Penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British: Sebab-Sebab Penyerahan dan Reaksi Rakyat Tempatan

1.0          PENGENALAN
Charles Vyner Brooke telah mengisytiharkan penyerahan Sarawak kepada British pada 8 Februari 1946. Namun, penyerahan ini telah mendapat bantahan yang hebat oleh rakyat tempatan. Ekoran bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke merujuk kepada Majlis Negeri yang kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan 16 menentang. Pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British. Manakala, di Sabah, British telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB) pada 26 Jun 1946. Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara secara rasminya diisytiharkan menjadi tanah jajahan British.

            Penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British ini berlaku atas beberapa sebab, sama ada faktor dalaman atau luaran. Penyerahan Sarawak misalnya, berlaku disebabkan oleh masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke, keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun dan sejarah hubungan diplomatik antara British dan Sarawak. Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British adalah disebabkan kerosakan yang dialami selepas pendudukan Jepun, hubungan erat SBUB dengan kerajaan British dan sistem pentadbiran SBUB yang lapuk dan ketinggalan zaman dan kepentingan ekonomi British sendiri di Sabah. Sebab-sebab penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam tugasan ini.

            Begitu juga, penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British ini telah mendapat reaksi daripada rakyat tempatan. Segelintir rakyat menerima penyerahan ini, tetapi sebilangan besar rakyat menentang penyerahan tersebut. Di Sarawak, penyerahan ini telah mendapat tentangan hebat khasnya dari masyarakat Melayu dan Iban. Manakala, hal yang sebaliknya berlaku di Sabah. Penyerahan Sabah kepada British tidak mendapat sebarang bantahan yang berkesan. Bantahan yang dilakukan hanyalah penentangan yang dilakukan oleh waris Kesultanan Sulu yang mendakwa Sabah merupakan kepunyaan mereka. Dalam tugasan ini, reaksi-reaksi rakyat tempatan terhadap penyerahan ini akan dianalisis secara kritikal.





2.0          PENYERAHAN SARAWAK KEPADA BRITISH
2.1          Sebab-Sebab Penyerahan

Sarawak telah dibebaskan dari cengkaman Jepun oleh tentera Australia dan askar-askar Pihak Berikat pada tahun 1945. Setelah kekalahan Jepun, Pentadbiran Tentera British (BMA) telah diperkenalkan di Sarawak pada November 1945. Sarawak telah diletakkan di bawah BMA sehingga tahun 1946. Menurut Sheela (1993), semasa pendudukan Jepun, Charles Vyner Brooke menetap di Australia untuk meneruskan usahanya dalam menguruskan masa depan Sarawak. Charles Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak hanya selepas pemerintahan BMA ditamatkan.

            Sebelum Charles Vyner Brooke kembali ke Sarawak, satu rundingan telah diadakan di antara beliau dengan pihak British yang akhirnya membawa kepada keputusannya untuk menyerahkan Sarawak kepada British. Hal ini turut disokong oleh Sheela (1993), di mana beliau menyatakan bahawa rundingan telah diadakan di London untuk menyerahkan Sarawak semasa Sarawak diduduki oleh Jepun. Pengumuman penyerahan Sarawak kepada British telah dibuat oleh Charles Vyner Brooke pada 8 Februari 1946 di London. Namun, penyerahan ini telah mendapat bantahan yang hebat oleh rakyat tempatan. Ekoran bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke merujuk kepada Majlis Negeri yang kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan 16 menentang. Walau bagaimanapun, merujuk kepada buku Malaysia Kita (1991), persidangan ini hanyalah untuk mengaburi pandangan masyarakat antarabangsa dan tempatan. Akhirnya, pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British.

            Sesungguhnya, penyerahan Sarawak kepada British adalah disebabkan oleh beberapa faktor penting. Pertama, masalah dalaman yang dihadapi oleh keluarga Brooke; kedua, berkait rapat dengan sejarah hubungan diplomatik di antara Sarawak dengan Britain; yang ketiga, kedudukan serta keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun; dan seterusnya ialah kepentingan ekonomi British di Sarawak. Masalah dalaman keluarga Brooke berpunca daripada konflik di antara Charles Vyner Brooke dengan adiknya, Betram Brooke. Konflik kedua-duanya telah merumitkan lagi pentadbiran di British. Keadaan ini diburukkan lagi apabila Charles Vyner Brooke telah menggubal Perlembangan 1941 tanpa berbincang dengan Betram Brooke. Begitu juga, pada tahun 1946, Charles Vyner Brooke telah mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British tanpa memberitahu adiknya.

            Charles Vyner Brooke tidak memiliki anak lelaki untuk mewarisi takhtanya. Keadaannya yang uzur telah membuatkannya berpendapat bahawa pilihan untuk menyerahkan Sarawak kepada British adalah satu pilihan yang tepat dan sesuai dengan masanya. Manakala, Betram Brooke mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Anthony Brooke. Walau bagaimanapun, Charles Vyner Brooke mendapati Anthony tidak sesuai dengan sikap dan pendiriannya. Anthony bersikap kasar dan berlaku curang. Mac 1939, Anthony telah dilantik sebagai Raja Muda Sarawak, tetapi dipecat disebabkan oleh perlakuannya yang kasar dan curang tersebut. Sheela (1993), turut mengatakan bahawa Charles Vyner Brooke tidak mempunyai keyakinan atas Anthony Brooke untuk menggantikan takhta kerajaan Sarawak. Masalah dalaman keluarga Brooke inilah yang telah mendorong Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak British.

            Seterusnya, perlu kita ketahui bahawa Sarawak sudah mempunyai perhubungan rasmi dengan Britain semenjak tahun 1888 sebagai negeri lindungan. Perlindungan ini telah memberi kuasa kepada pihak British untuk mengawal hal ehwal negeri Sarawak dan menyatakan bahawa Sarawak tidak boleh diserahkan atau digadaikan kepada mana-mana pihak tanpa persetujuan British. Menurut Sheela (1993), campur tangan British lebih meluas lagi apabila satu perjanjian telah ditandatangani pada 22 November 1941 antara Charles Vyner Brooke dengan kerajaan British. Menurut perjanjian ini, seorang wakil British akan ditempatkan di Sarawak sebagai penasihat kepada Raja Sarawak. Charles Vyner Brooke berpendapat bahawa penerusan pemerintahan ‘Raja Putih’ sudah tidak sesuai lagi dengan adanya kemajuan politik moden. Jelas dilihat bahawa Charles Vyner Brooke tidak berminat lagi untuk meneruskan pemerintahannya di Sarawak dan berniat untuk menjual Sarawak kepada British. Akhirnya, Charles Vyner Brooke telah menandatangani dokumen penyerahan pada 20 Mei 1946 dan Sarawak telah diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946.

            Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Sarawak telah mengalami kemusnahan yang teruk dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memulihkan kembali keadaan tersebut. Keluarga Brooke tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung dan membiayai kerja-kerja pemulihan tersebut. Hal ini turut dinyatakan oleh Sheela (1993), yang mengatakan bahawa niat Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak adalah untuk kepentingan rakyat dan hanya kerajaan British berkemampuan untuk menanggung beban pembangunan semula dan pemulihan. Keadaan ini telah mendorong Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak British untuk memberi kuasa kepada British dalam membangunkan semula Sarawak.

            Seterusnya, penyerahan Sarawak kepada British turut disebabkan oleh desakan British sendiri. Desakan ini berpunca daripada kepentingan ekonomi British di Sarawak, iaitu jaminan pelaburan pemodal British. Pelaburan pemodal British dalam ladang-ladang getah, lada hitam, sagu dan kelapa kering. Mereka juga memiliki pelaburan dalam syarikat pembalakan dan petroleum. Hasil keluaran ini boleh didapati dengan mudah di Sarawak dan Sabah, dan keadaan ini sangat diperlukan oleh British untuk mengembangkan perindustriannya. Selain itu, Sabihah (1990), juga menyatakan bahawa penjajahan British di Sarawak adalah disebabkan oleh potensi negeri ini sebagai pembekal bahan mentah dan tempat pemasaran barangan keluaran Britain.

            Kesimpulannya, penyerahan Sarawak kepada British disebabkan oleh empat faktor utama iaitu masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke, sejarah hubungan diplomatik British dan Brooke, keadaan negeri Sarawak selepas pendudukan Jepun serta kepentingan ekonomi pihak British di Sarawak. Faktor-faktor inilah yang telah menjadi pendorong kepada Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946.



2.2          Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan
Pengisytiharan penyerahan Sarawak yang dilakukan oleh Charles Vyner Brooke telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan di Sarawak. Golongan yang menentang hebat penyerahan ini terdiri daripada orang Melayu dan orang Iban. Gerakan penentangan ini dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan (anti-cession movement). Gerakan anti-penyerahan ini dilakukan atas dua sebab utama. Pertama, penyerahan Sarawak bertentangan dengan Perlembagaan 1941; dan yang kedua, Charles Vyner Brooke tidak berunding bersama pemimpin tempatan terlebih dahulu.

            Menurut Sheela (1993), Charles Vyner Brooke telah menjanjikan pemerintahan sendiri kepada Sarawak menjelang Perang Dunia Kedua melalui Perlembagaan 1941. Gerakan ini mahukan Brooke terus memerintah Sarawak kerana penjajahan British hanya akan melambatkan lagi proses kemerdekaan yang ingin dicapai. Mendapatkan kemerdekaan di bawah pemerintahan Brooke dapat dilakukan dengan cara yang mudah kerana pentadbiran Brooke telah menjadi semakin lemah. Namun, sekiranya Sarawak diserahkan kepada British, usaha untuk mendapatkan kemerdekaan akan menjadi lebih sukar dan mengambil masa yang agak lama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan ini wujud disebabkan oleh tindakan Charles Vyner Brooke yang menyerahkan Sarawak kepada British tanpa berunding atau bertanya terlebih dahulu kepada pemimpin-pemimpin Bumiputera di Sarawak.

            Gerakan anti-penyerahan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu telah diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (gambar; rujuk lampiran). Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah membuat bantahan semasa Rang Undang-Undang Penyerahan dibahaskan. Penentangan ini turut dilakukan disebabkan penyerahan yang bertentangan dengan Perlembagaan 1941 dan keputusan penyerahan yang dibuat tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera Sarawak. Begitu juga, penubuhan persatuan berkembangan secara drastik di Sarawak rentetan daripada gerakan anti-penyerahan ini. Menjelang awal tahun 1947, sebanyak 52 buah persatuan telah ditubuhkan di Sarawak dengan hasrat mementang penyerahan Sarawak kepada British. Menurut Sabihah (1990), antara persatuan yang ditubuhkan ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), Kesetiaan Melayu Matu, Kesetiaan Melayu Simanggang dan Persatuan Dayak Sarawak (PDS).

            Begitu juga, penentangan ini turut dilakukan oleh masyarakat Iban di Sarawak. Menurut Sutlive Jr. (1992), dalam kalangan masyarakat Iban, persatuan yang paling kuat menentang penyerahan Sarawak ini adalah Persatuan Dayak Sarawak (PDS). Persatuan ini telah menghantar bantahan mengenai penyerahan ini melalui telegram kepada pihak British. Di samping itu, dua orang wakil masyarakat Iban iaitu Philip Jitam dan Edward Jerah juga telah menentang penyerahan tersebut dalam sesi mengundi di Majlis Negeri pada 15 Mei 1946. Selain itu, di Sibu, Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) telah merekrut sebanyak 52 penghulu Iban, termasuk Temenggung Jugah dan Temenggung Koh (gambar; rujuk lampiran). Kedua-kedua mereka mempunyai posisi yang penting dan memberikan sokongan padu dalam pergerakan tersebut.

            Selain itu, gerakan anti-penyerahan tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki sahaja. Gerakan tersebut turut disertai oleh golongan wanita. Antara golongan wanita yang menentang hebat penyerahan Sarawak ialah Cikgu Lily Everwin (PKMS), Puan Hajah Sipah Tuanku Othman, Dayang Fauziah dan Cikgu Ajibah Abol (gambar; rujuk lampiran). Menurut Sabihah (1990), kaum ibu yang diketuai oleh Cikgu Lily Everwin telah pergi ke rumah-rumah panjang untuk mengadakan kempen kesedaran sama ada berjalan kaki ataupun menaiki bot. Begitu juga, menurut K. C. Jong (1983), Datuk Ajibal Abol turut memainkan peranan yang penting dalam gerakan anti-penyerahan. Beliau telah mengetuai kaum wanita untuk bergabung tenaga dengan gerakan anti-penyerahan untuk memperjuangkan kemerdekaan Sarawak dan bukannya menjadi koloni British.

            Penentangan demi penentangan telah dilakukan oleh rakyat tempatan di Sarawak sebagai tanda protes terhadap penyerahan Sarawak kepada British. Pelbagai cara telah dilakukan oleh gerakan anti-penyerahan ini untuk memperjuangkan misi mereka. Menurut Mohd. Hasbie (1989), golongan anti-penyerahan telah menghantar surat, kawat dan telegram bantahan kepada kerajaan British, tetapi tidak diendahkan oleh British. Gerakan ini turut menganjurkan tunjuk perasaan (gambar; rujuk lampiran)  dan bertindak memulaukan perlantikan Gabenor Sarawak. Tunjuk perasaan yang terbesar berlaku di Kuching pada 1 Julai 1947 yang disertai oleh PKMS, BPM dan PDS bagi membantah perlantikan Charles Arden Clarke sebagai Gabenor Sarawak yang pertama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan bertindak menampal poster dan sepanduk di setiap kampung dan juga kampus. Antara poster yang ditampal adalah mengandungi ayat provokatif seperti “Sarawak adalah hak kami, leburkan kolonial”.

            Pada mulanya, British hanya memandang ringan gerakan anti-penyerahan ini kerana berpendapat bahawa penentangan yang dilakukan hanya bersifat sementara. Walau bagaimanapun, apabila penentangan demi penentangan dilakukan tanpa menunjukkan pengakhiran, British bertindak mengeluarkan Pekeliling No. 9 pada Disember 1946. Pekeliling No. 9 ini bertujuan untuk melarang kakitangan kerajaan terlibat dengan gerakan anti-penyerahan. Menurut K. C. Jong (1983), akibat daripada larangan ini, sebanyak 337 orang kakitangan kerajaan telah bertindak meletakkan jawatan dan keadaan ini menyebabkan sebanyak satu pertiga buah sekolah Melayu kerajaan di Sarawak terpaksa ditutup.

            Kemuncak gerakan anti-penyerahan di Sabah adalah apabila Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), Sibu telah berhimpun secara sulit dan menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan Rukun Tiga Belas. Kumpulan ini  mempunyai 13 orang ahli dan diketuai oleh Awang Rambli. Kumpulan yang bersifat radikal ini telah bersumpah akan menghapuskan semua pegawai Inggeris dan Dato-dato Melayu yang menyokong penyerahan Sarawak (Sheela, 1993: 148). Pada 3 Disember 1949, gabenor kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart telah mengadakan lawatan rasmi yang pertama ke Sibu. Semasa lawatan beliau, ahli kumpulan Rukun 13 iaitu Rosli Dhobi, seorang guru pelatih di Maktab Perguruan Sarawak (gambar; rujuk lampiran) telah menikam Sir Duncan Stewart dan membunuhnya. Peristiwa pembunuhan ini telah menggemparkan pihak British sekaligus memberikan alasan kepada British untuk bertindak secara kekerasan. Rosli Dhobi (gambar; rujuk lampiran), Morshidi Sidek, Ramli Mohd Deli dan Bujang Suntong telah dikenakan hukuman gantung sampai mati pada 2 Mac 1950. Seramai 15 orang lagi yang dipercayai bersuhabat dalam pembunuhan tersebut turut dipenjarakan. Begitu juga, menurut Reece (1989), pada 6 Disember 1950, British telah mengharamkan Pergerakan Pemuda Melayu (PPM). Sehingga tahun 1951, selama lima tahun, gerakan anti-penyerahan ini tidak membuahkan hasil. Hal ini telah membawa kepada kelumpuhan gerakan ini secara berperingkat-peringkat.

            Kesimpulannya, penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan tentangan hebat daripada rakyat tempatan di Sarawak. Golongan yang menentang terdiri daripada orang Melayu yang diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, orang Iban yang diketuai oleh Temenggung Jugah dan Temenggung Koh serta kaum Ibu yang diketuai oleh Cikgu Lily Everwin dan Cikgu Ajibah Abol. Begitu juga, banyak persatuan seperti PDS, PPM, PKMS telah ditubuhkan untuk menyokong gerakan anti-penyerahan ini. Banyak cara yang telah dilakukan oleh gerakan anti-penyerahan ini seperti menghantar telegram, surat dan kawat kepada British, menampal poster dan menggantung sepanduk di kawasan kampung serta mengadakan tunjuk perasaan. Kemuncak gerakan anti-penyerahan ini adalah peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart di Sibu. Rentetan daripada pembunuhan tersebut, British mula menggunakan kekerasan untuk menghentikan gerakan anti-penyerahan. Akhirnya, gerakan anti-penyerahan tersebut telah dapat dilumpuhkan oleh pihak British.

3.0          PENYERAHAN SABAH KEPADA BRITISH
3.1          Sebab-Sebab Penyerahan

Seperti Sarawak, Sabah juga telah dibebaskan daripada pemerintahan Jepun oleh angkatan tentera Australia. Selepas pembebasan tersebut, pentadbiran Sabah telah diambil alih sementara oleh Pentadbiran Tentera Australia.  Menurut Sheela (1993), untuk memperbaiki kerosakan dan memulihkan undang-undang serta pentadbiran Sabah, Pentadbiran Tentera British telah diisytiharkan oleh Leftenan Jeneral L.J. Morshead pada 10 Jun 1945. Pemerintahan SBUB di Sabah selama 63 tahun berakhir apabila Sabah telah menjadi Tanah Jajahan British pada 15 Julai 1946. Penyerahan Sabah kepada pihak British telah didorong oleh beberapa faktor. Pertama, kerosakan yang dialami selepas pendudukan Jepun; kedua, hubungan erat British dengan SBUB; ketiga, kelemahan sistem pemerintahan SBUB; dan seterusnya, kepentingan British di Sabah.

            Selepas pendudukan Jepun, kerosakan akibat peperangan di Sabah adalah lebih teruk berbanding dengan keadaan di Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak. Hal ini turut disokong oleh Tregonning (1965), yang menyatakan bahawa Sabah ialah negeri yang terbinasa sekali akibat Perang Dunia Kedua daripada negeri-negeri jajahan British yang lain. Serangan tentera Berikat telah membinasakan bandar-bandar besar, perhubungan dan pengeluaran hasil eksport telah diberhentikan. Kerosakan ini memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar dan tidak mampu dipikul Kompeni. SBUB tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menyerahkan Sabah kepada British. Menurut Sheela (1993), Sir Neill Malcolm, pengerusi badan pengarah Kompeni menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai sumber kewangan untuk membangunkan semula negeri Sabah kecuali diserahkan kepada pentadbiran Tanah Jajahan British.

            Seterusnya, penyerahan Sabah dibuat hasil daripada wujudnya kerjasama yang erat di antara Sabah dan pihak British. Pada tahun 1881, British telah mengurniakan sebuah Piagam kepada Syarikat Berpiagam Sabah. Keadaan ini sebenarnya telah memperlihatkan penguasaan British terhadap Syarikat tersebut.  Sama seperti Perjanjian 1888 di Sarawak, Piagam tersebut telah mengikat Syarikat untuk memberikan hak istimewa kepada warganegara British dan Syarikat tidak boleh menjualkan atau menyerahkan Sabah kepada kuasa asing. Begitu juga, pada tahun 1888, Sabah telah menjadi negeri naungan British, sekaligus memberikan kuasa kepada British untuk menguasai perhubungan luar negeri dan pertahanan Sabah (Siti Aidah, 2007). Keadaan ini lah yang telah mendorong Syarikat untuk menyerahkan Sabah kepada British pada tahun 1946.

            Selain itu, kelemahan sistem pentadbiran SBUB juga telah menjadi satu faktor penting dalam penyerahan Sabah kepada British. SBUB telah mentadbir Sabah selama lebih 60 tahun. Dalam usia ini, pentadbiran SBUB di Sabah telah menjadi usang dan ketinggalan zaman. Seiring dengan perkembangan politik moden, sistem pentadbiran yang dilaksanakan oleh SBUB menjadi tidak relevan dan memerlukan pucuk pimpinan yang baharu. Menurut Buyong Aidil (1981), rundingan penyerahan hak tersebut telah dibuat di London. Setiausaha Tanah Jajahan telah mengisytiharkan kepada Dewan Rakyat mengenai perjanjian mengambil alih Sabah daripada kompeni pada 26 Jun 1945. Kerajaan British juga turut membayar wang pendahuluan sebanyak £860,000 untuk mengurangkan beban hutang kompeni.

            Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British turut disebabkan oleh kepentingan British di negeri tersebut. Menurut Sheela (1993), pada mulanya kerajaan British tidak berminat untuk mengambil alih Sabah kerana Perdana Menteri Clemer Atlee pada ketika itu mempunyai anti-dasar tanah jajahan dan sedang menyelesaikan soal pemberian kemerdekaan kepada Sri Lanka, Burma dan India. Walau bagaimanpun, setelah memikirkan kedudukan negeri ini dari pelbagai aspek, khasnya dari segi ekonomi, British akhirnya membuat keputusan untuk mengambil alih Sabah daripada SBUB. Kepentingan ekonomi British di Sabah jelas dilihat kerana Sabah merupakan satu negeri yang kaya dengan hasil pengeluaran seperti getah, lada hitam dan kayu balak yang amat penting bagi British untuk mengembangkan perindustriannya. Justeru itu, dapat kita simpulkan bahawa penjajahan British di Sabah adalah disebabkan oleh potensi negeri tersebut sebagai pembekal bahan mentah dan tempat pemasaran barangan keluaran British.

            Konklusinya, penyerahan Sabah kepada pihak British adalah disebabkan oleh empat faktor utama. Antara faktor tersebut ialah kerosakan yang dialami oleh Sabah selepas pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan SBUB, kelemahan sistem pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan ekonomi British di Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni (SBUB) untuk menyerahkan Sabah kepada British. Pada 15 Julai 1946, Sabah secara rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali sebagai Crown Colony.

3.2          Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan

Penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan tentangan hebat oleh rakyat tempatan di Sarawak. Hal yang sebaliknya pula berlaku di Sabah. Menurut Sabihah (1986), penyerahan Sabah kepada British berlaku tanpa sebarang penentangan yang berkesan. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh tahap kesedaran rakyat Sabah yang rendah mengenai kemerdekaan. Hal ini turut disokong oleh Sheela (1993), yang mengatakan bahawa rata-rata penduduk Sabah tidak memahami tujuan perubahan pemerintahan daripada Kompeni kepada pemerintahan British.

            Malahan, sehingga tahun 1961, Sabah masih belum mengenal pilihan raya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkembangan politik di Sabah telah jauh ketinggalan berbanding dengan Sarawak. Rakyat Sabah tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pentadbiran. Hal ini mungkin disebabkan oleh pemerintahan Kompeni yang menggunakan Piagam 1881. J. P. Ongkili (1972), turut mengatakan bahawa Piagam tahun 1881 tidak banyak memberi peluang kepada orang-orang Sabah untuk campur tangan dalam pentadbiran negeri mereka.

            Begitu juga, sekiranya ditinjau dari aspek kesedaran nasional, rakyat di Sabah jelas menunjukkan kelembapan mereka. Selepas pendudukan Jepun, semangat nasionalisme di Asia Tenggara telah meluap-luap, khasnya di Indonesia, Tanah Melayu dan juga Sabah. Hal yang sebaliknya pula berlaku di Sabah. Menurut Sheela (1993), walaupun terdapat persatuan seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sabah dan Barisan Pemuda Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1946, kedua-dua persatuan ini tidak menjadi pendorong untuk menimbulkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat tempatan di Sabah.

            Walau bagaimanapun, penyerahan Sabah kepada British telah ditentang oleh negara jiran Sabah, iaitu Kesultanan Sulu. Penentangan ini dilakukan kerana Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah merupakan milik mereka. Penentangan ini langsung tidak memberi kesan kepada penyerahan Sabah kepada British. Secara keseluruhannya, penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai 1946 tidak mendapat sebarang penentangan yang berkesan daripada rakyat tempatan di Sabah.



4.0          PENUTUP

Secara keseluruhannya, tugasan ini telah membincangkan mengenai sebab-sebab penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946 dan penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai 1946. Begitu juga, tugasan ini telah menganalisis secara kritikal tentang reaksi rakyat tempatan terhadap penyerahan tersebut. Seperti yang telah dijelaskan, penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British telah didasari oleh beberapa sebab.

            Penyerahan Sarawak kepada British telah didorong oleh beberapa faktor, iaitu masalah dalaman yang berlaku dalam keluarga Brooke, sejarah hubungan diplomatik British dan Brooke, keadaan negeri Sarawak selepas pendudukan Jepun serta kepentingan ekonomi pihak British di Sarawak. Faktor-faktor inilah yang telah menjadi pendorong kepada Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946.

            Begitu juga, penyerahan Sabah kepada British turut didasari oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah kerosakan yang dialami oleh Sabah selepas pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan SBUB, kelemahan sistem pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan ekonomi British di Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni (SBUB) untuk menyerahkan Sabah kepada British, di mana pada 15 Julai 1946, Sabah secara rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali sebagai Crown Colony.

            Sesungguhnya, penyerahan Sarawak kepada British telah menimbulkan penentangan yang hebat daripada rakyat tempatan di Sarawak. Penentangan tersebut dikenali sebagai gerakan anti-penyerahan. Rakyat Sarawak percaya bahawa penyerahan Sarawak ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan 1941. Hal ini akan melambatkan lagi proses kemerdekaan yang diingini oleh rakyat di Sarawak. Penentangan demi penentangan telah dilakukan oleh gerakan anti-penyerahan di Sarawak. Kemuncak gerakan tersebut adalah peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart yang membawa kepada tindakan keras British yang akhirnya melumpuhkan gerakan anti-penyerahan di Sarawak.

            Manakala, di Sabah, penyerahan Sabah kepada British tidak mendapat sebarang tentangan yang berkesan dalam kalangan rakyat tempatan. Hal ini disebabkan oleh rakyat Sabah yang tidak mempunyai kesedaran politik dan semangat nasionalisme seperti di Sarawak. Begitu juga, ketiadaan penentangan ini turut berpunca daripada akyat Sabah yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana tidak diberikan peluang untuk mentadbir semasa pemerintahan Kompeni.

            Konklusinya, penyerahan Sarawak dan Sabah ini merupakan satu titik tolak kepada kebangkitan kesedaran nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan. Walaupun penentangan yang dilakukan tidak membuahkan hasil, namun, kesedaran yang timbul semasa gerakan tersebut merupakan satu langkah yang diperlukan oleh rakyat dalam proses mencapai kemerdekaan. Selepas penyerahan tersebut, British telah menyediakan kedua-dua negeri tersebut ke arah berkerajaan sendiri. Pada 16 September 1963, kedua-dua negeri ini telah bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk sebuah entiti politik yang dikenali sebagai Malaysia sehinggalah pada hari ini.


                                                                                                                   Hasil Tugasan Projek,
                                                                                                                   Anita Dilam (PISMP Sej)


No comments: