Kajian Lapangan: Sk Nanga Strass,Bintangor

1.0  PENGENALAN

Menurut Blumenfeld (1991), pembelajaran berasaskan projek (PBL) memberi fokus kepada aktiviti penyiasatan atau inkuiri penemuan. Pelajar berusaha menyelesaikan masalah melalui aktiviti penyoalan, membahaskan idea-idea, membuat ramalan, mereka bentuk rancangan, mengumpul dan menganalisis data atau maklumat, membuat kesimpulan, menyediakan laporan serta mempersembahkan idea dan penemuan kepada pihak lain.

Pada 19 Ogos 2014 yang lalu, kami sekumpulan telah memilih Sekolah Kebangsaan Nanga Strass, Bintangor untuk melaksanakan sebuah kajian lapangan. Kajian lapangan tersebut dilaksanakan adalah untuk mendapatkan data dan maklumat sekolah berkaitan dengan Standard Kandungan 1.3 Sejarah Sekolah dalam DSKP Sejarah Tahun 4. Data sekolah yang dikumpul merangkumi  maklumat umum sekolah, program berimpak tinggi dalam membangunkan kecemerlangan sekolah, usaha-usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah dan idea rasional berkaitan dengan sekolah sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan.

Kajian lapangan ini dilaksanakan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga pukul 12 tengah hari. Kedatangan kami disambut dengan baik oleh Guru Besar. Tambahan pula, pihak sekolah sudah dimaklumkan terlebih awal tentang kedatangan kami ke sekolah. Antara orang sumber yang telah ditemubual bagi mendapatkan segala data dan maklumat yang berkaitan ialah Guru Besar, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Penolong Kanan Kokurikulum dan beberapa orang guru biasa.

           

2.0  PENERANGAN TENTANG SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH, COGAN KATA, VISI DAN MISI SEKOLAH SERTA MAKSUD WARNA DAN SIMBOL PADA LENCANA DAN BENDERA SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Nanga Strass telah ditubuhkan pada awal tahun 1955. Nama asal sekolah ini ialah Wong Anjai Primary School kerana tapak asal sekolah ini berdekatan dengan Wong Anjai. Penubuhan awal sekolah ini adalah atas persetujuan penduduk dari tujuh buah rumah panjang dan penduduk Cina yang berdekatan yang diketuai oleh Tr Ason ak Rimau, Lau Ngilik Chiong dan Micheal Chua. Micheal Chua merupakan guru besar pertama sekolah ini.

Bangunan awal sekolah ini telah dibina secara bergotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Sekolah (AJK) dan ibu bapa pada masa itu. Pada tahun 1960-an, bangunan-bangunan baharu telah dibina di tepi jalan KJD, iaitu tapak Sk Nanga Strass sekarang. Antara bangunan baharu yang dibina ialah sebuah bangunan dua tingkat. Bermula pada tahun 1966, sekolah ini telah menerima kehadiran guru-guru pelatih dari Maktab Perguruan Rajang untuk menjalani latihan mengajar.  Pada 29 Mei 1981, SK Nanga Strass telah dibuka secara rasmi oleh Yang Behormat Encik Daniel Tajem (Menteri Pertanian dan Pembangunan Masyarakat). Senarai nama Guru Besar dapat dilihat dalam Lampiran 1.

Cogan kata SK Nanga Strass ialah “Belajar Cita Berbakti”. Dari sudut visi dan misi sekolah, pihak sekolah telah menyatakan bahawa visi dan misi sekolah adalah selaras dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).  Ini bermakna visi Sk Nanga Strass ialah “Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”. Manakala misi sekolah ialah “Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara”.

Seperti sekolah lain, Sk Nanga Strass juga mempunyai lencana sekolah tersendiri. Walaubagaimanapun, kami mendapati bahawa sekolah ini tidak mempunyai bendera sekolah. Maksud warna dan simbol yang terdapat pada lencana sekolah dapat diterangkan dalam gambar di bawah.






GEGELUNG BULATAN
Semangat kesukanan yang kental dan tidak mudah putus asa

KOMPUTER & OBOR
Kesediaan warga sekolah menerima perkembangan teknologi setiap masa


PELAMPUNG
Disiplin yang diterap di sekolah membentuk jati diri dalam menjadi insan berguna

KUNING
Perpaduan di kalangan semua warga sekolah

MERAH
Berani dalam membentuk perubahan ke arah positif 

PUTIH
Kecintaan kepada sikap positif yang tinggi

HITAM
Disiplin yang tinggi dalam diri warga sekolah
 


3.0 PENJELASAN TENTANG PROGRAM ATAU PROJEK BERIMPAK TINGGI YANG DILAKSANAKAN UNTUK MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
Program atau projek berimpak tinggi yang dilaksanakan untuk membangunkan kecemerlangan sekolah di SK. Nanga Stras boleh dibahagikan kepada dua iaitu dari aspek akademik dan juga aspek kokurikulum. Dari aspek akademik, sekolah ini telah mengadakan Program Akademik 2014 “PINTU”. Program PInTU merupakan  jenama  program utama yang dirangka khas bagi meningkatkan prestasi akademik murid Tahun 6 sesi 2014. PInTU membawa maksud Program Intensif Tingkatkan UPSR.

Pendekatan program ini adalah berkonsepkan Kelas Bimbingan Intensif yang diadakan setiap hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis dalam 3 kumpulan murid pelbagai kebolehan. Guru berfokus kepada kaedah “mastery learning” untuk kelemahan yang dikesan dalam Analisis Item. Segala bimbingan yang diberikan kepada murid adalah berdasarkan Pelan Operasi setiap projek (sub-program) Mata Pelajaran Iaitu BM-M2K, BI-TQ, MT-GOAM dan SN-GKPS. Semasa program ini dijalankan, semua guru terlibat bagi meningkatkan prestasi akademik murid-murid tahun 6 dalam menduduki peperiksaan. Kesan daripada program ini belum dapat dilihat kerana program ini baru dilaksanakan pada tahun 2014. Oleh yang demikian, kesannya hanya dapat dilihat setelah murid-murid menduduki peperiksaan UPSR tahun 2014.

Selain daripada itu, guru-guru di sini menekankan program kebudayaan dan juga program sukan bagi membangunkan kecemerlangan sekolah dari aspek kokurikulum. Dalam aktiviti kebudayaan, sekolah ini sering menyertai pertandingan yang dianjurkan di peringkat sekolah dan juga peringkat daerah. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun sekolah ini hanya sekolah yang kecil namun mampu meletakkan nama sekolah seiring dengan sekolah-sekolah lain di daerah Meradong ini.

Aktiviti kebudayan seperti pertandingan tarian sering mendapat pingat di bawah bimbingan Cikgu Latifah. Manakala, dalam aktiviti sukan, sekolah ini sering mendapat pingat di peringkat sekolah, daerah dan kebangsaan. Antara aktiviti sukan yang sering dipertandingkan ialah olahraga dan bola sepak. Murid-murid yang menyertai pertandingan ini kebanyakannya adalah murid-murid tahap dua. Pertandingan ini adalah di bawah bimbingan Cikgu Paul dan juga Cikgu Ruby. Kesimpulannya, pelbagai program atau projek berimpak tinggi yang dilaksanakan untuk membangunkan kecemerlangan sekolah terutamanya dari aspek akademik dan juga aspek kokurikulum. Bagi membantu dalam membangunkan kecemerlangan sekolah, semua pihak iaitu ibu bapa, guru dan murid perlu bekerjasama.

4.0 PENILAIAN DAN JUSTIFIKASI TENTANG KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH
Bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, warga SK. Nanga Stras telah mengadakan pelbagai program yang boleh mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih dan selesa. Antara usaha yang telah mereka lakukan ialah penanaman bunga dalam pasu, mengecat pagar mengikut warna bendera Sarawak dan menyemai anak benih bunga. Bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, murid-murid didedahkan dengan aspek penjagaan kebersihan dan keindahan sekolah dengan mengajak murid-murid menyemai benih.

Selain daripada itu, pihak sekolah juga melibatkan pihak luar dalam program kebersihan dan keindahan sekolah. Pihak sekolah telah melibatkan ibu bapa murid-murid dan juga warga sekolah ini bagi membantu mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah. Ibu bapa murid-murid akan terlibat dalam mengekalkan kebersihan dan keindahan di sekolah ini semasa program PIBG dan juga apabila terdapatnya aktiviti gotong-royong yang diadakan hanya dua kali setahun.

Program 3R atau program kitar semula ada dilaksanakan di sekolah SK. Nanga Stras bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah. Program ini dapat dilihat di sekolah ini kerana terdapat tong sampah kitar semula yang diletakkan bersebelahan dengan dewan makan. Bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, penerapan nilai-nilai kebersihan dan keindahan juga telah diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini dapat dilihat dalam mata pelajaran Pendidikan Moral apabila guru-guru Pendidikan Moral mengajar nilai-nilai murni kepada murid-murid.

Kesimpulannya, pelbagai usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah telah dilakukan oleh pihak sekolah. Namun demikian, ini tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya murid-murid dan juga para ibu bapa murid. Oleh yang demikian, bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, warga sekolah ini perlu berganding bahu dan memupuk sikap cintakan kebersihan alam sekitar bagi memastikan keindahan dan keceriaan sekolah tetap terpelihara.

5.0 IDEA-IDEA RASIONAL TENTANG SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG PERLU DIBANGGAKAN
Terdapat beberapa aspek yang boleh menjadikan SK Nanga Strass ini sebagai institusi pendidikan yang dapat dibanggakan. Antaranya adalah dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Pencapaian tersebut dapat dilihat sepanjang tempoh tahun 2011 sehingga tahun 2014. Kecemerlangan tersebut melibatkan pihak pengurusan sekolah sendiri iaitu guru-guru, murid-murid dan pihak PIBG.

Perkara pertama yang dapat dibanggakan ialah apabila wujudnya guru cemerlang di sekolah ini. Guru tersebut ialah Puan Sia Kee Huong dan Encik Leinus Endam. Kedua-dua guru tersebut telah memperolehi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013. Puan Sia Kee Huong merupakan guru Matematik dan beliau sangat komited menjalankan kelas tambahan setiap petang melalui program PINTU. Manakala Encik Leinus Endam pula adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM).

Sk Nanga Strass turut melahirkan murid-murid yang telah mengharumkan nama sekolah sehingga peringkat kebangsaan. Mereka terlibat aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak dan olahraga. Mereka terdiri daripada murid-murid tahap 2 dan dibimbing oleh Puan Roby Brandi, Encik Sidi Jantan dan Encik Lienus Endam. Antara kejayaan yang telah diperolehi seperti menjadi Naib Johan Kejohanan Balapan dan Padang 12 TKB MSSD Meradong 2014. Seramai 4 orang murid telah terpilih untuk mewakili daerah Meradong sempena Kejohanan Balapan & Padang 12 TKB MSSG Sarikei dan mereka ialah Cynthia Ranny, David Baran, Eryieka Rita serta Rakie Sebang.

Di samping itu, sekolah ini juga sangat aktif di dalam kebudayaan. Mereka telah menjadi johan dalam Pertandingan Tarian peringkat daerah Bintangor. Rentetan daripada itu, mereka akan mewakili ASAT peringkat negeri di Miri pada bulan Oktober tahun ini. Puan Latipah Binti Haji Hassan adalah seorang guru yang komited dalam membimbing murid-murid tersebut. Beliau merupakan guru kebudayaan dan telah menubuhkan Kelab Kebudayaan semenjak 1998 dan kemudiannya diubah nama kepada Tunas Budaya. Kelab ini turut bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti bicara berirama dan berlakon.

Bukan itu sahaja, Sk Nanga Strass turut dapat dibanggakan kerana terdapatnya kelas kondusif iaitu kelas pemulihan yang sering menjadi tumpuan kepada setiap pengunjung ke sekolah ini. Kelas ini telah diubahsuai oleh Puan Andretta dengan kreativitinya sendiri. Keadaan kelas yang kondusif ini telah membolehkan murid LINUS dari tahap 1 menguasai kemahiran belajar berdasarkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang terdapat di dalam kelas tersebut. Dapatlah dikatakan sekolah ini mampu dibanggakan kerana adanya kelas pemulihan yang begitu kondusif untuk murid LINUS.

Selain daripada para guru dan murid-murid, pihak PIBG turut memainkan peranan dalam menjadikan sekolah ini sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan. Pihak PIBG serta pengurusan sekolah akan mengadakan Mesyuarat Agung sebanyak dua kali setiap tahun bagi membincangkan tahap pencapaian akademik murid. Pihak ini turut prihatin terhadap aspek keselamatan dan keselesaan murid di sekolah tersebut. Jelaslah bahawa peranan pihak PIBG dapat membentuk sekolah ini sebagai sekolah yang perlu dibanggakan.

Apabila melihat kepada kecemerlangan yang telah digapai oleh Sk Nanga Strass, kita dapat menyatakan bahawa sekolah ini dapat menjadi sebuah institusi pendidikan yang dibanggakan. Justeru, perlunya pelbagai program dan aktiviti harus dijalankan oleh pihak sekolah agar murid yang seimbang dari aspek kokurikulum dan kurikulum dapat dilahirkan.


6.0  PENUTUP
Kesimpulannya, melalui kerjasama yang diberikan oleh warga Sk Nanga Strass, kami sekumpulan telah berjaya melaksanakan kajian lapangan ini dengan jayanya. Segala data dan maklumat sekolah yang ingin dikumpul telah kami dapati berdasarkan hasil temubual bersama pihak sekolah. Sesungguhnya, tugasan melalui kajian lapangan ini membolehkan kami lebih memahami dengan lebih mendalam konsep pembelajaran berasaskan projek berdasarkan pengalaman yang telah kami lalui. Seorang guru Sejarah boleh menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam mata pelajaran Sejarah agar pelajar lebih faham dan merasai sendiri tentang sesuatu yang diajar. Tambahan juga, mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah akan lebih menyeronokkan sekiranya guru akan mempelbanyakkan lagi aktiviti di luar kelas.


No comments: