Kajian Lapangan Pembelajaran Di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Tee, Meradong

1.0          PENGENALAN
Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) bermaksud proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara sistematik atau terancang dalam jangka masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis data dan persediaan satu laporan yang betul (Educational Technology Division, 2006: 3). PBP boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan, mengikut perancangan guru atau mengikut projek yang hendak dijalankan oleh murid. Biasanya, penilaiannya akan dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah ke tahap hasil yang siap.

Antara ciri-ciri PBP ialah, ia adalah satu kaedah yang mengintegrasikan pengetahuan dengan aktiviti. Hal ini kerana aktiviti yang dirancang adalah berasaskan kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid. Pekara yang dirancang juga sesuai dengan murid dan kurikulum yang sedang digunakan murid pada masa tersebut.

Selain itu, interaksi antara guru dan murid juga berupa bimbingan dan perundingan pada setiap tahap proses. Ini kerana guru perlu menjelaskan prosedur pelaksanaan yang lengkap. Proses ini melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan pelaporan hasil juga refleksi kendiri.

Untuk PBP yang kami jalankan, kami dikehendaki untuk memilih sebuah sekolah untuk mendapatkan data dan maklumat berkaitan dengan Standard Kandungan 1.3 Sejarah Sekolah dalam DSKP Tahun 4. Untuk itu, kumpulan kami telah memilih SJK (C) Ming Tee sebagai sekolah kajian.
·        
2.0          PENERANGAN TENTANG SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH, COGAN KATA, VISI DAN MISI SEKOLAH SERTA MAKSUD WARNA DAN SIMBOL PADA LENCANA DAN BENDERA SEKOLAH
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Tee merupakan sekolah yang terletak di daerah Bintangor. Sejarah penubuhan sekolah ini bermula pada tahun 1933 apabila mubaligh-mubaligh Methodist mula masuk ke Sarawak. Kebanyakan gereja yang didirikan pada masa tersebut digunakan sebagai pusat penyebaran pendidikan. Kemudiannya, pada tahun yang sama, Encik Lau Siew Yung telah mohon untuk dijadikan Penolong Gereja untuk gereja yang terletak di Batu 3, Jalan Kelupu, Bintangor. Untuk menubuhkan gereja baru tersebut, beliau dan beberapa orang tempatan telah memberi bantuan termasuk dari segi kewangan. Gereja itu kemudiannya dijadikan bilik darjah dan diberikan nama Sekolah Ming Tee atau ‘Ming Tee Primary School’.

            Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai seorang murid. Semakin lama, jumlah muridnya meningkat ke 170 orang. Apabila bangunan gereja tersebut tidak dapat lagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah, bangunan baharu telah dibina hasil kutipan derma daripada orang-orang tempatan. Selepas pendudukan Jepun tamat pada tahun 1945, pada tahun 1946, sekolah tersebut diperbaiki semula dan dilengkapkan dengan peralatan-peralatan yang diperlukan. Pada tahun 1949 pula, sekolah ini telah menerima derma daripada sekumpulan mubaligh Methodist sebanyak RM 5000 untuk membina bangunan baru. Bilangan murid pada masa itu ialah 250 orang dan bilangan guru ialah 8 orang.

Pada tahun 1964, sekolah ini telah diambil alih oleh kerajaan. Maka, kebanyakan perbelanjaan sekolah ini adalah ditanggung oleh kerajaan. Pada tahun 1977, 6 buah bilik darjah, sebuah bilik staf dan sebuah kantin telah didirikan. Selain itu, 4 buah tandas lelaki dan 5 buah tandas perempuan yang dibuat daripada simen juga telah dibina. Pada penggal ketiga pada tahun 1986, sebuah bangunan lama telah digantikan dengan bangunan baru yang dibuat daripada setengah kayu dan setengah simen. Bangunan baru tersebut mempunyai sebuah bilik staf, sebuah perpustakaan dan sebuah bilik sumber sekolah. Pada tahun 1991, tingkat bawah bangunan baru yang kosong dibuat bilik pemulihan dan dewan sekolah dan pagar sekolah baru berdawai dibina.

Guru Besar pertama sekolah ini ialah Encik Ting Su Mui. Guru-guru Besar yang seterusnya pula hanya menjawat jawatan sebagai Guru Besar dalam tempoh masa 6 bulan hingga 4 tahun. Pada bulan Ogos 1995, Puan Lee Leh Choo telah ditugaskan untuk menjawat jawatan Guru Besar hingga sekarang. Sepanjang tempoh beliau menjadi guru besar hingga sekarang, pembangunan infrastruktur sekolah giat dilakukan. Antaranya ialah pembinaan bangunan sekolah tiga tingkat (siap pada Julai 2002), pembinaan sebuah stadium berbumbung (siap pada Mac 2004), projek mendirikan pagar bersimen dan pintu gerbang sekolah (siap pada Oktober 2004) dan pembinaan tempat meletak kereta di luar sekolah (2012).

Antara kemudahan lain yang dibangunkan di SJK (C) Ming Tee ialah sekolah ini telah mewujudkan bilik bimbingan dan kaunseling untuk memberi bantuan kepada murid yang memerlukan bantuan, mewujudkan Bilik Operasi untuk melicinkan pengurusan KSSR di SJK (C) Ming Tee, mewujudkan Bilik Pemulihan supaya murid yang memerlukan bantuan khas dalam pembelajaran mempunyai suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa dan sekolah ini telah mewujudkan kemudahan ‘wireless’ untuk memudahkan kerja pengurusan dan pentadbiran, serta untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dan kondusif.
             
            Cogan kata SJK(C) Ming Tee ialah “Sehati Sejiwa Ke Arah Kecemerlangan”. Visi sekolah pula adalah “Organisasi Sekolah Yang Beribawa dan Unggul Serta Bermuafakat Dengan Sehati Sejiwa Dalam Semua Aspek Perkhidmatan Pendidikan”. Misi sekolah pula ialah “Memastikan Pengurusan Semua Aspek Perkhidmatan Pendidikan Di Peringkat Sekolah Yang Melibatkan Semua Warga Sekolah Dilaksanakan Secara Paling Berkesan Dengan Sehati Sejiwa Ke Arah Kecermelangan Untuk Mencapai Matlamat Pendidikan”. Untuk tambahan, sekolah ini mempunyai etos SKJ (C) Ming Tee juga iaitu, “Keutuhan Warga SJK (C) Ming Tee Secara Sehati Sejiwa Ke Arah Kecemerlangan Dalam Aspek Pengurusan Alam Sekitar Yang Mampan Ke Arah Pembangunan Modal Insan Berminda Kelas Pertama Demi Mencapai Matlamat Mewujudkan Sekolah Dalam Taman Bagi Melahirkan Murid Yang Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang.”

*Sekolah ini tidak memiliki lencana dan bendera sekolah

3.0          PENJELASAN TENTANG PROGRAM ATAU PROJEK BERIMPAK TINGGI YANG DILAKSANAKAN UNTUK MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
Berdasarkan kajian yang dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Tee, Meradong, didapati terdapat pelbagai program yang berimpak tinggi dilaksanakan di sekolah tersebut yang sememangnya telah memberi impak yang besar kepada kecemerlangan sekolah. Didapati sekolah ini amat menekankan tentang kesihatan para murid dan kebersihan sekolah. Hal ini kerana program-pogram yang dijalankan berunsurkan kesihatan dan kebersihan sekolah. Sebagai contoh, program Kebersihan Gigi, Sekolah Bebas Dadah, Amalan Pemakanan Yang Sihat, Program Cara Hidup Sihat, Program SERASI dan sebagainya. (sila rujuk lampiran di belakang berkenaan program-program khas sekolah). Selain itu, terdapat juga program yang memfokuskan kepada kecemerlangan akademik murid seperti Program Kad Akses Kendiri yang bertujuan untuk mewujudkan Alat Bantu Mengajar yang berkesan bagi murid di sekolah tersebut. Di samping itu juga, Program Nilam, Program Anak Angkat, Program Bestari dan banyak lagi program yang lain dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan akademik murid akan sentiasa terjaga dan sentiasa mendapat perhatian lebih daripada sekolah. (sila rujuk lampiran di belakang berkenaan dengan program-program sekolah).

Hasil temu bual yang dijalankan bersama pihak sekolah mendapati program yang dijalankan memberi impak yang besar kepada para murid sekolah tersebut. Memandangkan bilangan murid di SJK (C) Ming Tee tidak begitu ramai, maka perlaksanaan program tersebut mendapat kerjasama yang baik daripada murid, guru dan pihak PIBG. Kerjasama yang baik inilah yang telah menyebabkan kecemerlangan sekolah ini dapat ditingkatkan maka tidak hairanlah apabila banyak anugerah-anugerah yang diterima oleh sekolah ini sebagai contoh Anugerah Lestari - Pensijilan Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan. Dalam program Sekolah Lestari, sekolah ini telah menghasilkan enzim mereka yang tersendiri. Antara program-program lain yang dijalankan dalam Program Sekolah Lestari ialah Program Seorang Pelajar Sepohon Pokok dimana setiap murid mempunyai sepohon pokok, projek menanam sayur-sayur dan buah-buahan tempatan ditanam di kawasan sekolah dan akhir sekali ialah penghasilan kompos. daripada daun dan batang pokok yang dicantas.

Daripada aspek akademik murid, mulai tahun 2013, pihak sekolah telah melaksanakan Program Sarana Sekolah dan Sarana Ibu bapa dalam pencapaian akademik sekolah dan kokurikulum sekolah. Sarana sekolah menyaran supaya sekolah menjadi penggerak utama dalam meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam komuniti dan pembelajaran anak. Semangat kekitaan dan interaksi sesama ibu bapa dengan warga sekolah telah dipupuk dan digalakkan. Perlaksanaan program ini sebenarnya telah mendatangkan faedah kepada murid dan ibu bapa. Dengan melibatkan ibu bapa, keciciran sekolah dapat dielakkan dan murid mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk belajar. Dalam bidang akademik ibu bapa telah bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menetapkan sasaran peratusan kuantiti dan kualiti kelulusan Tahun 4, 5 dan 6.

Kecemerlangan sekolah ini dalam aspek alam sekitar, akademik dan kokurikulum mememang tidak dapat dinafikan. Program-program yang lain juga turut memberi impak namun program alam sekitar inilah yang menunjukkan kecemerlangan sekolah yang jelas. Justeru itu, sekolah ini sememangnya mempunyai banyak program-program yang berimpak tinggi serta memberi kecemerlangan kepada sekolah khasnya.

4.0          PENILAIAN DAN JUSTIFIKASI TENTANG KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH
Kebersihan dan keindahan sekolah adalah satu aspek penting dalam sekolah. Tidak dinafikan kecemerlangan sekolah ini sebenarnya banyak dibantu oleh aspek alam sekitar sekolah. Hakikatnya SJK(C) Ming Tee cukup terkenal di daerah Sarikei mahupun Bintangor kerana kecemerlangan sekolah ini mengekalkan status sekolah dalam taman. Melangkah kaki ke sekolah ini didapati sekolah sememangnya menggambarkan status yang dipegangnya itu.

Di sekolah ini, terdapat Program Sekolah Lestari. Antara program-program yang dijalankan dalam Program Sekolah Lestari ini ialah Program Seorang Pelajar Sepohon Pokok dimana setiap murid mempunyai sepohon pokok. Tujuan program ini adalah untuk memupuk dan menyemai sikap cinta akan alam sekitar pada murid. Sayur-sayur dan buah-buahan tempatan ditanam di kawasan sekolah. Tujuannya adalah untuk menghijaukan kawasan sekolah dan memupuk sifat jimat cermat di kalangan warga sekolah. Akhir sekali ialah penghasilan kompos. Kompos dihasilkan daripada daun dan batang pokok yang dicantas. Daun dan dahan pokok yang dikumpulkan dalam tong sampah dawai akan dibiarkan berhujan dan berjemuran di bawah matahari. Kemudian, bahan tersebut akan dipijak supaya menjadi padat dan ditutup dengan kain kanvas untuk menjalani proses fermentasi. Selepas 3 hingga 6 bulan, kompos akan terhasil.

Sekolah ini juga terkenal dalam penghasilan enzim. Enzim yang digunakan tersebut adalah bersifat organik malah pihak sekolah menggunakan enzim tersebut di sekitar sekolah sebagai contoh untuk mengurut murid, bahan pencuci dan banyak lagi. Sekolah ini menghasilkan pelbagai jenis enzim yang digunakan dalam sesi persekolahan. Maka tidak hairanlah jika sekolah ini dianugerahkan Anugerah Khas Elemen Khas (Penghasilan Enzim) dalam Program Sekolah Lestari.

            SJK(C) Ming Tee banyak menerima bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam mengekalkan keindahan dan kebersihan sekolah. Kawasan luar sekolah ini telah diitanam dengan pelbagai pokok palma dan tumbuhan-tumbuhan lain yang menceriakan dan  mengindahkan sekolah. Persekitaran sekolah juga ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan ditambah lagi dengan mural-mural dan arca-arca yang berunsurkan alam sekitar. Berdasarkan temu bual, pada tahun 2003 pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak RM70 000 untuk projek keceriaan sekolah. Dibawah projek tersebut, kawasan sekolah telah diberikan dua pondok/gazebo , sebuah air terjun buatan, sebuah lorong reflexologi serta ditanami pelbagai pokok bagi menceriakan dan mengindahkan sekolah. Pemandangan yang indah inilah yang menjadi salah satu faktor pendorong untuk menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik kepada warga pendidik dan murid sekolah tersebut. Berikut merupakan pengiktirafan dan anugerah yang diterima berkenaan dengan kebersihan dan keceriaan sekolah.

TAHUN DIPEROLEHI
PERKARA/ TAJUK ANUGERAH/ PENGIKTIRAFAN
2005
  • Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri (Johan)
  • Johan bagi Anugerah Alam Sekolah Rakan Alam Sekitar 2005 Dalam Kategori Kebersihan Dan Keindahan Persekitaran Sekolah (Peringkat Negeri)
2006
  • Anugerah Lestari Peringkat Kebangsaan
  • Sekolah Terbaik Peringkat Negeri
  • Naib Johan Sekolah Harapan Negeri Peringkat Kebangsaan
2007
·         Anugerah Sekolah Cemerlang
2007/2008
  • Pertandingan Serasi Juara Keseluruhan
  • Anugerah Sijil Usaha Gigih
2009
  • Sijil Penyertaan Pertandingan 3K
  • Naib Johan Anugerah Keceriaan Jabatan Persekutuan Sarawak (MAMPU) dalam kategori dibawah 75 orang Kakitangan
2009/2010
  • Johan Keseluruhan Anugerah Serasi
  • Johan Kategori Pengurusan Alam Sekitar Anugerah Serasi
  • Sijil Gangsa Anugerah Sekolah Lestari Pensijilan Alam Sekitar
  • Johan Pertandingan Folio 3RLOcal Agenda 21
2011/2012
Anugerah Lestari-Pensijilan Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan:
  • Anugerah Khas Bagi Elemen Khas (Penghasilan enzim) Dalam Program Sekolah Lestari
  • Anugerah Khas Ke[impinan Lestari Dalam Program Sekolah Lestari (Guru Besar SJK(C) Ming Tee- Pn Lee Leh Choo)
  • Anugerah Khas Sekolah harapan Lestari bagi sesi 2011/2012 (Pingat Perak)

5.0          PERBINCANGAN IDEA-IDEA YANG RASIONAL TENTANG MENGAPAKAH SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG PERLU DIBANGGAKAN
Menurut pemerhatian kami di SJK (C) Ming Tee, sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang cemerlang dimana ianya pernah menerima beberapa kali anugerah sebagai sebuah sekolah yang cemerlang. Untuk menjadi sebuah sekolah yang cemerlang, tidak dapat dinafikan bahawa muridnya mestilah cemerlang dari segi akademik, kokurikulum dan juga sahsiah mereka. Warga sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan murid yang cemerlang demi menjaga nama baik sekolah. Terdapat banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh warga sekolah untuk melahirkan murid cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum. Dalam masa yang sama, SJK (C) Ming Tee juga berusaha bersungguh-sungguh dalam membentuk sahsiah murid-murid. Dalam melahirkan murid yang cemerlang di sekolah ini, pihak sekolah telah mengadakan pelbagai jenis program dan aktiviti. Warga sekolah, ibu bapa dan murid sendiri memainkan peranan masing-masing dalam membantu menjayakan program dan aktiviti yang telah dilancarkan.

Mulai tahun 2013, pihak sekolah telah melaksanakan Program Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa dalam pencapaian akademik sekolah dan kokurikulum sekolah. Sarana sekolah menyaran supaya sekolah sebagai penggerak utama dalam meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam komuniti dan pembelajaran anak. Semangat kekitaan dan interaksi sesama ibu bapa dengan warga sekolah telah dipupuk dan digalakkan. Pelaksanaan Program Sarana Ibu Bapa mendatangkan faedah kepada murid dan ibu bapa. Dengan melibatkan ibu bapa, keciciran sekolah dapat dielakkan dan murid mempunyai motivasi belajar yang lebih tinggi. Ibu bapa juga berpeluang untuk mengetahui kaedah membantu anak di sekolah. Dalam bidang akademik, ibu bapa telah bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menetapkan sasaran peratusan kuantiti dan kualiti kelulusan untuk Tahun 4, 5 dan 6. Menurut temu bual bersama pihak sekolah, terdapat ramai bekas murid yang cemerlang dan insan berkualiti dilahirkan oleh sekolah ini sehinggakan mereka mampu memegang profesion tinggi pada hari ini. Sebagai contoh, Lu Siew Chui yang mendapat 7A dalam keputusan UPSR dulu, kini telah meneruskan pengajiannya di universiti dalam bidang doktor gigi, Wong Ba Huay seorang murid lelaki yang mendapat 6A pula telah menamatkan pengajiannya dan bekerja sebagai seorang doktor dan Kiew Kwong Rong juga merupakan seorang murid yang cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum dan kini telah menjadi seorang doktor yang berjaya. Terdapat ramai lagi murid yang cemerlang dan kini telah menjadi seorang insan yang berjaya.

Selain daripada bidang akademik, dalam bidang sukan ibu bapa anak murid turut menghulurkan bantuan kepada sekolah dalam melahirkan murid cemerlang.  Ibu bapa telah menjadi sebagai penolong jurulatih dalam beberapa bidang sukan. Hal ini kerana terdapat segelintir ibu bapa yang mahir dalam sesetengah sukan dan pernah menjadi wakil pemain. Ini bukan sahaja dapat meringankan bebanan guru manakala juga membolehkan pihak ibu bapa lebih memahami cara melatih murid dan semangat kekitaan disemai secara tidak langsung. Program ini dengan jelasnya telah mampu menunaikan hasrat sekolah dalam melahirkan murid cemerlang. Ini disebabkan menurut laporan pencapaian kokurikulum tahun 2014, sekolah ini telah mampu melahirkan murid untuk menjadi wakil pemain sehingga ke peringkat bahagian, daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam pertandingan Catur antarabangsa murid yang bernama Ernest Ling telah menjadi sebagai wakil kebangsaan dan mendapat tempat ke-14. Dalam permainan bola baling pula, SJK (C) Ming Tee juga berjaya melahirkan dua pasukan sebagai wakil daerah iaitu satu pasukan perempuan dan satu pasukan lelaki. Bukan itu sahaja, SJK (C) Ming Tee turut menghantar wakil untuk mengikuti pertandingan Bola Jaring, Bola Tampar, Bola Keranjang dan  Badminton. 

Sebagai seorang murid yang cemerlang bukan hanya perlu cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum malah mereka juga harus memiliki sahsiah diri yang terpuji. Bagi aspek sahsiah murid, sikap positif dan disiplin yang baik telah disemai dengan amat ketara di kalangan murid sekolah Ming Tee. Beberapa Program HEM telah dilaksanakan sebagai usaha melahirkan murid yang bersahsiah tinggi. Pelaksanaan program bertujuan untuk memupuk sikap mendisiplinkan diri sendiri di kalangan murid. Program HEM merangkumi Program Gigi Saya Bersih, Program Saya Tidak Petik Bunga, Program Saya Benci Sampah, Program Berdoa dan Bersyukur Kepada Tuhan serta Program Bebas Denggi. Program tersebut dipantau oleh guru bertugas harian dan direkodkan. Selain itu, Program Penyayang Sekolah juga telah dilaksanakan dengan sepenuhnya di sekolah kami. Guru bertugas perlu bertugas di depan pagar sekolah sebelum dan selepas waktu persekolahan supaya dapat bertegur sapa dengan murid dan mengemaskan pakaian mereka. Semua guru juga sentiasa bercakap baik dengan murid dan menasihati murid dengan baik jika mereka melakukan kesalahan.

Tuntasnya, dengan jelas sekali menunjukkan bahawa kesemua usaha yang telah dilaksanakan oleh warga sekolah ini telah berjaya melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik, kurikulum dan sahsiah peribadi murid. Secara rasionalnya, murid yang cemerlang akan mampu menjadikan sekolah ini sebagai institusi pendidikan yang dibanggakan.

6.0          PENUTUP

Kesimpulannya, daripada dapatan kajian kami, kami mendapati pihak pengurusan dan guru-guru SJK (C) Ming Tee sememangnya komited dengan pengurusan aspek-aspek perkhidmatan pendidikan sekolah ini. Dengan semangat ini, SJK (C) Ming Tee pastinya dapat menjadi sebuah sekolah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di masa depan, di samping dapat merealisasikan aspirasi Negara.

No comments: