KAJIAN LAPANGAN SK ABANG HAJI MATAHIR SARIKEI, SARAWAK



KAJIAN LAPANGAN SK ABANG HAJI MATAHIR SARIKEI, SARAWAK
1.0 Pengenalan Sejarah Sekolah
Sekolah Rendah Melayu Kampung Sarikei telah dimulakan sejak awal tahun 1924 dengan menempatkan pelajar awal belajar di sebuah pondok bangsal berdekatan dengan tanah perkuburan lama Kampung Melayu Sarikei. Pada tahun 1931, Guru Besar pertama yang berkhidmat di sekolah berkenaan ialah Cikgu Wan Dollek atau lebih dikenali dengan nama Wan Abdullah. Tenaga pengajar adalah tiga orang dengan anak didik awalnya seramai antara 50-60 orang yang keseluruhannya berbangsa Melayu. Kemudian kira-kira pada penghujung tahun 1931 sekolah ini dipindahkan ke rumah Allahyarham Tuan Haji Bustamam bin Haji Muhammad.

            Pada tahun 1936 sekolah ini dipindahkan pula ke permis bekas Pejabat Kerajaan (Opis Kerajaan), Pejabat Daerah di kawasan Nyelong, Sarikei buat sementara menunggu pelbagai usaha untuk mewujudkan tempat atau sekolah yang lebih kekal. Pada tahun 1938 dilakukan perpindahan semula ke kediaman Lebai Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Karim yang berasal dari Kampung Rejang sementara menunggu bangunan baru yang diusahakan oleh beberapa orang individu dan Ketua-ketua Masyarakat pada ketika itu. Di antara mereka yang mengasas dan mengusahakan penubuhan sekolah ini ialah Tuan Haji Bijak, Tuan Haji Bustamam, Lebai Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Karim (Ketua Kampung), Pengiran Haji Umar Pengiran Benggala, Encik Yusuf, Awang Putera atau Yan Mok, Imam Kampung Melayu, Sarikei pada ketika itu dan Tuan Haji Matahir yang datang dari Kampung Binatang (Bintangor).

Berkat usaha gigih mereka ini dan masyarakat setempat akhirnya bangunan sekolah Melayu Kampung Sarikei akhirnya didirikan di tapak kekalnya di tepi tanah Perkuburan Kampung Melayu, Sarikei.Sekolah Melayu Kampung Sarikei ini akhirnya diberi nama Sekolah Rendah Kerajaan Abang Haji Matahir, Sarikei sempena nama salah seorang daripada pengasas awalnya. Bangunan lama SRK Abang Haji Matahir yang didirikan pada tahun 1938 ini kekal di tapak lama sehingga pada tahun 1960.

Pada tahun berikutnya bangunan baru didirikan oleh pihak Majlis Daerah Sarikei dengan sebuah blok Bangunan bertingkat bagi enam buah kelas di Jalan Masjid Baru, Sarikei. Bangunan itu masih kekal hingga sekarang, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian.Pada tahun 1989, Jabatan Pendidikan Negeri di bawah World Bank Project telah mendirikan bangunan tambahan dan baru bagi SRK Abang Haji Matahir, Sarikei dengan kos binaan 5.3 juta ringgit.  Sekarang SRK Abang Haji Matahir telah pun berkembang dengan pertambahan beberapa buah blok bangunan. Sekolah ini sekarang adalah sekolah Gred A.

Sekolah ini tidak mempunyai bendera yang spesifik, namun tetap menggunakan logo sekolah mereka sebagai simbol kebanggaan yang akan mewakili SK Abang  Haji Matahir ke mana-mana tempat dan acara. Seperti yang dipaparkan dalam lampiran, bentuk buku dalam sekolah ini bermaksud sekolah ini sentiasa menjulang ilmu dan memartabatkannya sesuai dengan kedudukannya memain peranan sebagai faktor kelangsungan bangsa Malaysia. Lima gelung berangkai itu pula mewakili Rukun Iman dan Rukun Negara sebagai prinsip utama warga sekolah. Bingkai yang membentuk logo sekolah itu diertikan sebagai kegigihan ke arah kecemerlangan pelajar dan guru. Warna biru adalah lambang perpaduan, merah sebagai tanda megah atau berani, dan putih mewakili kebersihan dan kesucian.

Cogan kata sekolah ini pula adalah seperti yang tertera pada lencana sekolah, iaitu “Berusaha Untuk Kecemerlangan”. Cogan kata inilah yang menjadi prinsip utama dan sebagai pendorong utama untuk warga sekolah ini untuk berkerja keras, khususnya semua warga pendidiknya. Kami tidak menjumpai rekod arau maklumat berkenaan siapa yang mencipta cogan kata sekolah ini, dan kemungkinan besar dicipta bersama logo sekolah. Bagi visi dan misi sekolah, menurut maklumat yang kami dapati, visi dan misi semua sekolah harus seragam kerana ia merupakan arahan dari KPM. Visi sekolah ini adalah Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”, manakala misi sekolah ini adalah “ Kami warga sekolah kebangsaan Abang Haji Matahir, Sarikei akan sedaya upaya melestarikan,sistem pendidikan yang berkualitio untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.”

2.0 Program Kurikulum Dan Kokurikulum Berimpak Tinggi Untuk Membangunkan Kecemerlangan Sekolah
Untuk memastikan sekolah ini boleh menjadi sebuah sekolah yang dibanggakan, kita perlua melihat apakah jenis murid yang akan dihasilkan oleh sekolah ini. Oleh tiu, berdasarkan maklumat yang kami dapati, sekolah ini juga amat mengambil berat mengenai perkembangan akademik dan kokurikulum murid kira seiring dengan FPK untuk melahirkan individu yang seimbang dari segala sudut. Namun, sekolah ini tetap juga mengangkat kedudukan akademik lebih sedikit berbanding kokurikulum.

            Dari segi program berimpak tinggi untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah, terdapat beberapa program yang dikenalpasti mampu memenuhi aspirasi sekolah ini. Antaranya ialah kelas tambahan yang dibuat setiap hari pada waktu persekolahan dengan menitikberatkan beberapa mata pelajaran penting. Murid sasaran ialah murid Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Masa yang diperuntukkan ialah selama satu jam.

            Untuk menyediakan murid-murid agar lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan UPSR, satu kem motivasi diadakan khusus untuk murid Tahun 6 yang berlangsung selama 1 minggu di SK Abang Haji Matahir sendiri. Kem motivasi yang diadakan itu lebih menjurus pada bantuan murid untuk menguasai mata pelajaran itu, dan memfokuskan kepada cara-cara murid untuk menjawab soalan dalam UPSR. Ia telah diadakan pada awal bulan Mac ini. Menurut maklumat dari informan kami, iaitu Cikgu Din, kem ini dilaksanakan lebih awal kerana ia lebih efisien berbanding pada semester kedua, yang sepatutnya pihak sekolah dan para murid Tahun 6 fokus pada pecutan akhir peperiksaan.

            Selain itu, sekolah ini juga menjalankan Program Anak Angkat. Fokus program ini adalah memastikan para murid iaitu murid Tahun 6 yang terlibat dapat memenuhi sebarang kekurangannya khususnya dalam bidang akademik. Mana-mana murid yang dipilih akan diletakkan di bawah jagaan seorang guru. Guru yang dipilih inilah yang akan menjadi “ibu” atau “bapa” kepada murid-murid dibawah jagaannya. Sebarang kekurangan atau masalah yang dihadapi oleh murid tersebut, guru hendaklah memikirkan cara untuk membantu murid mengatasi masalah tersebut.

            Jika dilihat dari sudut kerjasama ibu bapa terhadap program-program yang dilaksanakan, acap kali ibu bapa hanya memandang dingin akan program-program ini  dan sedikit sekali ibu-bapa yang menunjukkan sokongan. Menurut informan kami, kebanyakkan ibu bapa yang bekerja di sini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ada yang bekerja sebagai buruh, petani, nelayan, dan sedikit sahaja yang bekerja sebagai kakitangan awam. Oleh itu, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan adalah amat rendah dari pihak ibu-bapa dan tampaknya tabiat ini diwariskan pula pada anak-anak mereka. Keadaan ini serba sedikit menyukarkan usaha pihak sekolah untuk menjalankan suatu aktiviti.

3.0 Keberkesanan Usaha-Usaha Untuk Mengekalkan Kebersihan Dan Keindahan Sekolah
Kebersihan dan keceriaan sekolah ini juga dapat kami perhatikan menjadi keutamaan sekolah ini. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui persekitaran sekolah yang teratur, cantik, dan bersih seperti yang dipaparkan dalam gambar kami. Walaupun para pekerja melakukan kebanyakan kerja pembersihan secara rutin, namun pihak sekolah sendiri juga memainkan peranan yang amat besar dalam aspek keceriaan dan kebersihan sekolah.

            Antara usaha yang dapat membuktikan usaha pihak sekolah dalam aspek ini adalah program Gotong-Royong Perdana yang menggabungkan tenaga kerja dari pihak sekolah termasuk guru-guru dan murid serta sumbangan dari pihak ibu bapa secara sukarela. Selain dari tujuan pembersihan dan keceriaan sekolah, ia juga untuk merapatkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa di samping memberi kesedaran kepada semua pihak akan peri pentingnya persekitaran sekolah yang bersih dan kondusif demi pembelajaran murid-murid SK Abang Haji Matahir. Apabila aktiviti ini dijalankan, kawasan yang jarang dibersihkan akan diberi tumpuan yang lebih seperti pembersihan kawasan longkang, tandas, stor, saliran bumbung sekolah, tangki air, surau, kelas dan sebagainya. Aktiviti pembersihan juga dijalankan dalam skala yang besar dalam tempoh setengah hari. Kebiasaannya gotong-royong perdana ini dibuat pada bulan Januari sebagai persediaan memulakan tahun persekolahan yang baru.

            Dalam kelas pula, tanggunggjawab keberishan, keceriaan, dan kecantikan kelas terletak di bahu para murid yang menggunakan kelas itu sendiri di bawah bimbingan guru kelas. Seperti yang kita sudah sedia maklum, penggunaan jadual pembersihan juga digunakan di setiap kelas SK Abang Haji Matahir seperti sekolah yang lain. Guru kelaslah yang memastikan jadual ini dipatuhi oleh para murid jagaannya dengan baik. Hal ini menunjukkan bahawa aspek kebersihan dan keceriaan juga diberikan tumpuan. Secara tidak langsung, murid-murid juga akan diterapkan nilai bertanggungjawab dan nilia kebersihan.

            Untuk memastikan kebersihan dan keceriaan semua kelas terjaga setiap minggu, di SK Abang Haji Matahir terdapat sebuah ketetapan bahawa guru bertugas pada minggu tersebut akan pergi ke setiap kelas untuk menilai aspek kebersihan dan keceriaan setiap kelas. Keputusan untuk kelas yang terbaik bagi aspek tersebut pada minggu ini akan diumumkan pada minggu hadapan, iaitu perhimpunan mingguan yang seterusnya, dan kelas yang mendapat gelaran ini akan diberikan insentif, yang kebanyakkannya berbentuk hamper. Dengan ini, setiap kelas pastinya akan berusaha untuk merebut gelaran tersebut. Ia merupakan suatu cara yang bijak bagi memotivasikan murid-murid untuk terus konsisten meningkatkan aspek kebersihan dan keceriaan kelas mereka dari minggu ke minggu.

            Sudah juga menjadi kebiasaan sekolah ini untuk setiap pagi sebelum bermulanya sesi persekolahan, setiap murid SK Abang Haji Matahir dibawah pengawasan guru bertugas dengan bantuan para pengawas sekolah akan membersihkan kawasan yang ditetapkan. Tugas yang biasa dijalankan adalah mengutip dan menyapu sampah serta mengosongkan tong sampah.
Secara keseluruhannya, sumbangan PIBG tidaklah menonjol dalam aspek ini. Kebanyakkan usaha berkaitan kebersihan dan keceriaan sekolah bergatung sepenuhnya kepada kebijaksanaan sekolah merancang dan melaksanakan program kebersihan dan keceriaan. Hal ini kerana kami difahamkan PIBG sekolah ini tidak aktif memandangkan pengerusi dan timbalannya tidak menetap di sini. Dari sudut kos pula, kebanyakkan informan kurang pasti jumlah yang tepat dan ia sebenarnya amat bergantung kepada aktiviti yang dijalankan. Sekolah ini juga kurang mendapat tempat dalam pencapaian berkenaan kebersihan dan pencapaian sekolah. Sekolah ini juga didapati agak kurang berkolaborasi dengan pihak lain berkenaan kebersihan dan keceriaan sekolah. Namun menurut pendapat kami, ia tidak juga menjejaskan aspek kebersihan dan keceriaan sekolah kerana sekolah tetap menjaganya dengan cemerlang.

Berkaitan dengan program kitar semula, kami mendapati sekolah ini tidak berkesempatan untuk melaksanakannya. Hal ini kerana terlalu banyak program yang perlu dikendalikan oleh pihak sekolah sehingga merencatkan perlaksanaan program ini. Guru-guru terpaksa menyisihkan program ini kerana kesibukan yang mereka hadapi.

4.0 Idea-Idea Yang Rasional Tentang Mengapakah Sekolah Sebagai Institusi Pendidikan Yang Perlu Dibanggakan.
Hasil daripada lapangan projek yang dijalankan, banyak maklumat yang diperolehi daripada pihak pentadbir sekolah bagi membincangkan idea-idea yang rasional tentang mengapakah sekolah sebagai institusi yang perlu dibanggakan. Antara idea yang telah dikemukan oleh penolong kanan 1 ialah kerana sekolah merupakan tempat membina modal insan. Hal ini kerana modal insan merupakan aset utama pembangunan negara pada masa hadapan. Jika dilihat fokus utama kerajaan Malaysia dalam membangunkan negara Malaysia sejak dahulu adalah menfokuskan aspek pendidikan yang diajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Malah pendidikan lebih ditumpukan semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Hal ini kerana beliau sedar bahawa pendidikan sangat penting bagi melahirkan modal insan yang seimbang seperti yang digariskan di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, jika kita lihat sendiri bagaimana Tun Dr. Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri Malaysia yang sangat berkarisma adalah disebabkan beliau mendapat pendidikan di sekolah. Tanpa melalui pendidikan di sekolah, maka beliau tidak mungkin dapat memerintah negara apatah lagi menjadi Perdana Menteri.

            Idea ini turut dikemukakan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Haji Matahir. Beliau menambah lagi dalam pengalaman beliau menjadi guru semasa mengajar di sekolah rendah dahulu. Zaman dahulu, guru sekolah rendah hanya mendapat gaji yang rendah dan dianggap sebagai profesion yang tidak dipandang berbanding dengan profesion yang lain. Namun kini profesion perguruan merupakan pilihan ramai dan tidak semua orang boleh menjadi seorang guru. Sebagai contoh, untuk memohon masuk ke Institut Pendidikan Guru sahaja, proses temu duga dan ujian kecergasan fizikal perlu dilalui oleh bakal guru pelatih yang telah terpilih. Dan tidak semua bakal guru pelatih tersebut diserap masuk ke Institusi Pendidikan Guru. Maka, tidak hairanlah mengapa sekolah menjadi institusi yang perlu dibanggakan. Hal ini kerana untuk melahirkan modal insan yang seimbang, ia memerlukan seorang guru yang profesional dan mempunyai kemahiran dalam mempelbagaikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah agar menarik dan mampu membentuk modal insan yang seimbang.
Selain itu, kami juga turut menemu bual Penolong Kanan Kokurikulum, beliau mengatakan bahawa institusi Sekolah perlu untuk kita banggakan kerana melalui sekolah maka perpaduan dapat dibentuk.  Buktinya ialah walaupun terdapat sekolah Jenis Cina dan Sekolah Jenis India namun di Sekolah kebangsaan masih terdapat golongan cina dan golongan india ini. Selain itu, kerajaan juga berusaha menyatukan perpaduan kaum melalui mewujudkan sekolah wawasan dimana murid berbilang kaum disatukan dibawah satu bumbung. Kesannya kita dapat lihat pada masa kini Malaysia telah diangkat menjadi negara contoh di seluruh dunia sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum yang bersatu padu dan hidup dengan harmoni di bawah satu negara. Maka memang wajar untuk institusi sekolah ini kita banggakan kerana sekolah mampu menjadi tempat pemupukan negara bangsa di peringkat awal.

Idea ini turut dikemukan oleh ketua penyelia Pendidikan khas. Menurut beliau, institusi sekolah perlu dibanggakan kerana ia mampu menerima untuk menempatkan murid kurang upaya untuk belajar bagi meneruskan kehidupan pada masa hadapan. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk mendidik murid kurang upaya ini, namun terbukti bahawa murid pendidikan khas juga mampu mendapat tempat dan ruang untuk bersosial seperti insan normal yang lain. Contohnya, guru tersebut memberi contoh terdapat murid yang mempunyai kemahiran dalam bermain peralatan muzik sejak kecil lagi tanpa bimbingan. Hal ini membuktikan bahawa murid pendidikan khas ini mempunyai bakat yang terpendam dan perlu dikembangkan. Oleh itu, institusi sekolah lah yang memainkan peranan penting sebagai pusat ilmu untuk membentuk insan yang bermula dari kosong. Maka terbukti bahawa institusi sekolah perlu untuk kita banggakan.

5.0 PENUTUP
Sebagai penutup, saya mendapati bahawa warga pendidik begitu menyokong bahawa institusi sekolah perlu untuk dibanggakan atas beberapa faktor antaranya ialah kerana insitusi pendidikan menjadi tempat untuk membina modal insan yang akan menjadi aset pembangunan negara pada hadapan. Selain itu, kerana sekolah merupakan tempat pemupukan negara bangsa dari paringkat awal. Dan juga kerana sekolah mampu menerima untuk menempatkan murid kurang upaya untuk belajar bagi meneruskan kehidupan pada masa hadapan.

DISEDIAKAN OLEH:
ANDY MOLTAR ANAK SIN
MOHD NUR AMIN BIN RAHIM
NASHRULLAH BIN ANDY AHMAD

No comments: