyai 13 orang guru termasuklah Guru Besar, dua staf sokongan dan 163 orang murid.

            Cogan kata Sekolah Kebangsaan St. Augustine adalah Ketekunan Asas Kejayaan. Cogan kata ini menekankan kepada perkataan KETEKUNAN. Ketekunan ini menjadi tonggak kepada kejayaan yang cemerlang sama ada bagi murid-murid atau guru-guru sekaligus menjulang nama baik sekolah sejajar dengan visi sekolah. Sekolah Kebangsaan St. Augustine mempunyai visi dan misi tersendiri. Visi Sekolah Kebangsaan St. Augustine berhasrat untuk menyediakan kemudahan, persekitaran serta suasana pengajaran dan pembelajaran yang optimum dan harmonis untuk mencungkil dan mengasah potensi murid sebagai landasan asas perkembangan individu kearah mencapai kegemilangan dalam bidang akademik, kokurikulum, dan sahsiah agar menjurus ke arah pembangunan kemanusiaan yang positif sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Manakala, misi Sekolah Kebangsaan St. Augustine adalah untuk melahirkan individu yang berilmu, berwibawa dan berketrampilan. Selain itu, sekolah ini juga mengutamakan kepada Pendidikan Berkualiti secara formal atau tidak formal dengan berlandaskan penerapan nilai-nilai murni, mengembangkan potensi, bakat dan minat individu secara berterusan dan menyeronokkan. Misi sekolah ini juga adalah untuk menyemaikan persefahaman dan permuafakatan untuk mewujudkan suasana harmonis di kalangan warga sekolah yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya yang berlainan seterusnya meningkatkan keputusan peperiksaan secara berterusan.

            Sekolah Kebangsaan St. Augustine juga mempunyai matlamatnya tersendiri yang ingin dicapai. Sekolah ini berusaha untuk mencapai ke arah kecemerlangan untuk menyediakan warga sekolah bagi menghadapi cabaran dari masa ke semasa, mewujudkan budaya kerja dan budaya belajar yang berkualiti dan cemerlang serta menjadikan warga sekolah ke arah yang lebih unggul, bestari yang berteraskan akronium “CUT APPLE A” Caring, Understanding, Trusting, Accepting, Patience, Positive Thinking, Listening Empathy, Assertive. Sekolah ini juga bermatlamat untuk mengoptimumkan penggunaan semua sumber bagi memantapkan lagi keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran, menyediakan sekolah yang ceria, menyeronokkan sebagai tempat belajar (A Learning School), serta melibatkan PIBG dan komuniti setempat secara aktif ke arah mencapai visi sekolah.

            Sekolah Kebangsaan St. Augustine juga mempunyai lencananya sendiri. Di sebalik lencana ini, ia mempunyai maksud-maksud tertentu iaitu dari segi warna dan juga bentuknya. Dari segi warna lencana ini, terdapat lima warna iaitu biru, putih, kuning, merah, dan hijau. Warna biru melambangkan perpaduan dan keharmonian di kalangan warga sekolah St Augustine. Manakala warna putih pula melambangkan keluhuran dan kesucian hati budi warga sekolah St. Augustine. Warna kuning pula bermaksud kesetiaan dan kepatuhan kepada semua undang-undang dan peraturan. Bagi warna merah, ia bermaksud keberanian, kesanggupan, ketegasan, dan kekentalan semangat untuk melakukan tugas dan cita-cita. Warna yang terakhir iaitu warna hijau membawa maksud kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah tersebut. Dari segi bentuk pula terdapat tiga jenis bentuk iaitu bentuk tujuh bulatan, obor, dan buku. Bentuk tujuh bulatan bermaksud perpaduan, permuafakatan dan persefahaman antara warga sekolah yang berbilang kaum seperti Iban, Cina, Melayu, Melanau, Kenyah, Bidayuh dan Punan. Bentuk obor pula membawa maksud semangat membara dalam setiap diri warga sekolah untuk menerangi hala tuju dan merealisasikan misi, visi dan matlamat sekolah. Bentuk buku pula menegaskan kepentingan kecemerlangan akademik murid-murid.
2.0       Penjelasan Tentang Program Dan Projek Berimpak Tinggi Yang Dilaksanakan Untuk Membangunkan Kecemerlangan Sekolah
           
Sekolah merupakan sebuah institusi yang dibina untuk mendidik dan mengajar anak bangsa supaya menjadi insan yang berilmu dalam memajukan negara pada masa akan datang. Oleh yang demikian, setiap sekolah tidak lari dari melaksanakan program dan projek yang berimpak tinggi bagi membangunkan kecemerlangan sekolah. Sehubungan itu, berdasarkan kajian dan temu bual dari warga sekolah St. Augustine kami telah mendapati bahawa sekolah ini mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah. Pihak sekolah telah melaksanakan banyak program dan projek, khasnya dari aspek kurikulum, kokurikulum serta pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Dari aspek kurikulum, sekolah ini telah mengadakan beberapa program untuk membangunkan kecemerlangan sekolah. Antara projek atau program yang telah dilaksanakan ialah kelas tambahan, kelas maju dan juga bengkel motivasi. Program kelas tambahan ini melibatkan murid-murid yang berada pada tahap dua yang terdiri daripada tahun 4, 5 dan 6. Manakala mata pelajaran yang diajar dalam kelas tambahan yang dijalankan adalah mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Kelas tambahan diwajibkan sejak murid berada pada tahun 4 bagi mendedahkan mereka dengan soalan-soalan sebenar peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain itu, pelaksanaan program ini juga bermatlamat untuk membimbing murid supaya tahu menjawab soalan sebenar peperiksaan UPSR. Program kedua iaitu kelas maju untuk tujuan kelas pemulihan kepada para pelajar yang masih lemah dalam pembacaan dan pengiraan. Kelas ini melibatkan semua murid bermula dari tahun 1 sehinggalah tahun 6. Selain itu, sekolah ini juga mengadakan program motivasi yang dikhaskan kepada murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September nanti. Guru-guru tahun 6 terutamanya mereka yang ada mengajar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan juga Bahasa Inggeris telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya agar mampu mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Bintangor dan juga lembaga sekolah turut terlibat dalam program  ini.

Seterusnya dari aspek kokurikulum, sekolah ini telah menyediakan jadual aktiviti yang akan dijalankan pada setiap minggu. Aktiviti yang dilakukan adalah berlainan pada setiap minggu. Dalam pada itu, sekolah ini hanya memberikan latihan mengikut keperluan untuk menghadapi setiap pertandingan yang akan disertai. Ini bermakna, latihan akan diadakan sekiranya ada acara yang akan disertai.  Menurut Penolong Kanan Kokurikulum, sekolah ini  memberikan tumpuan yang lebih terhadap sukan yang mempunyai potensi untuk menang seperti acara trek, badminton, bola jaring dan sepak takraw.

Sekolah ini juga membangunkan kecemerlangan melalui pengurusan dan pentadbiran sekolah. Walaupun tidak mempunyai guru cemerlang berikutan ketiadaan guru yang memohon, namun sekolah ini masih mengamalkan budaya kerja yang cemerlang sehingga diisytiharkan sebagai Sekolah Harapan Negara Bahagian Sarikei pada tahun 2002.  Sekolah ini juga, hanya mempunyai 20 orang guru  yang mana 18 orang daripadanya adalah guru siswazah manakala 2 orang lagi adalah guru bukan siswazah. Manakala, dari aspek prasarana pula, banyak pembangunan yang telah dilaksanakan sejak dari penubuhannya. Pada tahun 2005, sekolah ini telah menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM 200 ribu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi pada ketika itu. Dengan wang inilah sekolah telah membaiki bangunan yang sedia ada yang agak uzur pada ketika itu.

Selain itu, pada tahun lepas  sekolah St Augustine telah berjaya membina bangunan pentadbiran baru yang  bilik guru, bilik guru penolong kanan, bilik guru besar dan juga pejabat am. Bangunan pentadbiran yang baru, turut dilengkapi dengan penghawa dingin serta lebih selesa berbanding dengan bangunan pentadbiran yang lama. Di samping itu, sekolah ini  turut berhasil membina dewan sekolah yang digunakan sebagai tapak perhimpunan, gelanggang permainan dan sebagainya hasil sumbangan orang persendirian seperti pihak ibu bapa dan juga kutipan derma dari orang-orang yang berpangkat tinggi.

Kesimpulannya dalam usaha untuk membangunkan kecemerlangan sekolah, pihak pengurusan dan pentadbiran hendaklah merancang dan melaksanakan program-program yang mampu menjadikan sesebuah sekolah cemerlang dalam semua aspek. Dalam hal ini, jelaslah bahawa Sekolah Kebangsaan St Augustine telah melaksanakan program-program yang berimpak tinggi sehingga sekolah ini telah berjaya meraih gelaran sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2002.

3.0       Menilai Dan Memberi Justifikasi Tentang Keberkesanan Usaha-Usaha Untuk Mengekalkan Kebersihan Dan Keindahan Sekolah
Selain dari aspek akademik dan kokurikulum, SK St. Augustine turut memberi tumpuan terhadap aspek pengurusan kawasan sekolah. Di mana setiap warga sekolah ini bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah. Di samping itu, program keselamatan, kebersihan dan keindahan alam sekitar sekolah (3K) juga diberi perhatian.

            Matlamat program 3K sekolah ini berhasratkan supaya warga sekolah mengamalkan kebersihan secara menyeluruh dan berterusan tanpa batas, ruang, masa untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang bersih, ceria, kemas, teratur, selesa, sihat dan selamat bagi meransang perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani mereka. Di mana terdapat empat objektif program 3K di sekolah iaitu meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan amalan kebersihan diri, persekitan di kalangan warga sekolah. Objektif kedua, menjadikan warga sekolah sentiasa bersih, sihat, cergas, aktif dan positf menjalani aktiviti harian. Objektif ketiga adalah mewujudkan persekitan sekolah yang bersih, menarik, ceria, selamat dan selesa. Objektif seterusnya ialah meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti dan kebersihan, keindahan dan keselamatan sekolah.

            Berdasarkan maklumat yang telah diperolehi, SK St. Augustine telah menetapkan jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab melaksanakan program 3K. Selaras dengan program 3K, tiga jawatankuasa kecil (JK) ditubuhkan iaitu JK Keselamatan,JK kebersihan dan JK keceriaan. Setiap jawatan kuasa tersebut mempunyai peranan masing-masing. Pembahagian JK ini bertujuan untuk meningkatan kelancaran pelaksanaan program 3K. Walau bagaimanapun, selain daripada projek 3K, sekolah ini turut melaksanakan Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS). Dalam program ini, SK St. Augustine telah menubuhkan jawatankuasa PBSS peringkat sekolah dan melaksanakan program kesihatan PBSS kebangsaan.

            Selain daripada memperoleh anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri, SK St. Augustine turut melonjakkan nama sekolah melalui program 3K di peringkat Kebangsaan. Di mana SK St. Augustine telah mendapat Naib Johan dalam Pertandingan 3K pada tahun 2000. Selain itu, SK St. Augustine juga berjaya mendapat Johan dalam Pertandingan Halaman Cantik & Keceriaan bahagian Miri-Bintulu pada tahun 2001. Manakala, pada tahun 2003, sekolah ini mendapat sijil penyertaan dalam pertandingan 3K. selain itu, pada tahun yang sama, sekolah ini juga berjaya merangkul pingat gangsa dalam Program Bersepadu Sekolah Sihat peringkat Negeri Sarawak. Kejayaan SK St. Augustine ini telah menunjukkan bahawa sekolah ini mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam bidang akademik namun turut berpotensi dalam pelbagai aspek. Dengan kejayaan ini, tidak dinafikan bahawa SK St. Augustine merupakan sebuah institusi pendidikan yang perlu dibanggakan.

            Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sekolah ini sentiasa melaksanakan program kesihatan dan keselamatan sepanjang tahun. Contohnya, Program Bersatu Sekolah Sihat, Program Sekolah Selamat dan Program Bebas Denggi. Melalui pelaksanaan program tersebut, catatan menunjukkan tiada kes kesihatan yang serius begitu juga dengan kes kemalangan adalah sifar dan tiada kes demam denggi. Sesungguhnya, program tersebut menunjukkan keprihatinan pihak sekolah terhadap kesihatan, keselamatan dan selesaan warga sekolah. 

            Walau bagaimanapun, gotong-royong akan diadakan mengikut keperluan sekolah. Gotong-royong ini biasanya melibatkan ibu bapa. Di mana penglibatan murid lebih tertumpu kepada kebersihan kelas. Semasa gotong-royong diadakan peralatan akan disediakan oleh pihak sekolah, namun terdapat juga peralatan yang disediakan oleh ibu bapa seperti chainsaw.  Selain itu, sekolah turut menyediakan makanan dan minuman. Kerjasama ibu pada dengan pihak sekolah ini menunjukan hubungan yang erat dan kukuh. Sesungguhnya, gotong-royong seperti ini adalah salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan sekolah dengan ibu bapa.

            Jelas bahawa program 3K yang dilaksanakan di sekolah ini dilaksanakan dengan kerjasama semua warganya. Justeru, peranan semua pihak yang terlibat terutamanya guru-guru, staf sokongan, ibu bapa dan murid di SK St. Augustine sangat memainkan peranan penting dalam menjayakan program 3K hingga ke peringkat kebangsaan. Kerjasama daripada semua pihak dalam program 3K membuktikan sekolah ini boleh dijadikan sebuah institusi pendidikan yang perlu dibanggakan.





4.0       Idea-Idea Yang Rasional Tentang Sekolah Sebagai Institusi Pendidikan Yang Perlu Dibanggakan
Secara umumnya, sekolah berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan, yakni tempat untuk menimba ilmu pengetahuan dan mendidik seseorang. Bagi SK St Augustine, peranan sekolah jelas digariskan dalam Visi dan Misi sekolah ini. Visi sekolah ini ialah berhasrat untuk menyediakan kemudahan, persekitaran serta suasana pengajaran dan pembelajaran yang optimum dan harmonis untuk mencungkil dan mengasah potensi murid sebagai landasan asas perkembangan individu ke arah mencapai kegemilangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah agar menjurus ke arah pembangunan kemanusiaan yang positif sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Manakala, misi sekolah ini pula melahirkan individu yang berilmu, berwibawa dan berketrampilan, mengutamakan kepada pendidikan berkualiti secara formal atau tidak formal dengan berlandaskan penerapan nilai-nilai murni, mengembangkan potensi, bakat dan minat individu secara berterusan dan menyeronokkan. Di samping itu, sekolah ini juga berusaha ke arah menyemaikan persefahaman dan permuafakatan untuk mewujudkan suasana harmonis dalam kalangan warga sekolah yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya yang berlainan, seterusnya meningkatkan potensi keputusan peperiksaan secara berterusan.

Hasil temu bual kami bersama Guru Besar Sk St Augustine, Encik William Awing, kami berpendapat dan yakin bahawa sekolah ini mampu melahirkan insan yang dibanggakan di masa hadapan. SK St Augustine merupakan sekolah yang tertua di daerah Meradong, yang mana telah dibina pada tahun 1927. Sepanjang penubuhannya, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya mencapai segulung ijazah di universiti. Sesungguhnya, sekolah ini telah melahirkan banyak doktor, peguam, jurutera, usahawan berjaya termasuklah menjadi Menteri di Kabinet Malaysia, iaitu YB Datuk Joseph Salang Ak Gandum. Kejayaan-kejayaan ini difahamkan merupakan hasil daripada budaya sekolah mubaligh yang kukuh di sekolah ini. Budaya sekolah mubaligh ini amat mementingkan disiplin yang tinggi, di mana peraturan perlu dipatuhi dan usaha belajar yang jitu dalam kalangan pelajar. Hal ini secara tidak langsung memudahkan pihak guru menguruskan pelajar dan berfikiran terbuka dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah.

Bukan sahaja dari aspek pencapaian kurikulum, SK St Augustine juga merupakan sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan dari aspek kokurikulum. Pada tahun 2014 sahaja, pelajar sekolah ini berjaya mewakili sekolah di peringkat Negeri Sarawak dalam Pertandingan Badminton dan Olahraga. Antaranya ialah adik Sharlene, Tahun 6 yang telah mendapat Johan dalam Olahraga MSSR Peringkat Negeri Sarawak dan adik Fletcher, Tahun 6 yang telah mendapat Naib Johan dalam Pertandingan Badminton di Peringkat Negeri Sarawak. Begitu juga, pasukan sepak takraw sekolah ini turut berjaya mendapat Johan dalam Pertandingan Sepak Takraw di peringkat bahagian Sarikei. Kejayaan ini telah membuktikan bahawa sekolah ini mampu menjadi sebuah institusi pendidikan yang membanggakan bukan sahaja dari aspek akademik, malahan aspek kokurikulum.

Seterusnya, SK St Augustine juga pernah mendapat Anugerah Sekolah Harapan Negara bagi kategori Sekolah Rendah Harian Luar Bandar Peringkat Negeri Sarawak. pada tahun 2002. Anugerah ini merupakan satu penanda aras yang besar bagi sekolah ini ke arah pencapaian sekolah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Begitu juga, pada tahun 2013, bilangan murid yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR ialah seramai 3 orang dan peratus kelulusan penuh pula sebanyak 78.56%. Keputusan UPSR tersebut merupakan antara yang terbaik di daerah Meradong.

Menurut Guru Besar Sk St Augustine ini juga, sekolah ini telah menunjukkan peningkatan dalam akademik semenjak ditubuhkan. Walaupun terdapat penurunan dan peningkatan dalam pencapaian akademik seperti dalam keputusan UPSR, sekolah ini tetap berjaya muncul antara sekolah yang terbaik di daerah Meradong. Berdasarkan statistik yang diberikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Kussanawati Saibi, dari tahun 2009 sehingga 2013, sekolah ini telah menunjukkan peningkatan dari aspek pencapaian akademik, khasnya pada tahun 2012, di mana peratus kelulusan UPSR telah meningkat sebanyak lebih 15%, iaitu dari 68.42% pada tahun 2011 kepada 83.33% pada tahun 2012. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa sekolah ini mampu menjadi sebuah institusi pendidikan yang membanggakan.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, bukan sahaja dari aspek jasmani dan intelek, malahan aspek emosi dan rohani turut diberi penekanan dalam sistem pendidikan. Di Sk St Augustine, aspek kerohanian amat dititikberatkan. Warga sekolah ini percaya bahawa jati diri pelajar dapat diperkukuhkan melalui perkembangan emosi dan rohani yang mantap. Sesuai dengan status sebagai sebuah sekolah mubaligh, tuntutan agama diterapkan di sekolah. Setiap pagi sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan membaca doa pembukaan di dalam kelas masing. Begitu juga selepas berakhirnya sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut. Seterusnya, pelajar juga akan membaca doa makan di gelanggang sebelum mengambil makanan RMT. Keadaan ini merupakan satu budaya yang berteruskan dijalankan di sekolah ini sejak penubuhannya dari awal lagi. Sesungguhnya, berkat daripada doa pelajar dan guru, segala ilmu dan kemahiran dapat diterima dan diaplikasikan dengan mudah dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Di samping itu, pihak sekolah juga telah melaksanakan banyak program sebagai satu usaha untuk melahirkan insan yang berketrampilan selaras dengan Misi sekolah. Hasil dari temu bual bersama Guru Besar Sk St Augustine, dapat dirumuskan bahawa usaha pihak sekolah ini bermula dari peringkat rendah, iaitu dari Tahun 1 sehinggalah ke Tahun 6. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Latihan dan usaha secara berterusan ini akan memudahkan pihak sekolah dalam melahirkan insan yang berketrampilan dari pelbagai aspek seperti jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Antara usaha yang dilaksanakan untuk aktiviti kurikulum (intelek) adalah seperti kuiz, kelas tambahan, pertandingan bercerita dan NILAM. Manakala, dari aspek jasmani, sekolah ini melaksanakan aktiviti kokurikulum pada waktu petang sebagai satu keperluan seperti aktiviti permainan dan persatuan. Begitu juga, dari aspek kerohanian, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk menerapkan budaya berdoa dalam kalangan pelajar. Program Penghayatan Kerohanian turut dilaksanakan di sekolah untuk memberi kesedaran mengenai betapa pentingkan aspek kerohanian dalam melahirkan insan yang berketrampilan seterusnya menjadikan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan.

Sesungguhnya, sekolah ini mempunyai kunci kejayaannya yang tersendiri. Hasil daripada pemerhatian projek yang telah dilaksanakan, kunci kejayaan sekolah ini adalah terletak pada disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar dan guru. Kerjasama yang jitu ditunjukkan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan dan prestasi sekolah ini, khasnya dari aspek kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga, budaya sekolah mubaligh yang menekankan disiplin dan kerohanian yang kukuh dalam kalangan pelajar merupakan kunci kejayaan sekolah ini. Kesimpulannya, Sk St. Augustine merupakan sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan.



Hasil Pembentangan,
Anita Dilam,
Haina Dinol,
Suzie Defrin
Sabit Angong



No comments: