Google+ Followers

KAJIAN SEJARAH SEKOLAH : SK ABANG AMIN, BINTANGOR, SARAWAK.

SEKOLAH KEBANGSAAN ABANG AMIN 
SEBAGAI SEBUAH INSTITUSI PENDIDIKAN YANG BOLEH DIBANGGAKAN.

  1. 1.0    PENGENALAN

Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning) merupakan satu kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran. Secara spesifiknya, kaedah ini juga digunakan dalam mata pelajaran sejarah. Dalam perkembangan pembelajaran terkini berasaskan kumpulan kerja dalam menghasilkan sesuatu projek yang bermutu dan efisien sering dirujuk kepada keberkesanan pengurusan dan kaedah yang digunakan. Pembelajaran Berasaskan Projek ini kini dikembangkan kerana kaedah ini lebih efektif dalam penyelesaian permasalahan berkaitan pembangunan gerak kerja projek dan terbukti dalam membantu sistem pendidikan menghasilkan suatu konsep pembelajaran yang sangat efisien.

Justeru, bertitik tolak kepada konsep dan keberkesanan kaedah ini, Pembelajaran Berasaskan Projek merupakan salah satu kursus wajib bagi PISMP Pengajian Sejarah Semester 4. Dalam kursus ini, satu tugasan berkaitan projek kajian lapangan sejarah sekolah diperuntukkan bagi memenuhi kehendak proforma. Maka, kajian dijalankan ke atas beberapa buah sekolah terpilih yang berhampiran dengan IPG Kampus Rajang. Tema dan tajuk kajian ditetapkan iaitu bagi mengkaji sejauhmana sesebuah sekolah mampu diklasifikasikan sebagai satu institusi pendidikan yang dibanggakan. Kumpulan kami telah memilih SK Abang Amin, Bintangor sebagai kawasan kajian.

Maka, bagi mengkaji tajuk tersebut, beberapa maklumat perlu untuk diperolehi dan dianalisis iaitu sejarah penubuhan sekolah, program-program berimpak tinggi yang dilaksanakan merangkumi aspek kurikulum dan kokurikulum, menjustifikasi keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, dan mengemukakan idea-idea rasional yang memaparkan SK Abang Amin mampu menjadi  salah sebuah institusi pendidikan yang mampu dibanggakan. Dalam pelaksanaannya, beberapa langkah dan kaedah kami gunakan dalam memperolehi maklumat yang diperlukan. Antaranya adalah penggunaan instrumen pengumpulan data yang terdiri daripada pemerhatian, senarai semak, borang soal selidik dan temubual. Pada masa yang sama, hasil akhir tugasan adalah berbentuk pendokumentasian bergambar, video, laporan esei dan bahan-bahan berkaitan seperti brosur dan buku skrap.

Konklusinya, pembelajaran berasaskan projek memerlukan komitmen yang tinggi untuk dilaksanakan. Namun, kaedah ini memberikan pengetahuan dan pengalaman sebenar kepada pelajar serta memantapkan lagi aspek-aspek kemahiran komunikasi serta kemahiran sosial para guru.


  1. 2.0     HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

2.1          Sejarah Penubuhan Sekolah, Visi Dan Misi Sekolah.
2.1.1      Asal-Usul SK Abang Amin
Seorang tokoh yang sangat berpengaruh di kawasan Binatang, Abang Amin Bin Abang Bujang telah ditugaskan oleh pemerintahan British menjadi ketua menjaga keamanan sekitar kawasan Binatang. Beliau mempunyai susuk tubuh yang tegap, tinggi, lampai, kuat serta dipercayai kebal (tidak lut senjata). Oleh yang demikian, beliau sangat-sangat disegani oleh masyarakat sekelliling.

Beliau dipercayai berasal dari Kuala Saribas Bahagian Sri Aman. Beliau merantau bersama keluarga dan menetap sekejap di Sarikei. Tidak lama selepas itu, beliau bersama-sama pengikutnya cuba membina kampong di Stubah. Memandangkan Tanah di situ tidak berapa sesaui untuk bercucuk tanam, maka mereka berpindah pula ke Bunut (kira-kira 8 Kilometer dari pekan Bintangor sekarang). Tetapi atas arahan British mereka terpaksa berpindah lagi ke Binatang. Di Kampong Binatang ini mereka cuba membina penghidupan baru dengan diketuai oleh Abang Amin Bin Abang Bujang.

Abang Amin Bin Abang Bujang mempunyai seorang isteri yang sangat setia dan berbudi tinggi. Mereka telah dikurniakan dengan beberapa orang anak. Salah seorang daripada anak beliau yang bernama Dayang Keng telah berkahwin dengan seorang Native Officer iaitu Tun Haji Matahir (Nama asal SK Abang Haji, Matahir Sarikei). Abang Amin Bin Abang Bujang telah meninggal dunia di Kampung Binatang (tarikhnya tidak dapat dipastikan) dan dikebumikan di Bunut. Untuk mengenang jasa bakti beliau itu, maka pada tahun 1935 penduduk Kampong mendirikan sekolah secara bergotong royong bersempena nama beliau.

Pada mulanya, sekolah dibuat daripada atap daun nipah. Penduduk Kampong beramai-ramai bersekolah di situ. Ketika itu syarat kemasukan sekolah adalah bebas. Masa belajar diatur pada masa petang sahaja. Pada paginya murid-murid sekolah membantu ibubapa mereka menorah getah dan bertanam padi. Pelajaran yang diajar pula adalah jawi dan rumi. Guru pertama mengajar di sekolah tersbeut bernama Cikgu Abang Haji Abdul Wahab bin Abang Haji Bahak berasal dari Kuching. Pada mula pembukaan sekolah, lebih kurang empat puluh orang murid telah mengikuti kelas kelas yang diadakan di tempat sementaranya, di Masjid Kampung. Selepas tiga bulan, mereka berpindah pula ke bangsal sekolah (bangunan sekolah terawal). Beberapa tahun kebelakangan, penduduk kampung semakin bertambah besar, begitulah juga dengan bilangan murid sekolah. Oleh sebab bangsal sekolah atap tidak dapat menampung jumlah murid yang terlalu ramai, maka bangsal sekolah atap itu terpaksa diperbesarkan lagi.

Dalam tahun 1938, bangunan sekolah atap dipindahkan lagi ke tempat sekarang ini. Tertubuhnya sekolah ini pada tahun 1935 hanya masyarakat Melayu sahaja yang mendapat perkhidmatannya. Tambahan pula nama sekolah ini ketika itu ialah Sekolah Melayu Abang Amin, Binatang. Pada tahun 1946, pihak Majlis Daerah Binatang mula mengambil alih tugas mengendalikan pengurusan pentadbiran sekolah ini. Pada ketika itu juga nama sekolah ini disebut Sekolah Abang Amin, Binatang (Abang Amin School, Binatang). Masyarakat Iban yang tinggal berdekatan mengambil oeluang menimba ilmu di sini. Tetapi setelah berpindah ke sekolah tersebut pula. Justeru itu, tinggalah hanya penuntut Melayu belajar di sini.

Dalam tahun 1973, sekolah ini sekali lagi menerima perubahan apabila ia mengambil alih oleh kerajaan sepenuhnya. Oleh yang demikian nama sekolah ini menjadi Sekolah Rendah Kerajaan Abang Amin, Bintangor. AS.517, Meradong.

2.1.2      Visi Dan Misi Sekolah
logo baru kpm 2013 foto gambar logo rasmi baru kementerian pendidikan malaysia 2014
VISI
"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"
MISI
"Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"
LOGOABGAMIN.bmp
VISI
Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Abang Amin merupakan unit yang memberi perkhidmatan berkualiti secara menyeluruh dan berkesan
MISI 

Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh menyediakan perkhidmatan  membantu murid dari aspek pengayaan, pengembangan, pencegahan dan pemulihan untuk mempertingkatkan pengetahuan, ketrampilan, kemahiran, konsep kendiri positif dan jati diri dari aspek jasmani dan rohani.

2.2          Program Kurikulum Dan Kokurikulum Yang Berimpak Tinggi

Kurikulum merupakan satu elemen penting dan sangat utama dalam sistem pendidikan di Malaysia di samping aktiviti Kokurikulum yang menyokongnya. Berdasarkan kepada hasil temubual bersama pihak pengurusan sekolah yang terdiri daripada Guru Besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum, dokumentasi pencpaian dan penglibatan sekolah serta pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, beberapa maklumat diperolehi bagi menganalisis program-program kurikulum dan kokurikulum yang berimpak tinggi kepada sekolah secara keseluruhan dan kepada semua murid khususnya.

Dalam aspek kurikulum, pencapaian akademik dan program-program berbentuk akademik menjadi fokus utama. Merujuk kepada situasi semasa iaitu keputusan ujian peperiksaan sekolah dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi 3 tahun ke belakang, sekolah mengalami sedikit kemerosoton. Justeru, pihak sekolah mengambil beberapa langkah dalam usaha melonjakkan prestasi sekolah kepada tahap yang dikehendaki. Pertama, pihak sekolah melaksanakan kelas tambahan intensif dan berfokus khusus kepada murid tahun 6 bagi memastikan mereka mereka mampu dan berjaya mencapai tahap cemerlang dalam UPSR. Kelas tambahan intensif dan berfokus ini dilaksanakan selepas waktu persekolahan yang memaparkan kesungguhan dan kegigihan para guru dalam memastikan kemenjadian murid dalam akademik.

Di samping itu, bagi memulihkan keadaan penurunan dalam keputusan akademik, program motivasi dilaksanakan oleh Guru Kaunseling sekolah. Program motivasi ini bertujuan mengembalikan semula semangat murid dalam mencapai kecemerlangan di samping mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan murid. Permuafakatan bersama ibu bapa murid juga dilaksanakan. Program permuafakatan ini adalah bertujuan agar ibu bapa sentiasa cakna akan prestasi pencapaian akademik anak masing-masing. Maka, dengan cara ini, bukan sahaja prestasi murid mampu ditingkatkan, namun prestasi akademik sekolah secara keseluruhan turut mampu ditingkatkan.

Selain itu, SK Abang Amin turut melaksanakan Minggu Matematik, Bulan Bahasa dan Sambutan Hari Kemerdekaan. Sebagaimana sekolah-sekolah rendah yang lain, sambutan bulan kemerdekaan pada setiap bulan Ogos sehinggalah bulan September  merupakan satu sambutan yang mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid. Manakala, Minggu Matematik dan Bulan Bahasa yang diadakan bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap mata pelajaran yang berkaitan, namun program tersebut diadakan selaras dengan usaha memperbaiki aspek literasi dan numerasi (LINUS) murid.

Selain Program dalaman sekolah, SK Abang Amin turut aktif dalam penyertaan program kurikulum dalam konteks luar sekolah. Antaranya seperti Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) dan story telling competition. SK Abang Amin juga merupakan tumpuan kepada pelaksanaan beberapa program khas. Contohnya, Program Khas Bersama Siswa Siswi Universiti Sains Malaysia, Program Bersama YB N.36 Semop dan Program Kecemerlangan Bersama Guru Cemerlang SK Kpg Nangka, Encik Ismail Hj Juhaili. Program-program khas ini adalah untuk menyuntik semangat murid dalam meningkatkan keyakinan diri serta sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan secara menyeluruh. SK Abang Amin tidak ketinggalan dalam menyertai progrm anjuran pihak Jabatan Pendidikan Daerah Meradong seperti Program Motivasi secara berperingkat, Program Galus (Gagal dan Lulus) serta program kecemerlangan secara berperingkat. Pada masa yang sama, panitia turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program kurikulum berimpak tinggi ini iaitu menjalankan program pemulihan dan pengayaan dalam mata pelajaran yang kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Sekolah Abang Amin merupakan salah sebuah sekolah yang memberi banyak memberi sumbangan dalam bidang sukan kerana mampu melahirkan modal insan yang aktif dan sihat. Melalui kegiatan kokurikulum, SK Abang Amin telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang berimpak tinggi untuk permainan badminton, takraw dan bola jaring. Selain itu, SK Abang Amin juga menjalankan aktiviti kokurikulum pada setiap petang hari Khamis. Selain itu, sukan olahraga juga tidak ketinggalan dijalankan di sekolah. Penglibatan aktif sekolah ini telah mencapai peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.

            Antara aktiviti dan program yang berimpak tinggi diadakan di SK Abang Amin ialah Klinik Bola Sepak dan Klinik Takraw yang dilaksanakan bersama PPD. Klinik ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih lanjut kepada murid-murid tentang kemahiran-kemahiran dalam bola sepak dan takraw. Di samping itu, klinik ini juga memberi motivasi kepada murid-murid supaya lebih bersemangat dalam bersukan. Selain itu, Program Mentor-Mentee yang diadakan untuk murid-murid supaya mereka dapat dibimbing oleh guru-guru yang mahir dalam bidang yang diceburi. Program ini penting supaya murid-murid jelas akan hala tuju penglibatan dalam sukan dan dapat memberi sumbangan kepada negara. Sekiranya diadakan pertandingan pada mana-mana peringkat, guru akan berperanan sebagai jurulatih kepada murid-murid yang mengambil bahagian.

Kemudian, dalam bidang olahraga SK Abang Amin juga terlibat dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSS Bahagian Sarikei ke-40 2014 pada tahun ini dalam acara 200 meter iaitu adik Mohd. Shahrul Adham b. Abeng. Dalam olahraga juga, sekolah ini pernah mewakili perikat bahagian dan negeri  pada tahun 2012 sehingga  2013. Selain itu, terdapat juga wakil yang dihantar dalam kejohanan tersebut bagi permainan Bola Jaring  dan memperoleh Naib Juara. Dalam kejohanan tersebut, beberapa orang pasukan Bola Jaring SK Abang Amin telah terpilih mewakili Daerah Meradong iaitu Nuratika bt. Alias, Nurhayati Bt. Jekeri dan Basirah Bt. Baki. Akhir sekali, SK Abang Amin juga menghantar seorang pemain badminton dalam kejohanan tersebut iaitu adik Sharifah Daniamalyana Bt. Wan Deros. Murid-murid di sekolah ini sangat berbakat kerana mereka telah dilatih dan terlibat dengan sukan secara aktif sejak Tahun 3 lagi. Oleh itu, guru-guru SK Abang Amin sangat memberi galakkan kepada murid-murid untuk bergiat dalam bidang sukan.

            Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga diadakan pada setiap petang. Ini juga mampu menaikkan semangat murid-murid dalam belajar dan menceburi bidang baru. Kemahiran murid juga dapat ditingkatkan dan dipelbagaikan supaya mempunyai kebolehan dan kecekapan dalam melakukan pelbagai perkara. Sistem Kokurikulum SK Abang Amin terbahagi kepada tiga sama seperti sekolah lain iaitu Unit Beruniform, Kelab atau Persatuan dan Sukan atau Permainan. Dalam Unit Beruniform terdapat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Pengakap, Tunas Puteri dan TRKS. Manakala Kelab atau Persatuan pula dalam bidang Seni Budaya / Rukun Negara, Pendidikan Islam, Perpustakaan, dan Akademik seperti Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik. Seterusnya, Sukan atau Permainan pula dalam sukan bola sepak, bola jaring, olahraga dan badminton.   Implikasinya,  kegiatan kokurikulum telah mewujudkan peluang yang seluasnya kepada murid dan guru untuk menyertai kegiatan kokurikulum yang diminati oleh mereka.

            Di samping itu, sekolah juga mengadakan aktiviti yang melibatkan murid, guru dan masyarakat luar dalam beberapa program. Antara program yang diadakan adalag seperti Senamrobik Serentak 1 Murid 1 Sukan, Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan ke 55, Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell, Perkhemahan Unit Beruniform, dan Merentas Desa. Selain itu, terdapat juga program Majlis Permuafakatan Guru dan Ibu Bapa, Program Guru Penyayang dan Motivasi Tahun 6. Selain itu, terdapat juga aktiviti sampingan yang membezakan SK Abang Amin dengan sekolah-sekolah lain adalah seperti mengalu-alukan kedatangan murid dan menghantar murid balik di pintu pagar sekolah, memberi hadiah sebagai galakan kepada murid-murid yang berjaya selepas ujian dijalankan dan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Program-program ini sangat penting kerana dapat memberi galakkan kepada murid untuk menceburi pelbagai bidang agar dapat membantu menghadapi cabaran hidup era teknologi kini di samping mengeratkan hubungan baik antara guru dan murid serta masyarakat sekitar. Dengan ini, murid akan berperibadi mulia dan mempunyai sahsiah yang cemerlang.
                                                                                                  
            Hasil temubual bersama En Jahari bin Ini, PK Kokurikulum SK Abang Amin, beliau berharap dapat melahirkan pelajar yang bergiat aktif dalam sukan agar dapat bersukan ke peringkat yang lebih tinggi. Bakat murid-murid juga tidak sia-sia dipupuk sejak Tahun 3 lagi. Oleh itu, bakat itulah yang membawa mereka ke peringkat yang lebih baik berbanding sekarang. Pada pendapat beliau, daripada pelbagai program yang diadakan, SK Abang Amin telah melahirkan modal insan yang penyayang. Ini terbukti apabila budaya bersalaman antara guru dan murid diamalkan sehingga ke hari ini. Murid menunjukkan rasa hormat kepada guru mereka sebagai pendidik. Ini menunjukkan, hasil daripada program kokurikulum telah membantu guru untuk mengawal disiplin murid di sekolah dan nilai murni dapat diterapkan dalam diri mereka sebagai bekalan di mana jua mereka berada kelak.

2.3       Justifikasi Keberkesanan Usaha-Usaha Untuk Mengekalkan Kebersihan Dan Keindahan Sekolah
Konsep 3K (Kebersihan, Kebajikan dan Keselamatan) telah dilaksanakan di sekolah ini seperti yang dituntut oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan sehubungan dengannya. Pendedahan 3K kepada murid di sekolah ini dilakukan setiap hari waktu pagi semasa perhimpunan sebelum murid-murid memasuki kelas. Aktiviti sebegini sebagai tanda nasihat dan teguran kepada murid-murid untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan kelas dan persekitaran sekolah khasnya.

            Dalam menggamalkan dan memberi pendedahan berterusan kepada murid-murid SK Abang Amin ini, tidak akan berjaya jika tiada sokongan yang padu daripada khidmat ibu bapa kepada murid-murid SK Abang Amin. Program Persatuan Ibu Bapa dan Guru iaitu PIBG SK Abang Amin telah menjalankan tugas yang aktif dalam pendukung dan penyokong kepada konsep 3K tersebut. Buktinya setiap kelas tahun akan ada Ahli Jawatankuasa dalam kalangan ibu bapa yang terlibat dalam memastikan murid-murid mengutamakan kebersihan, keceriaan dan keindahan kelas dan sekolah. Oleh kerana staf sokongan keceriaan dan kebersihan SK Abang Amin kebanyakkannya telah diswastakan maka sukar dan kurang menglibatkan mereka  sepenuhnya kerana bukan dibawah tanggungan pihak sekolah secara keseluruhannya.

            Terdapat beberapa program yang dijalankan oleh pihak sekolah berkenaan konsep 3K tersebut bagi memastikan persekitaran sekolah bersih, cantik dan ceria. Antara aktiviti program yang dianjurkan ialah kebersihan antara kelas, menghapuskan nyamuk AEDES yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau. Pertandingan keceriaan dan kebersihan antara kelas sangat memberi motivasi untuk semua murid untuk sentiasa menggamalkan kebersihan kelas setiap masa. Pertandingan ini dalam Kategori Tahap 1 bagi Tahun 1, 2, dan 3 manakala  Tahap 2 bagi Tahun 4, 5 dan 6. Program sebegini mampu memupuk sikap menjaga kebersihan dalam diri murid masing-masing.

            Banyak lagi program yang pernah dijalankan di sekolah ini seperti Pertandingan kelas yang tercantik, murid contoh yang bersih dan banyak lagi. Tahap pencapaian kebersihan di sekolah ini dalam tahap baik dan sederhana. Masih dalam tahap yang baik di mana penjagaan kebersihan sangat dititiberatkan dan diutamakan oleh pihak sekolah khasnya dan murid-murid umumnya. Anugerah pencapaian kebersihan seperti ke peringkat sekolah-sekolah, daerah dan lain-lain tidak pernah walaubagaimanapun, sekolah ini tetap menitikberatkan konsep 3K tersebut.

2.3          Idea-Idea Rasional Sekolah Sebagai Institusi Pendidikan Yang Boleh Dibanggakan
Subjektiviti adalah kesaksian atau tafsiran yang merupakan gambaran hasil parasaan atau pikiran manusia. Ini bermakna, subjektiviti adalah suatu sikap yang memihak dipengaruhi oleh pendapat peribadi atau golongan. Maka, dalam membincangkan berkaitan idea-idea rasional sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan, konsep ini digunakan. Justeru, dalam konteks sekolah sebagai sebuah institusi yang mampu untuk dibanggakan, SK Abang Amin secara lahiriahnya dan dalam aspek pencapaian akademik serta kokurikulumnya tidaklah mencapai satu standard yang boleh untuk dibanggakan bagi pandangan umum. Namun, mengambilkira konsep subjektiviti dalam kajian sejarah, maka pandangan daripada individu tertentu serta berdasarkan pemerhatian di sepanjang proses kajian lapangan, maka beberapa kesimpulan dapat dilaksanakan berkaitan bagaimana SK Abang Amin mampu dibanggakan.

Menurut Guru Besar SK Abang Amin, Puan Safiah binti Tai, secara fizikalnya, SK Abang Amin bagaikan sekolah biasa. Namun, aspek kebanggaan yang disentuh oleh Guru Besar adalah aspek kemenjadian murid yang dilahirkan oleh SK Abang Amin. Hal ini kerana, berdasarkan laporan prestasi dan maklumbalas daripada beberapa bekas murid sekolah tersebut , mereka bukan sahaja melanjutkan di universiti ataupun institusi pengajian tinggi tempatan, namun bekas murid dari sekolah tersebut juga kini bertugas sebagai seorang guru, pegawai di jabatan-jabatan kerajaan serta swasta dan menjadi usahawan yang berjaya.

Demikian juga pernyataan daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Mohamed Aini Bohari. Guru Penolong Kanan Pentadbiran menjelaskan bahawa, meskipun dalam aspek pencapaian akademik baik dalam peperiksaan UPSR mahupun peperiksaan sekolah, prestasi murid adalah kurang memberangsangkan dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini. Namun, mengimbau kepada sejarah kegemilangan sekolah ini, SK Abang Amin merupakan sekolah melayu pertama dan tertua dibina di kawasan Bintangor. Maka, di sepanjang pengoperasiannya bermula dari tahun 1935, SK Abang Amin telah melahirkan ramai pemimpin, usahawan yang berjaya, para golongan profesional dan   juga melahirkan guru-guru yang akhirnya berkhidmat kembali di sekolah tersebut. Antara tokoh-tokoh tersebut adalah Dato’ Hasmi Hasnan yang tersenarai sebagai 40 orang yang terkaya di Malaysia, Dr. Suli Lamat yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Dr. Lopi dan ramai lagi. Maka, ikon-ikon seperti inilah yang menjadi kebanggaan dan sumber semangat murid serta ibu bapa murid SK Abang Amin yang memberikan sepenuh kepercayaan dalam mendidik serta membentuk anak mereka menjadi modal insan yang berminda kelas pertama.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid ( PK HEM ), Encik Junatan Jimbun anak Awat, perkara yang menjadikan sekolah ini mampu dibanggakan adalah disiplin murid yang sentiasa dalam kawalan meskipun sekolah ini merupakan sekolah yang mempunyai murid paling ramai bagi Daerah Meradong. Tiada sebarang kes disiplin yang teruk dilaporkan. Demikian juga dalam aspek berkaitan kehadiran dan komitmen murid terhadap sebarang aktiviti sekolah yang dijalankan. Hal ini ditambah dengan budaya guru dan penyayang yang diamalkan oleh warga sekolah. Berikutan pelaksanaan konsep ini di sekolah, hubungan baik antara guru dan murid yang dilunasi dengan batasan serta adab yang betul telah menjadikan sistem pentadbiran dan pendidikan  di sekolah menjadi lebih mudah. Maka, meskipun wujud masalah, namun masalah tersebut mampu diselesaikan dengan cara yang baik.

Pada masa yang sama, borang soal selidik turut diedarkan kepada para guru dan anggota kakitangan sekolah. Berdasarkan kepada hasil analisis soal selidik yang diedarkan, beebrapa aspek kebanggaan pihak sekolah dapat disimpulkan. Pertama, hubungan yang erat menimbulkan kerjasama yang berkesan dalam kalangan guru. Hal ini kerana sekolah ini terdiri daripada pelbagai kaum. Selain itu, guru yang berasal dari semenanjung Malaysia dan guru tempatan, Sarawak sentiasa bekerjasama dan bergabung dalam melaksanakan tugasan dan tidak timbul sebarang diskriminasi. Antara sebab yang lain adalah kerana SK Abang Amin merupakan sekolah terbesar di kawasan Daerah Meradong. Di samping itu, SK Abang Amin boleh dibanggakan apabila sekolah ini menjadi tumpuan untuk penganjuran aktiviti-aktiviti sekolah di sekitar kawasan Meradong kerana sekolah ini mempunyai sebuah dewan besar yang boleh menampung ramai murid atau peserta iaitu Dewan Perdana SK Abang Amin.
Selain daripada pandangan pihak pentadbiran sekolah, pandangan daripada pihak murid, anggota kakitangan sokongan serta ibu bapa juga diambil kira. Daripada pandangan murid di SK Abang Amin, perkara paling membanggakan tentang sekolah tersebut adalah keselesaan mereka untuk untuk meneruskan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan. Demikian juga menurut pandangan ibu bapa yang menyatakan kerjasama dan usaha pihak sekolah adalah sangat komited dalam membantu murid-murid secara keseluruhan meskipun mereka sedar kekurangan dan kelemahan murid yang ada di sekolah tersebut. Di samping itu, SK Abang Amin boleh dibanggakan adalah dalam konteks sekolah yang menjadi tumpuan pihak Pegawai Pentadbiran Daerah Meradong. Ini kerana, setiap tinjauan dan pemantauan yang berkaitan pentadbiran, akademik dan pengurusan adalah amat diteliti oleh pihak PPD.
Konklusinya, kebanggaan SK Abang Amin lebih berfokus kepada budaya, usaha dan semangat yang tinggi di dalam sekolah tersebut. Secara ironinya, mungkin keadaan itu bukanlah satu kebanggaan, namun dalam situasi dan keadaan tertentu sebagaimana yang dialami oleh sekolah ini, perkara tersebutlah yang menjadikan SK Abang Amin sebagai sekolah yang boleh untuk dibanggakan.

3.0       PENUTUP
Kesimpulannya, SK Abang Amin boleh dilasifikasikan sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang dibanggakan dengan merujuk kepada keunikan sejarah penubuhan sekolah itu sendiri, aspek kemenjadian murid, prasarana sekolah yang tidak dimiliki oleh sekolah lain, bilangan murid yang ramai dengan disiplin yang terkawal, konsep guru penyayang yang membawa kepada pembentukan modal insan dan kerjasama antara guru pelbagai kaum serta wilayah tanpa unsur diskriminasi. Meskipun SK Abang Amin tidak menonjol dalam aspek pencapaian akademik serta kokurikulumnya yang terkini, sejarah penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum serta pencapaian akademik dalam 8 tahun ke belakang adalah sangat cemerlang dan merupakan salah satu sejarah sekolah yang boleh dibanggakan. Hal ini ditambah dengan lahirnya tokoh-tokoh usahawan, akademik, pendidik dan banyak lagi profesion lain yang lahir dari SK Abang Amin sebagai tempat bermulanya awal pendidikan mereka. Rumusannya, setiap sekolah pasti mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Sudut pandang yang berbeza akan mampu melihat sejauhmana kekuatan sesebuah sekolah tersebut untuk diklasifikasikan sebagai sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan. 


Kumpulan :
1. Jurisda binti Risno
2. Rahmah binti Radin
3. Sarwinah binti Sulong
PISMP Sejarah IPG Kampus Rajang Ambilan Januari 2013

No comments: