SJK (C) Kwang Chien



 SJK (C) Kwang Chien
1.0       SEJARAH SEKOLAH.
Sekolah Kwang Chien, salah sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terbesar di Bahagian Sarikei. Sekolah ini terletak di Jalan Kubu Sarikei. Sekolah Rendah Aliran Cina Sarikei (SRB Kwang Chien) telah ditubuhkan dengan rasminya pada awal tahun 1927. Penubuhannya adalah hasil usaha daripada beberapa orang peniaga yang terkenal di Daerah Sarikei. Dengan penubuhan awal sekolah atas masalah kewangan, maka pihak sekolah terpaksa meminjamkan rumah papan daripada Persatuan Kong Wai Siew Sarikei untuk dijadikan bilik darjah.

Pada tahun 1927, alamat sekolah terpaksa dipindahkan ke sebuah bangunan yang terletak di belakang Dewan Huai Ren, Sarikei. Ini adalah akibat daripada pendapat-pendapat yang tidak sebulat suara di kalangan ahli-ahli Lembaga Pengurusan sekolah. Pada tahun inilah, nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien Sarikei. Encik Ting Mang dan Encik Chai King Sii masing-masing telah dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah. Manakala Encik Tiong Lok Ting telah ditawarkan sebagai Guru Besar yang pertama . Dari setahun ke setahun, murid-murid kian bertambah mengakibatkan bilik darjah sekolah tidak mencukupi.

Moto Sekolah Kwang Chien ialah “ Ariba, Ariba, Kwang Chien exito !”. manakala, visi sekolah pula ialah “SJK(C) Kwang Chien, Sarikei menjadi cemerlang menjelang tahun 2015”. Misi Sjk © Kwang Chien ialah, Kami, warga SJK(C) Kwang Chien, Sarikei berikrar untuk komited memastikan kurikulum dan kokurikulum yang cemerlang, sahsiah dan disiplin diri terpuji, persekitaran yang kondusif, pengurusan dan pentadbiran yang telus, hubungan masyarakat yang erat. Matlamat sekolah pula adalah seperti mempertingkat budaya ilmu murid ke arah kecemerlangan, meningkatkan lagi kecemerlangan etika kerja kakitangan sekolah dan meninggikan prestasi pencapaian sekolah dalam pelbagai aspek.


Description: http://www.multibyte.my/sjkkc/img/portrait.png
Setiap gambar yang terdapat di dalam logo sekolah mempunyai maksud tertentu. Contohnya, tahun 1927 merujuk kepada tahun penubuhan sekolah. Radas Sains dan Matematik melambangkan kepentingan Sains dan Matematik. Alat permainan (raket badminton) melambang kepentingan kokurilum. Moto Sekolah : "Berdisiplin" yang merangkumi segala aspek nilai-nilai murni. Latar belakang terdiri daripada warna-warna Bendera Malaysia, iaitu warna biru, merah, putih dan kuning yang melambangkan kesetiaan kepada Negara dan bangsa. Topi melambangkan kepentingan ilmu ataupun akademik. Alat tele-komunikasi melambangkan zaman maklumat dan teknologi.

2.0       PROGRAM ATAU PROJEK BERIMPAK TINGGI YANG DILAKSANAKAN                UNTUK MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
2.1       Program Akademik
Terdapat beberapa program yang dilaksanakan oleh Panitia Bahasa Malaysia menjelang tahun 2014. Program tersebut ialah Mari Membaca dan Buku Bina Ayat. Program Mari Membaca dilaksanakan untuk meningkatkan peratus lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 70% menjelang tahun 2014. Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan semua murid Tahap 2. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid diberikan latihan membaca. Manakala, program Buku Bina Ayat pula dilaksanakan untuk meningkatkan peratus lulus mata pelajaran BM dan penguasaan teknik penulisan (ayat) menjelang tahun 2014. Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan semua murid Tahap 1. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid diberikan latihan.
Selain itu, beberapa program telah dilaksanakan oleh Panitia Bahasa Inggeris menjelang tahun 2014. Program tersebut ialah Bengkel Bahasa Inggeris (English Workshop), My Spelling Bees/ Spell It Right. Program Bengkel Bahasa Inggeris (English Workshop) dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan guru dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI). Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang bulan Februari 2014. Program ini melibatkan semua guru BI Tahap 1 dan 2. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini ialah semua guru yang terlibat diberi bengkel tentang aktiviti yang sesuai dijalankan dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran BI. Manakala, program Spelling Bees/ Spell It Right pula dilaksanakan untuk meningkatkan peratus murid mengenal dan mengeja mengikut kandungan kurikulum kepada 70%. Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang bulan Jun. Program ini melibatkan semua murid Tahap 1 dan 2. Program ini dijalankan sebanyak sekali (pelajaran) seminggu pada awal atau akhir pelajaran. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid perlu mengeja perkataan dan menulisnya dengan betul, diberikan latihan mengeja dan menjalankan penilaian dalam bentuk spelling test.

Di samping itu, Panitia Bahasa Cina turut melaksanakan beberapa program menjelang tahun 2014 seperti Program NILAM dan Kelas Tambahan Latih Tubi Bahasa. Program NILAM dilaksanakan untuk meningkatkan kosa kata. Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid perlu membaca buku cerita, mencari ayat-ayat yang baik atau kosa kata dan mencatat ayat atau kosa kata. Manakala, Kelas Tambahan Latih Tubi Bahasa Cina pula dilaksanakan untuk meningkatkan peratus murid lancar membaca dan menulis dalam karangan dengan baik. Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan semua murid Tahun 6. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah dengan mengadakan kelas tambahan selama 2 jam seminggu untuk kelas peperiksaan iaitu Tahun 6, diberikan latihan bertulis dan menjalankan penilaian dalam bentuk ujian.


Pertandingan Bahasa Malaysia telah mencatat beberapa rekod pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertama, pertandingan Ujian Bertulis 100 Soalan Dalam Bahasa Malaysia peringkat daerah telah mendapat johan, naib johan, tempat ketiga, keempat dan kelima. Kedua, pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia peringkat daerah telah mendapat tempat ketiga. Ketiga, pertandingan Bercerita Tahap 1 dan 2 peringkat daerah telah mendapat naib johan. Keempat, pertandingan Pidato Bahasa Malaysia peringkat daerah telah mendapat saguhati. Selain itu, pertandingan Bahasa Inggeris turut mencatat beberapa rekod pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Choral Speaking peringkat bahagian telah mendapat tempat ketiga. Manakala, pertandingan Story Telling anjuran perpustakaan awam Sarikei pula turut mendapat tempat ketiga. Di samping itu, pertandingan Bahasa Cina turut tidak ketinggalan dalam mencatat rekod pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Mengarang Dalam Bahasa Cina anjuran Xing Ma Sekolah Rendah, Zon Sarawak telah mendapat johan, tempat ketiga dan dua hadiah galakan. Manakala, pertandingan Syarahan Dalam Bahasa Cina anjuran Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bahagian Sarikei telah mendapat johan.

2.2       Program Kokurikulum
Terdapat beberapa program yang dilaksanakan oleh Sukan dan Permainan sekolah menjelang tahun 2014. Program tersebut ialah Projek Khas Sekolah Sukan dan Permainan dan Ceramah Motivasi Jadi Juara. Projek Khas Sekolah Sukan dan Permainan dilaksanakan untuk melahirkan atlet bertaraf kebangsaan dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa, meraih lebih banyak kemenangan di peringkat negeri dan kebangsaan. Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang tahun 2014 dan melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid diberi latihan biasa, latihan intensif seperti mengajar teori, peraturan dan teknik permainan serta menyertai pertandingan. Manakala program Ceramah Motivasi Jadi Juara pula dilaksanakan supaya murid mengalami sendiri hakikat pentingnya perpaduan, kerjasama, permuafakatan dan semangat berpasukan. Program ini dijalankan pada 10 Mac 2014 dan melibatkan pasukan sekolah Ping Pong dan Bola Tampar. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid mendengar ceramah kejayaan menuju kejuaraan.
Selain itu, terdapat program yang dilaksanakan oleh Kelab dan Persatuan menjelang tahun 2014. Program tersebut ialah Kaligrafi dan Skill Building In Chess. Program Kaligrafi melibatkan Kelab Kaligrafi dimana bertujuan untuk meningkatkan taraf kaligrafi Cina, mencungkil bakat murid dalam bidang kaligrafi dan meningkatkan pemahaman murid tentang kebudayaan Cina. Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang tahun 2014 dan melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program adalah murid mempelajari tulisan Cina, diberi latihan kaligrafi dan menyertai pertandingan kaligrafi. Program Skill Building In Chess juga melibatkan Kelab Catur. Program ini dilaksanakan untuk membantu murid memahami dan mengetahui kepentingan mempunyai strategi yang berkesan dan meningkatkan kebolehan murid menyelesaikan masalah dalam permainan. Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang tahun 2014 dan melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid diberi latihan biasa, latihan intensif dan menyertai pertandingan catur.

            Di samping itu, terdapat beberapa program yang dilaksanakan oleh Pakaian Seragam sekolah menjelang tahun 2014. Program tersebut ialah Perkhemahan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Kursus Kepimpinan. Program Perkhemahan PBSM dilaksanakan untuk membentuk dan meningkatkan disiplin, sahsiah dan kekuatan dalaman diri murid. Program ini dijalankan pada bulan Jun 2014 dan melibatkan murid Tahun 4. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid mendirikan khemah, mempelajari jenis ikatan tali, diberi latihan kawad kaki dan mempraktikkan pertolongan cemas. Manakala, program Kursus Kepimpinan pula dilaksanakan untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman bidang tugas masing-masing dan meningkatkan kemahiran pengurusan aktiviti pakaian seragam. Program ini dijalankan pada 12 Februari 2014 dan melibatkan murid berjawatan tertinggi dalam Pakaian Seragam. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid mendengar ceramah konsep kepimpinan dan mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu keterampilan diri dan kreativiti berpasukan.

Pencapaian Sukan dan Permainan yang meliputi pasukan Ping Pong, Bola Tampar, Bola Keranjang, Bola Jaring dan Badminton sekolah telah mencatat rekod yang cemerlang pada tahun 2014. Pasukan Ping Pong kategori lelaki telah mendapat naib johan dalam Kejohanan Ping Pong peringkat bahagian. Pada peringkat negeri Sarawak pula, seorang murid iaitu Wong Lik Rong telah mendapat penyertaan dalam Kejohanan Ping Pong MSS Sarawak. Pasukan Bola Tampar kategori perempuan telah mendapat johan dalam pertandingan Bola Tampar MSS peringkat daerah. Pertandingan Bola Tampar MSS peringkat bahagian untuk kategori pasukan perempuan telah mendapat johan, manakala kategori pasukan lelaki mendapat naib johan. Pertandingan Bola Tampar MSS peringkat negeri Sarawak untuk kategori pasukan perempuan juga telah mendapat johan. Pertandingan Bola Tampar MSS peringkat kebangsaan untuk kategori pasukan perempuan telah mendapat tempat kelima. Pasukan Bola Keranjang kategori lelaki telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bola Keranjang Mini MSSR peringkat daerah. Dua murid daripada pasukan tersebut iaitu Henry Wong Jing Jiet dan Daniel Tang Tuong Ching telah mewakili daerah Sarikei untuk ke peringkat bahagian. Pasukan Bola Jaring untuk kategori pasukan perempuan telah mendapat johan dalam pertandingan Bola Jaring MSS peringkat daerah dan seterusnya melayakkan mereka bertanding dalam pertandingan Bola Jaring MSS peringkat bahagian sebagai mewakili daerah Sarikei. Pertandingan Badminton turut tidak ketinggalan dalam menyumbangkan pencapaian kepada sekolah. Pertandingan Badminton 10 TKB MSS peringkat daerah untuk kategori lelaki perseorangan telah mendapat tempat ketiga. Kategori perempuan perseorangan turut mendapat tempat ketiga. Manakala, pertandingan Badminton 12 TKB MSS peringkat daerah untuk kategori lelaki beregu telah mendapat tempat kedua. Kategori perempuan beregu pula telah mendapat tempat ketiga.

            Selain itu, Kelab Kaligrafi juga telah mencatat rekod pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Kaligrafi anjuran Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan peringkat bahagian yang diwakili oleh Lam Ngiik Bing telah mendapat tempat keempat dan Merry Wong Chew Lei hanya mendapat saguhati. Manakala, Kelab catur turut mencapai rekod yang cemerlang dalam beberapa pertandingan yang disertai oleh murid. Pertandingan Catur MSSD peringkat daerah untuk kategori lelaki 12 TKB telah mendapat tempat ketiga, manakala kategori perempuan 12 TKB telah mendapat johan. Kategori pasukan lelaki pula telah mendapat johan, manakala kategori pasukan perempuan telah mendapat naib johan. Pertandingan Catur peringkat bahagian kategori perempuan telah mendapat johan dan seterusnya melayakkan pemain iaitu Wong Ping, Frennie Law dan Wong Yung Seng untuk ke peringkat negeri Sarawak. Kejohanan Catur MSS Sarawak 12 TKB untuk kategori pasukan lelaki telah mendapat johan, manakala kategori pasukan perempuan telah mendapat tempat ketiga. Kategori lelaki individu pula telah mendapat tempat keempat, manakala kategori perempuan individu telah mendapat tempat kelima.

3.0       KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH.
Berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan yang telah kumpulan kami laksanakan terhadap SJK (C) Kwang Chien, ternyata sekolah ini memberi sepenuhnya perhatian dan tumpuan terhadap konsep persekitaran serta suasana pembelajaran yang mampu menarik perhatian. Hal ini jelas terlihat melalui persekitaran sekolah yang lengkap dari aspek kemudahan dan keceriaan suasana di dalam sekolah.
           
            Berdasarkan hasil temu bual kami bersama Penolong Kanan Hem yang turut memegang jawatan sebagai Guru 3K di sekolah iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan. Beliau menyatakan bahawa sekolah ini amat mengutamakan apek keselesaan pembelajaran di sekolah. Justeru, pelbagai usaha dan program dilaksanakan bagi memastikan pelajar mendapat segala manfaat yang diperlukan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih kondusif sekaligus memenuhi kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara program 3K yang dilaksanakan di sekolah adalah program bebas denggi, kuiz kesihatan anjuran jabatan pelajaran negeri, ceramah tentang penjagaan kesihatan gigi kepada murid-murid tahun 1, gotong-royong, aktiviti senamrobik, pertandingan kebersihan kelas, kawad api, pertandingan lalu lintas anjuran SHELL dan sebagainya.

            Program sekolah bebas denggi yang bertemakan kesihatan dijalankan dengan harapan agar mampu melahirkan sebuah sekolah yang bebas daripada Aedes. Objektif program ini adalah untuk memastikan kawasan sekolah adalah bersih dan air tidak bertakung serta memberi kesedaran kepada murid-murid tentang bahaya penyakit demam denggi. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini ialah pameran, demonstrasi daripada pengawai kesihatan, gotong-royong dengan mengadakan operasi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes. Berdasarkan hasil temu bual bersama Penolong Kanan Hem, sekolah ini kerap kali mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah ekoran ingin mendedahkan kepada para pelajar akan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.

Selain itu, aktiviti yang bertemakan kebersihan adalah projek kitar semula. Sesungguhnya projek ini dijalankan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif melalui penjagaan sekolah yang bersih dan ceria. Projek ini kebiasaannya dijalankan pada setiap bulan dan sepanjang tahun. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang projek ini ialah gotong-royong, pengumpulan suratkhabar lama, tin aluminium, botol plastik dan benda kaca. Guru-guru menggalakkan para pelajar membawa bahan-bahan kitar semula yang tidak berguna daripada rumah untuk dikumpulkan. Bagi aktiviti yang bertemakan keselamatan pula, sekolah ini  telah menjalankan program sekolah selamat yang juga dinamakan sebagai kawad api. Program kawad api ini dijalankan khas jemputan daripada anggota bomba. Objektif program ini adalah untuk memastikan murid dilatih dan diingati bahawa laluan pemindaan ketika berlakunya kecemasan. Apabila berlakunya kebakaran, murid-murid juga dapat melarikan diri di dalam keadaan yang selamat. Antara aktiviti lain yang turut dijalankan ialah ceramah berkenaan keselamatan daripada anggota bomba, praktikal gambaran suasana sewaktu kecemasan, memberi peluang kepada para pelajar menggunakan pemadam api dengan betul dan sebagainya. Justeru, dalam menjayakan program 3K, peranan guru dan murid adalah amat penting kerana mereka merupakan pihak yang saling bergantungan dan sepatutnya bekerjasama agar perancangan 3K di sekolah berjalan dengan lancar.

Perkara yang turut menarik perhatian kami sekumpulan ialah sekolah ini telah menyertai pertandingan cahaya bahagian Sarikei. Berdasarkan temu bual bersama guru besar, idea penyertaan pertandingan cahaya adalah melalui suara guru-guru yang ingin menaikkkan nama sekolah. Para guru-guru yakin dengan persekitaran sekolah yang cantik, ditambah dengan hiasan lampu yang pelbagai pastinya dapat  menarik perhatian orang ramai apabila melalui kawasan sekolah pada waktu malam. Perkara yang turut mendapat kepujian adalah kemudahan asas sekolah yang lengkap dan terjaga. Hal ini dibuktikan dengan dekorasi sekolah yang lengkap dengan taman permainan, kolam ikan yang mempunyai pancutan air, pondok pembelajaran dan sebagainya. Selain itu, kemudahan asas seperti tong kitar semula dan alatan di klinik pergigian juga disediakan. Sekolah juga dilengkapkan dengan kemudahan “CCTV” yang boleh digunakan untuk memantau pergerakan pelajar disamping menjaga keselamatan pelajar di sekolah.

Dengan adanya penglibatan yang aktif daripada warga sekolah, sekolah SJK (C) Kwang Chien telah menerima pelbagai anugerah kecemerlangan. Antaranya ialah anugerah sekolah lestari peringkat negeri pada tahun 2005 dan 2006, anugerah alam sekitar kategori pengurusan serasi terbaik sesi 2007 dan 2008, anugerah program bersepadu sekolah sihat, peringkat negeri 2003 mendapat pingat emas, juara kategori pengurusan alam sekitar (serasi) terbaik tahun 2007 dan 2008, perkhemahan alam semula jadi peringkat kebangsaan 2007 di Kem Malanggang Kiulu Tuaran, johan bagi karnival pendidikan pencegahan dadah peringkat gabungan Sarikei 2008, johan bagi pertandingan kuiz kesihatan peringkat negeri tahun 2008, johan bagi pertandingan lalu lintas shell peringat bahagian tahun 2008 dan sebagainya. Bukti bagi keadaan persekitaran sekolah dan program-proogram 3K yang dijalankan yang telah membawa kepada kecemerlangan sekolah telah saya lampirkan di bahagian lampiran. Sesungguhnya, jelas terlihat program dan aktiviti yang dijalankan di sekolah ini sememangnya telah memberi impak dan kesan yang membangun kepada sekolah dan juga para pelajar. 

4.0       IDEA-IDEA YANG RASIONAL TENTANG MENGAPAKAH SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG MEMBANGGAKAN.
Sekolah Kebangsaan Kwang Chien sememangnya mampu menjadi sekolah yang dibanggakan sebagai sebuah institusi pendidikan di Malaysia. Pelbagai kejayaan dan anugerah yang telah diperolehi oleh sekolah ini sama ada dari aspek akademik mahupun kokurikulum. Pencapaian yang diperolehi juga adalah daripada pelbagai peringkat. Sebagai contoh, sekolah ini pernah mendapat anugerah Anugerah 3K peringkat kebangsaan, Anugerah BOSS Cemerlang SR 2012 oleh Pengarah JPN, Anugerah BOSS Peringkat Kebangsaan dan banyak lagi. Aanugerah ini sememangnya mampu menunjukkan mengapa sekolah sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan.

Murid-murid yang menuntut di sekolah ini juga berasa selesa dan selamat di sekolah ini. Sekolah ini banyak berusaha dalam memastikan keperluan pelajar dipenuhi. Segala keperluan infrastruktur seperti padang, tandas, kantin dan banyak lagi dijaga dengan rapi. Bukan itu sahaja, sekolah ini juga membina taman dihadapan setiap bangunan bagi mengindahkan lagi suasana sekolah tersebut. Sebagai contoh, sekolah tersebut menyediakan pondok untuk pelajar berehat, pusat sumber di luar bilik dan juga tempat murid bermain. Kelas-kelas juga kelihatan kemas dan selesa dilengkapi dengan teknologi maklumat yang diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti Projektor LCD. Bagi kelas tahun 6 pula, mereka belajar dalam keadaan yang kondusif di mana kelas mereka disediakan penghawa dingin dan teknologi maklumat yang berpatutan. Dengan itu, kemudahan yang disediakan oleh sekolah adalah untuk memastikan murid berasa selesa untuk menuntut ilmu dan pengalaman di sekolah ini.

Pencapaian yang dikecapi pula tidak hanya terhenti setelah satu-satu matlamat tercapai malahan usaha berterusan dilaksanakan untuk memastikan tahap kecemerlangan sekolah ditahap yang memuaskan sebagai sebuah institusi pendidikan yang perlu dibanggakan. Salah satu usaha yang dilakukan oleh sekolah ini adalah mengeratkan hubungan kerjasama dengan pihak PIBG. PIBG sekolah ini mula bergiat aktif pada tahun 2011 di sekolah ini. PIBG sememangnya mempunyai peranan penting dalam memastikan kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan. Selain daripada guru-guru, ibu bapa juga adalah orang yang terdekat dengan murid yang mampu membantu dan mendorong murid serta sekolah mencapai kecemerlangan. Dengan itu, pihak sekolah mendapatkan sokongan dan kerjasama yang utuh daripada ibu bapa.

Selain menyediakan infrastruktur yang lengkap kepada pelajar, sekolah juga menganjurkan beberapa akvitivi akademik mahupun kokurikulum bagi melahirkan murid cemerlang yang seimbang dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial. Antara aktiviti akademik yang dijalankan adalah seperti Kelas Ekspres Pagi untuk tahun 6, Kelas Bacaan Awal Pagi untuk murid tahun 1 hingga tahun 5, Kelas Tambahan, Program Anak Angkat untuk tahun 6. Program kokurikulum yang paling ditekankan adalah Program Kem Tunas. Melalui program ini, segala aktiviti kokurikulum dilaksanakan dan dirancang dengan terperinci. Program ini banyak melahirkan murid yang berbakat dalam sukan untuk mewakili sekolah seperti sukan ping-pong, bola tampar dan badminton. Pihak sekolah dan PIBG sentiasa berusaha untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat yang dimiliki oleh murid untuk diasah ke arah kecemerlangan murid sekali gus sekolah. 

Pihak sekolah akan berjumpa dengan PIBG setiap kali terdapat perkara tertentu yang memerlukan penglibatan dan kehadiran PIBG. PIBG bukan sahaja memberikan kerjasama yang padu malahan juga sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah berjaya. Sebagai contoh, PIBG sering kali memberikan bantuan kewangan kepada sekolah untuk memastikan anak-anak mereka belajar dengan selesa di sekolah yang telah mereka amanahkan untuk mendidik anak-anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang berkemahiran menawarkan diri untuk menjadi jurulatih dan tenaga pelajar. Pengorbanan dan kerjasama ini merupakan penyumbang dan penggerak utama dalam mengekalkan kecemerlangan sekolah.

Demi memastikan pencapaian sekolah ditahap yang memuaskan, pihak sekolah juga menitikberatkan peranan guru-guru sebagai pendidik. Pihak sekolah juga berusaha mendapatkan kerjasama yang padu dalam kalangan guru bagi menjayakan segala aktiviti yang dijalankan tidak kira akademik, kokurikulum mahupun sahsiah murid. Justeru, pihak sekolah turut melaksanakan usaha untuk melahirkan pendidik cemerlang. Antaranya adalah Program Pembangunan Staf. Program ini dilaksanakan dibawah program Perkongsian Amalan Terbaik (PAT) yang dijalankan dalam bentuk dalaman bagi apa juga kursus yang telah dihadiri. Setiap guru yang telah menghadiri kursus digalakkan untuk berkongsi ilmu tersebut dengan guru lain untuk memastikan kecemerlangan guru-guru yang lain sekali gus kecemerlangan sekolah.
Konklusinya, dengan kejayaan yang telah dicapai dan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah mencerminkan prestasi yang boleh dibanggakan sebagai institusi pendidikan di Malaysia. Segala usaha yang dijalankan membuahkan hasil yang memuaskan. Semua warga juga sudi menyumbang tenaga tanpa mengira latar belakang keluarga warga pendidikan. Perkara ini penting untuk memastikan sekolah terus maju dan menjadi sekolah pilihan utama untuk murid, ibu bapa malahan guru. Dengan itu, segala pencapaian yang dikecapi diharapkan mampu memenuhi kehendak pendidikan Malaysia dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan menyeluruh dari aspek JERIS.
     


                       







No comments: