KAJIAN SEJARAH SEKOLAH : SK(A) MAJLIS ISLAM SARAWAK, SARIKEI

1.0  PENERANGAN TENTANG SEJARAH SEKOLAH, COGAN KATA, VISI DAN MISI SEKOLAH SERTA MAKSUD WARNA DAN SIMBOL PADA LENCANA DAN BENDERA SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH
Sejarah awal penubuhan Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak Sarikei, ditubuhkan pada tahun 1992 oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Pada ketika itu SK Agama tidak mempunyai bangunan sendiri. Namun demikian, masalah bangunan bukanlah satu penghalang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan Sekolah Kebangsaan Agama di Bahagian Sarikei.

            Justeru itu, seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Sarawak telah dihantar ke Sarikei untuk meninjau dan mencari bangunan sementara. Pada permulaannya pilihan pertama ialah bangunan LAKISRI (di atas Premis Sugar Bun). Memandangkan ketidaksuaian sekolah beroperasi di atas premis makanan, maka pegawai tersebut telah meninjau bangunan lain di sekitar Sarikei. Akhirnya Bangunan MAKSAK Bahagian Sarikei telah dipilih kerana kesesuaiannya untuk dijadikan sekolah sementara.
           
            Maka sesi persekolahan SK Agama MIS Sarikei pun mula beroperasi pada 1 Disember 1992 di Bangunan MAKSAK Bahagian Sarikei dengan En. Ali Bin Bujang sebagai Guru Besar pertamanya. Pada awal penubuhannya, tenaga pengajar adalah seramai enam orang iaitu 4 orang guru dari Jabatan Pendidikan dan dipertanggungjawabkan untuk mengajar matapelajarasn teras manakala 2 orang guru dari Jabatan Agama Islam Sarawak pula bertanggungjawab mengajar mata pelajaran Bahasa Arab.

            Pengambilan awal pelajar adalah seramai 50 orang iaitu 25 orang pelajar lelaki dan 25 orang pelajar perampuan. Kemasukan pelajar tersebut adalah setelah lulus menduduki Ujian Kemasukan Ke Tahun satu Sekolah Agama yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Pendidikan Bahagian dan Jabatan Agama Islam Sarawak.

            Memandangkan Bangunan MAKSAK tidak dapat menampung bilangan pelajar yang bertambah setiap tahun, maka Jabatan Agama Islam Sarawak dangan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak telah membina sebuah sekolah bangunan sementara di tapak sebenar iaitu di Lot 1150 Kampung Seberang, Jalan Rentap, Sarikei. Sesi persekolahan di tapak sebenar pun bermula pada 10 Mac 1997. Setelah sekian lama menanti, bangunan tetap yang baru telah siap dibina pada 1 Ogos 2002. Bangunan tetap ini telah digunakan sepenuhnya mulai 2 Ogos 2002 hingga sekarang.

Senarai nama-nama Guru Besar yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan (A) Majlis Islam Sarawak, Sarikei.

1. Encik Ali Bin Bujang                                   14.11.1992 hingga 20.07.1993
2. Awg.ku Ibrahim Bin Awg. Hussein             21.07.1993 hingga 09.07.1995
3. Puan Maria Bt. Razali                                 10.07.1995 hingga 20.04.1097
4. En. Nasir Bin Masani                                  21.04.1997 hingga 30.12.1997
5. En. Abd. Aziz Bin Muraee                           31.12.1997 hingga 24.11.1998
6. Cik. Husfa Bt. Jamaluddin                          25.11.1998 hingga 02.11.2001
7. Ustaz. Mahdi Bin Ain                                  03.11.2001 hingga 04.11.2002
8. En. Aziz Bin Bawi                                        05.11.2002 hingga 16 Jun 2007
9. Ustaz Mahdi Bin Ain                                   1 September 2008 Hingga sekarang

Cogan kata "Berilmu, Berbakti, Beribadah":
Usaha yang gigi dan berterusan merupakan teras untuk membentuk insan cemerlang, gemilang dan terbilang. Cogan kata ini sejajar dengan hasrat sekolah, murid-murid serta ibu bapa bagi melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan sama ada duniawi atau akhirat serta sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai kecemerlangan dalam semua bidang termasuk golongan ikhtisas yang berwibawa dan modal insan yang terserlah cirri-ciri keislamannya.




Visi :
Pendidikan berkualiti ,
Insan terdidik,
Negara sejahtera

Misi :
Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara

Moto sekolah :
Skamis sekolah terbilang di bahagian sarikei

Konsep :
Melahirkan para ikhtisas yang berteraskan agama yang kukuh


KETERANGAN LENCANA ATAU LOGO SEKOLAH S.K (A) MAJLIS ISLAM SARAWAK, SARIKEI 2007
                                               
                                                                                                                                                                                  






Bentuk Perisai
Bentuk perisai melambangkan kekuatan, kesepaduan, kerjasama, permuafakatan serta tekad guru dan murid demi mempertahankan kualiti pendidikan dalam menjana ilmu pengetahuan.

Warna hijau
Warna hijau adalah warna sekolah yang melambangkan teras keislaman yang manjadi pegangan warganya dalam menjana kegemilangan dan berkomited untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan soleha serta mulia dan teguh akhlak dan elok pekertinya.

Tahun 1992
Tahun penubuhan sekolah ini.

Buku terbuka
Melambangkan ilmu pengetahuan yang seharusnya ditimba semaksimumunya.

Bintang
Merangkumi cita-cita tinggi seluruh warga SKAMIS dalam menggapai kecemerlangan dan kegemilangan ilmu berlandaskan rukun Islam yang kelima.

Warna biru
Warna Biru melambangkan perpaduan dan keseluruhan serta komitment menuntut ilmu dan membentuk insane yang berakhlak.




Jalur Merah   
Melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan warga SKAMIS dalam usaha berterusan untuk mengejar kecemerlangan.


Jalur Hitam   
Melambangkan kecekalan dalam menimba ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

Jalur Kuning 
Menggambarkan keagungan perundangan dan peraturan serta kestabilan dalam warga SKAMIS

Warna Hijau
Melambangkan kehormanian dan kesantunan warga skamis.
           
MOTTO SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Sarikei sekolah yang terbilang dibahagian Sarikei

PIAGAM PELANGGAN SEKOLAH KEBANGSAAN AGAMA SARIKEI:

Kami warga SK. AGAMA SARIKEI dengan penuh ihtizam berjanji memberi perkhidmatan dan pendidikan cekap, professional dan mesra dengan:
§  Menentukan semua murid mendapat ilmu dan pendidikan yang sempurna
§  Memberi perhatian dalam pendidikan kepada semua murid tanpa mengira kaum, latarbelakang dan kepercayaan.
§  Menentukan murid-murid sudah dapat membaca, mengira dan menulis selepas 6 bulan di tahun 1
§  Memastikan murid-murid menerima tunjukajar yang maksimum
§  Memastikan murid-murid dapat mengamalkan segala ilmu pendidikan yang diperoleh dengan jujur dan ikhlas
§  Menyeimbangkan keperluan jasmani dan rohani murid-murid agar menjadi murid-murid yang bertanggungjawab serta berketrampilan
§  Menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid agar memperoleh pembelajaran yang efektif
§  Memastikan murid-murid belajar, mengamal, bertaqwa, jujur, amanah, ikhlas dan berketrampilan pada setiap masa

Lagu sekolah
Putera puteri SK Agama
Kita semaikan benih ketaqwaan,
Putera puteri SK. Agama,
Berilmu, Berbakti dan Beribadah,
Amalan murnikan terpahat,
Kita suburkan,
Cahaya keimanan,
Melalui amalan harian,
Semangat terpahat,
Kekuatan tekad,

Ilmu yang baik disambut hangat,
Kepada agama, bangsa dan negara,
Berganding jalan seiring,
Menuju kearah wawasan sekolah,
Mencapai hasrat falsafah,

Kita katakana,
Kita kotakan,
Kita buktikan,
Kita amalkan,
Kita cernakan,
Kearah kecemerlangan.



2.0  JELASKAN PROGRAM KURIKULUM DAN KOKURIKULUM BERIMPAK TINGGI UNTUK MEMBANGUNKAN KECERMERLANGAN SEKOLAH


PERMATA SKAMIS
Sebenarnya pelbagai program yang telah dijalankan di Sekolah Rendah Agama Sarikei yang mampu memupuk kecermerlangan sekolah dari segi kurikulum mahupun kokurikulum. Namun demikian, hasil dapatan daripada responden menyatakan terdapat satu program besar sekolah yang benar-benar memberi impak yang tinggi kepada diri murid serta warga sekolah tersebut dan dilaksanakan pada setiap tahun. Program yang dimaksudkan ialah program yang diberi nama PERMATA SKAMIS. PERMATA SKAMIS ini merupakan satu program yang memberi fokus kepada murid tahun 6 untuk meningkatkan lagi kefahaman mereka dalam satu-satu subjek yang bakal dilalui sepanjang UPSR kelak. Pelaksanaan program ini adalah berlaku dalam bilik darjah dan terdapat seorang guru yang bertindak sebagai pembimbing. Setiap guru yang terlibat dalam mengajar subjek peperiksaan dikehendaki terlibat dalam program ini dan sedaya upaya membantu para murid untuk menguasai subjek ataupun topik yang diajar pada hari tersebut.

            Pelaksanaan program ini berlaku sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Juga, program ini dijalankan pada sebelah petang iaitu bermula pada jam 2.30 p.m. Pembahagian giliran untuk guru yang mengendalikan program ini adalah tertera pada rajah di bawah:
HARI
SUBJEK
ISNIN
BAHASA MELAYU
(PEMAHAMAN & PENULISAN)
RABU
BAHASA INGGERIS
JUMAAT
MATEMATIK
ISNIN
SAINS
RABU
BAHASA ARAB

Selain itu, program ini melibatkan guru, murid dan kakitangan sekolah. Peranan guru dan murid ialah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dan kakitangan sekolah pula bertindak menyediakan alatan ataupun bahan yang diperlukan sepanjang program ini berlangsung contoh seperti kertas, membuat salinan bahan dan sebagainya. Untuk pengetahuan, semua warga sekolah tersebut memberi respon dan menyambut dengan baik program ini keranan mereka percaya, program seperti ini mampu melonjakkan kecermerlangan sekolah.

Untuk kos pula, sebenarnya program ini tidak melibatkan kos khusus yang tinggi. Hal ini kerana, ia tidak memerlukan bahan yang terlampau banyak dan bahan yang disediakan juga mengikut budi becara guru. Maksudnya disini, semua bahan yang hendak dipersembahkan kepada murid disediakan oleh guru itu sendiri dan dibantu oleh kakitangan sekolah. Pun begitu, terdapat beberapa prosedur dalam menjayakan program ini. Prosedur ini dapat dibahagikan kepada sebelum, semasa dan selepas. Sebelum program ini dijalankan, Penolong Kanan 1 telah membentangkan kertas kerja dalam mesyuarat yang dijalankan. Setelah mendapat persetujuan semua pihak, barulah program ini dijalankan di peringkat sekolah. Semasa program ini dijalankan pula, guru subjek, murid dan kakitangan sekolah telah melaksanakan program ini iaitu seperti mana yang tertera dalam jadual di atas. Selepas program ini dijalankan, iaitu setelah selesai UPSR pada tahun tersebut, semua guru dan kakitangan sekolah telah melakukan refleksi untuk penambahbaikan dalam program ini.

Ternyata program ini telah memberi impak yang tinggi kepada sekolah mahupun warga sekolah. Hal ini kerana, keputusan setiap murid di sekolah tersebut meningkat setiap tahun. Hal ini dibuktikan dalam helaian gambar yang terdapat di lampiran yang menyatakan di mana ia menujukkan purata keputusan sekolah kian menaik. Secara tidak langsung, apabila keputusan para murid memberangsangkan, keputusan setiap aktiviti kokurikulum juga menaik dan positif.




3.0  MENILAI DAN MEMBERI JUSTIFIKASI TENTANG KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH


Untuk SK Agama Sarikei, terdapat dua usaha yang dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa. Pertama ialah melaksanakan jadual khidmat murni. Melalui jadual ini, pembahagian tugas pembersihan dalam kalangan murid diadakan bagi memastikan setiap murid bersama-sama terlibat dalam usaha mengekalkan kebersihan sekolah. Murid-murid akan dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan yang mewakili zon-zon pembersihan di sekolah.

Setiap kumpulan akan bertugas di zon yang telah ditetapkan pada setiap pagi untuk kerja-kerja pembersihan. Malah, setiap kumpulan tersebut bertanggungjawab akan kebersihan zon yang telah ditetapkan. Ini bermaksud murid yang bertugas untuk sesuatu zon tersebut akan sentiasa menjaga kebersihan zon masing-masing. Kemudian, jadual zon pembersihan akan bertukar setiap hari bagi memastikan setiap murid berpeluang untuk menjaga setiap zon yang ada. Pelaksanaan usaha ini sudah menjadi budaya yang berterusan di SK Agama Sarikei.

            Kedua ialah memurnikan kawasan landskap sekolah. Usaha ini banyak disumbangkan oleh guru secara sukarela. Kesungguhan dan perasaan cinta akan sekolah dalam kalangan guru dapat dibuktikan melalui hasil mural yang telah menghiasi dinding sekolah SK Agama Sarikei. Kebanyakan projek membuat mural tersebut adalah sumbangan duit guru sendiri. Ini bermaksud guru SK Agama Sarikei tidak mengharapkan peruntukan dari pihak luar untuk memulakan kerja-kerja menceriakan kawasan sekolah. Setiap mural yang diusahakan membawa mesej yang tersendiri seperti asmaul husna, tulisan jawi, sudut panitia, dan sebagainya.

Guru besar bertindak sebagai pendorong dan penggalak semangat untuk guru-guru yang lain berusaha meningkatkan keceriaan sekolah. Selain daripada mural, guru SK Agama Sarikei juga ada mengusahakan kawasan kecerian seperti taman burung, taman SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks), dan taman Sains. Secara rumusnya, kesemua usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kecerian sekolah merupakan hasil titik peluh warga SK Agama Sarikei sepenuhnya. Ketiadaan peruntukan dari kerajaan tidak menghalang sekolah ini untuk terus membangun dan berkembang dari aspek keceriaan dan kebersihan sekolah.

            Hasil daripada kesungguhan dan keikhlasan untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan sekolah, SK Agama Sarikei semakin dikenali di masyarakat luar. Beberapa anugerah dan kemenangan telah berjaya dicapai dalam bidang kebersihan dan keceriaan sekolah. Antara yang paling terbaharu adalah dinobatkan sebagai Johan untuk Pertandingan Kebersihan Sekolah Peringkat Antarabangsa bagi tahun 2013.

            Setiap usaha yang dilakukan untuk mengekalkan kebersihan di SK Agama Sarikei melibatkan semua pihak. Seperti mana lazimnya, guru besar akan bertindak sebagai ketua untuk usaha melakukan kerja-kerja pembersihan. Guru besar akan meronda pada setiap pagi untuk memastikan mereka yang bertugas ada menjalankan tugas masing-masing. Kemudian, guru pula bertindak sebagai pemantau pelajar yang bertugas. Seperti mana tugas pelajar, guru juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil untuk memantau kumpulan pelajar yang bertugas. Bagi pelajar pula, jadual bertugas akan bertukar pada setiap bulan yang merujuk kepada zon-zon pembersihan yang tertentu.

Secara rumusnya, guru besar memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan rombakan dan semakan terhadap jadual yang telah ditetapkan sentiasa dilakukan. Hal ini adalah untuk menjamin bahawa nilai kerjasama antara semua pihak sentiasa terjalin. Malah, nilai tentang kebersihan dan kerjasama ini sentiasa ditekankan pada setiap pagi semasa perhimpunan mingguan diadakan. Apa yang istimewa di SK Agama Sarikei adalah perasaan cinta akan sekolah wujud dalam diri semua pihak. Perasaan inilah yang mendorong semua pihak sentiasa bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kebersihan sekolah.

            Namun begitu, tidak dapat dinafikan juga wujud beberapa kekangan yang sentiasa menjadi cabaran kepada sekolah. Antaranya ialah tiada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk meneruskan dengan lebih lanjut kerja-kerja kebersihan dan keceriaan. Pelbagai usaha dan medium yang telah digunakan untuk memohon peruntukan, namun begitu menurut guru besar sampai kini, SK Agama Sarikei tidak pernah diluluskan peruntukan untuk bidang tersebut. Maka, jalan penyelesaian yang dilakukan untuk meneruskan perancangan asal adalah dengan peruntukan sendiri dari sumbangan guru-guru. Selain itu, terdapat juga beberapa orang pelajar yang sentiasa leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas. Oleh itu, bimbingan secara berterusan sentiasa dilakukan bagi membentuk akhlak yang baik dalam diri pelajar seperti ini.



4.0   BINCANGKAN IDEA-IDEA YANG RASIONAL TENTANG MENGAPAKAH SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG PERLU DIBANGGAKAN


Pendidikan merupakan aset utama dan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang individu. Pendidikan dianggap sebagai tulang belakang kepada kehidupan kita. Tanpa pendidikan, kehidupan kita menjadi tidak bermakna dan tidak berguna. Pendidikan boleh diperolehi di mana-mana sahaja namun, tempat yang paling sesuai untuk memperolehi pendidikan yang lebih bermakna adalah institusi pendidikan. Institusi pendidikan boleh terdiri daripada sekolah, universiti, pusat latihan dan kolej. Sekolah merupakan institusi pendidikan yang perlu dibanggakan oleh setiap pelusuk masyarakat di dunia ini. Mengapa sekolah sebagai institusi pendidikan perlu dibanggakan?

            Setelah menjalankan kajian lapangan di Sekolah Agama Sarikei, Sarawak, persoalan tersebut dapat dijawab berdasarkan maklumat-maklumat yang telah diperolehi. Idea-idea rasional mengapa sekolah sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan boleh dibahagikan kepada tiga idea utama. Pertama ialah sekolah sebagai pusat ilmu pengetahuan. Sepertimana yang diperhatikan, sekolah berperanan sebagai saluran untuk menyampaikan pendidikan kepada generasi muda. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sekolah merupakan pusat ilmu pengetahuan yang sangat efektif. Hal ini kerana sekolah merupakan institusi pendidikan yang menjalankan pembelajaran secara formal. Pembelajaran secara formal bermaksud pembelajaran yang diterima secara langsung dan dikendalikan oleh sesebuah institusi. Berbeza dengan pembelajaran tidak formal yang berlaku di luar sekolah, pembelajaran kanak-kanak diterima secara tidak langsung tanpa penerangan dan bimbingan yang sepenuhnya namun jika disekolah, pembelajaran dapat diterima secara langsung.

Pembelajaran secara formal di sekolah menyediakan pembelajaran secara teratur dan bersesuaian dengan kebolehan murid dan kesannya kepada murid adalah sangat positif. Pembelajaran murid adalah berpandukan kepada Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) di mana RPT dan RPH ini disediakan oleh guru bagi menyediakan pembelajaran yang teratur kepada murid mengikut tahap kebolehan mereka. Pembelajaran formal ini juga pembelajaran yang melibatkan guru dengan murid di mana guru berperanan menyampaikan pembelajaran secara langsung kepada murid.

            Sekolah sebagai pusat ilmu pengetahuan kerana sekolah dijadikan sebagai tempat untuk mendapatkan pembelajaran akademik. Pembelajaran akademik pada zaman sekarang sangat penting kerana tanpa akademik, kehidupan seseorang itu tentunya akan menjadi susah dan payah. Akademik sangat penting untuk mendapat kejayaan dan lebih-lebih pada masa kini yang melihat prestasi seseorang individu tersebut berdasarkan pencapaian akademik. Oleh itu, sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendapatkan pembelajaran akademik. Tambahan pula, dasar kerajaan juga sangat mementingkan pencapaian akademik. Kerajaan mewajibkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka mendapatkan pelajaran di sekolah. Hal ini menunjukkan kerajaan sangat memartabatkan sekolah sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan. Selain itu, sekolah juga mampu memberikan peluang kepada murid untuk meneroka kehidupan. Di sekolah, murid belajar pelbagai bidang dan secara tidak langsung mereka dapat memahami erti sebuah kehidupan berdasarkan apa yang mereka pelajari di sekolah.

            Idea yang kedua pula iaitu sekolah sebagai pusat untuk melatih kemenjadian manusia. Kemenjadian manusia ini dibahagikan kepada dua iaitu pembentukan peribadi dan hubungan dengan Tuhan. Sekolah bukan sahaja menyediakan pendidikan akademik semata-mata, sekolah juga berperanan sebagai pusat yang berperanan melatih kemenjadian manusia dalam diri murid. Pembentukan peribadi murid sangat ditekankan di sekolah di mana disiplin murid dijaga dengan baik dan setiap tindakan murid akan diambil perhatian oleh guru-guru. Murid-murid juga diwajibkan untuk mengamalkan budaya sekolah yang baik seperti memberi saalam, bertegur sapa, menjaga kebersihan dan berpakaian kemas. Sepertimana yang dilakukan di Sekolah Agama Sarikei, murid-murid di sekolah tersebut akan bersalam dengan guru-guru dan orang dewasa yang lalu dihadapan mereka. Murid-murid juga sentiasa menjaga kebersihan sekolah dan sentiasa memakai pakaian yang kemas.

            Kedua ialah hubungan dengan Tuhan. Sekolah juga perlu menitikberatkan nilai kerohanian dalam diri murid iaitu hubungan dengan Tuhan. Di samping menyediakan pembelajaran akademik, sekolah juga mestilah memberikan didikan dan bimbingan agama kepada murid. Hal ini agar mereka sentiasa ingat kepada Tuhan dan mengamalkan apa yang disuruh oleh agama dan menjauhi apa yang dilarang dalam agama. Perkara ini juga memberikan peluang murid untuk belajar dan memahami dengan lebih jelas tentang ilmu-ilmu agama yang mereka tidak pelajari semasa di rumah. Apa yang mereka pelajari semasa disekolah akan dapat dijadikan sebagai amalan harian mereka. Contohnya di Sekolah Agama Sarikei, murid-murid diwajibkan untuk sembahyang secara berjemaah di surau sekolah pada waktu tengah hari dan membaca al-Quran pada setiap pagi Jumaat.

            Idea rasional yang ketiga ialah sekolah mampu meningkatkan perkembangan murid. Perkembangan yang difokuskan adalah perkembangan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid. Sekolah adalah institusi pendidikan yang sangat membantu dalam perkembangan awal kanak-kanak. Perkara ini adalah selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mementingan keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Perkembangan jasmani murid boleh dilihat dari segi penglibatan murid dalam aktiviti yang disediakan di sekolah seperti sukan, unit beruniform, permainan dan lain-lain. Subjek Pendidikan Jasmani yang terdapat disekolah menunjukkan bahawa sekolah sangat memberikan perhatian kepada perkembangan jasmani murid. selain daripada aktiviti-aktiviti tersebut, guru juga berperanan dalam membantu pekembangan jasmani murid di mana guru akan sentiasa menjaga kesihatan dan keadaan fizikal murid mereka.

            Perkembangan emosi pula saling berkait dapat dengan suasana sekolah. Sekolah mestilah mempunyai suasana yang indah dan ceria serta mampu menimbulkan perasaan minat murid untuk datang ke sekolah. Sekolah yang cantik akan disukai oleh murid-murid dan secara tidak langsung murid akan menyayangi sekolah mereka. Motivasi murid juga boleh dipengaruhi melalui keceriaan sekolah dan murid akan berasa selesa untuk belajar di sekolah. Selain itu, emosi juga berkait rapat dengan pendekatan yang digunakan oleh guru semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru menggunakan pendekatan yang sesuai dan mampu mewujudkan keselesaan murid untuk belajar. Hal ini sangat penting bagi meningkatkan rasa minat murid terhadap pelajaran dan seterusnya suka untuk datang ke sekolah.

            Seterusnya ialah perkembangan rohani. Di sekolah, murid juga turut diberikan didikan dan ajaran agama. Perkembangan rohani sangat penting bagi melahirkan individu yang mempunyai keperibadian mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Sekolah merupakan aset utama bagi melahirkan individu seperti ini. Di samping mendapatkan pembelajaran akademik, didikan agama juga tidak dilupakan. Perkara ini sangat membantu dalam melahirkan insan yang seimbang dunia dan akhirat. Sepertimana yang berlaku di Sekolah Agama Sarikei, sekolah ini juga sangat mementingkan didikan agama kepada murid-murid. Murid-murid mengaplikasikan ajaran agama di sekolah seperti sembahyang, hormat menghormati, berbuat baik dan banyak lagi.

            Dari segi perkembangan intelek, murid-murid diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti yang disediakan di sekolah. Pembelajaran murid semasa di sekolah adalah pembelajaran secara maksimum di mana murid dapat belajar dalam pelbagai bidang seperti matematik, sains dan bahasa. Murid-murid sangat diberikan galakan untuk menyertai mana-mana program, aktiviti atau perkara yang melibatkan pembelajaran. Seterusnya ialah peranan guru di mana guru sangat memainkan peranan penting dalam perkembangan intelek murid. Kaedah dan pendekatan pengajaran yang digunakan guru dipelbagaikan agar pembelajaran murid akan menjadi lebih bermakna dan menarik. Contohnya, guru menjalankan pembelajaran di luar bilik darjah agar murid-murid berasa seronok untuk belajar dan mampu meningkatkan minat mereka untuk belajar.

            Terakhir ialah perkembangan sosial. Perkembangan sosial ini berkait rapat dengan interaksi murid. Di sekolah, murid-murid diberikan kebebasan untuk berinteraksi samada dengan guru ataupun rakan-rakan mereka. Perkara ini sangat penting agar murid-murid dapat membiasakan dan menyesuaikan diri mereka dengan masyarakat sekeliling serta dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi mereka. Guru juga berperanan dalam perkara ini di mana guru harus mewujudkan interaksi yang baik dengan murid agar murid tidak berasa segan untuk berinteraksi dengan guru-guru mereka. Melalui pemerhatian yang dijalankan, murid dan guru mempunyai interaksi yang baik dan murid berasa selesa untuk berinteraksi dengan guru-guru mereka.


HASIL PERBENTANGAN :
  1. FAZAL BIN AHMAD
  2. AZRI BIN MALIK
  3. MOR EDDIN BIN MORTADA
  4. MUHD ADHA FAKRULLAH BIN ABDUL RAZAK











No comments: