SJK (C) Kwang
Chien
1.0 SEJARAH SEKOLAH.
Sekolah Kwang Chien, salah
sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terbesar di Bahagian Sarikei.
Sekolah ini terletak di Jalan Kubu Sarikei. Sekolah Rendah Aliran Cina Sarikei
(SRB Kwang Chien) telah ditubuhkan dengan rasminya pada awal tahun 1927.
Penubuhannya adalah hasil usaha daripada beberapa orang peniaga yang terkenal
di Daerah Sarikei. Dengan penubuhan awal sekolah atas masalah kewangan, maka
pihak sekolah terpaksa meminjamkan rumah papan daripada Persatuan Kong Wai Siew
Sarikei untuk dijadikan bilik darjah.
Pada tahun
1927, alamat sekolah terpaksa dipindahkan ke sebuah bangunan yang terletak di
belakang Dewan Huai Ren, Sarikei. Ini adalah akibat daripada pendapat-pendapat
yang tidak sebulat suara di kalangan ahli-ahli Lembaga Pengurusan sekolah. Pada
tahun inilah, nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Bantuan Kwang Chien
Sarikei. Encik Ting Mang dan Encik Chai King Sii masing-masing telah dipilih
sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah. Manakala Encik
Tiong Lok Ting telah ditawarkan sebagai Guru Besar yang pertama . Dari
setahun ke setahun, murid-murid kian bertambah mengakibatkan bilik darjah
sekolah tidak mencukupi.
Moto Sekolah
Kwang Chien ialah “ Ariba, Ariba, Kwang Chien exito !”. manakala, visi sekolah
pula ialah “SJK(C) Kwang Chien, Sarikei menjadi cemerlang menjelang tahun 2015”.
Misi Sjk © Kwang Chien ialah, Kami, warga SJK(C) Kwang Chien, Sarikei berikrar
untuk komited memastikan kurikulum dan kokurikulum yang cemerlang, sahsiah dan
disiplin diri terpuji, persekitaran yang kondusif, pengurusan dan pentadbiran
yang telus, hubungan masyarakat yang erat. Matlamat sekolah pula adalah seperti
mempertingkat budaya ilmu murid ke arah kecemerlangan, meningkatkan lagi
kecemerlangan etika kerja kakitangan sekolah dan meninggikan prestasi
pencapaian sekolah dalam pelbagai aspek.

Setiap gambar
yang terdapat di dalam logo sekolah mempunyai maksud tertentu. Contohnya, tahun
1927 merujuk kepada tahun penubuhan sekolah. Radas Sains dan Matematik
melambangkan kepentingan Sains dan Matematik. Alat permainan (raket badminton)
melambang kepentingan kokurilum. Moto Sekolah : "Berdisiplin" yang
merangkumi segala aspek nilai-nilai murni. Latar belakang terdiri daripada
warna-warna Bendera Malaysia, iaitu warna biru, merah, putih dan kuning yang
melambangkan kesetiaan kepada Negara dan bangsa. Topi melambangkan kepentingan
ilmu ataupun akademik. Alat tele-komunikasi melambangkan zaman maklumat dan
teknologi.
2.0 PROGRAM ATAU PROJEK BERIMPAK TINGGI YANG
DILAKSANAKAN UNTUK MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
2.1 Program Akademik
Terdapat beberapa program
yang dilaksanakan oleh Panitia Bahasa Malaysia menjelang tahun 2014. Program
tersebut ialah Mari Membaca dan Buku Bina Ayat. Program Mari Membaca
dilaksanakan untuk meningkatkan peratus lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia
(BM) dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 70% menjelang tahun 2014.
Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober
2014. Program ini melibatkan semua murid Tahap 2. Pelaksanaan aktiviti bagi
program ini adalah murid diberikan latihan membaca. Manakala, program Buku Bina
Ayat pula dilaksanakan untuk meningkatkan peratus lulus mata pelajaran BM dan
penguasaan teknik penulisan (ayat) menjelang tahun 2014. Tempoh pelaksanaan
program ini bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini
melibatkan semua murid Tahap 1. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah
murid diberikan latihan.
Selain itu,
beberapa program telah dilaksanakan oleh Panitia Bahasa Inggeris menjelang
tahun 2014. Program tersebut ialah Bengkel Bahasa Inggeris (English Workshop),
My Spelling Bees/ Spell It Right. Program Bengkel Bahasa Inggeris (English
Workshop) dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan guru dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI). Tempoh pelaksanaan program
ini adalah sepanjang bulan Februari 2014. Program ini melibatkan semua guru BI
Tahap 1 dan 2. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini ialah semua guru yang
terlibat diberi bengkel tentang aktiviti yang sesuai dijalankan dalam kelas
semasa pengajaran dan pembelajaran BI. Manakala, program Spelling Bees/ Spell
It Right pula dilaksanakan untuk meningkatkan peratus murid mengenal dan
mengeja mengikut kandungan kurikulum kepada 70%. Tempoh pelaksanaan program ini
adalah sepanjang bulan Jun. Program ini melibatkan semua murid Tahap 1 dan 2.
Program ini dijalankan sebanyak sekali (pelajaran) seminggu pada awal atau
akhir pelajaran. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid perlu
mengeja perkataan dan menulisnya dengan betul, diberikan latihan mengeja dan
menjalankan penilaian dalam bentuk spelling test.
Di samping itu,
Panitia Bahasa Cina turut melaksanakan beberapa program menjelang tahun 2014
seperti Program NILAM dan Kelas Tambahan Latih Tubi Bahasa. Program NILAM
dilaksanakan untuk meningkatkan kosa kata. Tempoh pelaksanaan program ini
bermula daripada bulan Januari hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan
semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid perlu membaca
buku cerita, mencari ayat-ayat yang baik atau kosa kata dan mencatat ayat atau
kosa kata. Manakala, Kelas Tambahan Latih Tubi Bahasa Cina pula dilaksanakan
untuk meningkatkan peratus murid lancar membaca dan menulis dalam karangan
dengan baik. Tempoh pelaksanaan program ini bermula daripada bulan Januari
hingga Oktober 2014. Program ini melibatkan semua murid Tahun 6. Pelaksanaan
aktiviti bagi program ini adalah dengan mengadakan kelas tambahan selama 2 jam
seminggu untuk kelas peperiksaan iaitu Tahun 6, diberikan latihan bertulis dan
menjalankan penilaian dalam bentuk ujian.
Pertandingan
Bahasa Malaysia telah mencatat beberapa rekod pencapaian yang cemerlang pada
tahun 2014. Pertama, pertandingan Ujian Bertulis 100 Soalan Dalam Bahasa
Malaysia peringkat daerah telah mendapat johan, naib johan, tempat ketiga,
keempat dan kelima. Kedua, pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia peringkat
daerah telah mendapat tempat ketiga. Ketiga, pertandingan Bercerita Tahap 1 dan
2 peringkat daerah telah mendapat naib johan. Keempat, pertandingan Pidato
Bahasa Malaysia peringkat daerah telah mendapat saguhati. Selain itu,
pertandingan Bahasa Inggeris turut mencatat beberapa rekod pencapaian yang
cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Choral Speaking peringkat bahagian
telah mendapat tempat ketiga. Manakala, pertandingan Story Telling anjuran
perpustakaan awam Sarikei pula turut mendapat tempat ketiga. Di samping itu,
pertandingan Bahasa Cina turut tidak ketinggalan dalam mencatat rekod
pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Mengarang Dalam Bahasa
Cina anjuran Xing Ma Sekolah Rendah, Zon Sarawak telah mendapat johan, tempat
ketiga dan dua hadiah galakan. Manakala, pertandingan Syarahan Dalam Bahasa
Cina anjuran Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bahagian
Sarikei telah mendapat johan.
2.2 Program Kokurikulum
Terdapat beberapa program
yang dilaksanakan oleh Sukan dan Permainan sekolah menjelang tahun 2014.
Program tersebut ialah Projek Khas Sekolah Sukan dan Permainan dan Ceramah
Motivasi Jadi Juara. Projek Khas Sekolah Sukan dan Permainan dilaksanakan untuk
melahirkan atlet bertaraf kebangsaan dan dapat bersaing di peringkat
antarabangsa, meraih lebih banyak kemenangan di peringkat negeri dan
kebangsaan. Tempoh pelaksanaan program ini adalah sepanjang tahun 2014 dan
melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid
diberi latihan biasa, latihan intensif seperti mengajar teori, peraturan dan
teknik permainan serta menyertai pertandingan. Manakala program Ceramah
Motivasi Jadi Juara pula dilaksanakan supaya murid mengalami sendiri hakikat
pentingnya perpaduan, kerjasama, permuafakatan dan semangat berpasukan. Program
ini dijalankan pada 10 Mac 2014 dan melibatkan pasukan sekolah Ping Pong dan Bola
Tampar. Pelaksanaan aktiviti bagi program ini adalah murid mendengar ceramah
kejayaan menuju kejuaraan.
Selain itu,
terdapat program yang dilaksanakan oleh Kelab dan Persatuan menjelang tahun
2014. Program tersebut ialah Kaligrafi dan Skill Building In Chess. Program
Kaligrafi melibatkan Kelab Kaligrafi dimana bertujuan untuk meningkatkan taraf
kaligrafi Cina, mencungkil bakat murid dalam bidang kaligrafi dan meningkatkan
pemahaman murid tentang kebudayaan Cina. Tempoh pelaksanaan program ini adalah
sepanjang tahun 2014 dan melibatkan semua murid. Pelaksanaan aktiviti bagi
program adalah murid mempelajari tulisan Cina, diberi latihan kaligrafi dan
menyertai pertandingan kaligrafi. Program Skill Building In Chess juga
melibatkan Kelab Catur. Program ini dilaksanakan untuk membantu murid memahami
dan mengetahui kepentingan mempunyai strategi yang berkesan dan meningkatkan
kebolehan murid menyelesaikan masalah dalam permainan. Tempoh pelaksanaan
program ini adalah sepanjang tahun 2014 dan melibatkan semua murid. Pelaksanaan
aktiviti bagi program ini adalah murid diberi latihan biasa, latihan intensif
dan menyertai pertandingan catur.
Di samping itu, terdapat beberapa program yang
dilaksanakan oleh Pakaian Seragam sekolah menjelang tahun 2014. Program tersebut
ialah Perkhemahan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Kursus Kepimpinan.
Program Perkhemahan PBSM dilaksanakan untuk membentuk dan meningkatkan
disiplin, sahsiah dan kekuatan dalaman diri murid. Program ini dijalankan pada
bulan Jun 2014 dan melibatkan murid Tahun 4. Pelaksanaan aktiviti bagi program
ini adalah murid mendirikan khemah, mempelajari jenis ikatan tali, diberi
latihan kawad kaki dan mempraktikkan pertolongan cemas. Manakala, program
Kursus Kepimpinan pula dilaksanakan untuk meningkatkan pengetahuan dan
pemahaman bidang tugas masing-masing dan meningkatkan kemahiran pengurusan
aktiviti pakaian seragam. Program ini dijalankan pada 12 Februari 2014 dan
melibatkan murid berjawatan tertinggi dalam Pakaian Seragam. Pelaksanaan
aktiviti bagi program ini adalah murid mendengar ceramah konsep kepimpinan dan
mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu keterampilan diri dan kreativiti
berpasukan.
Pencapaian
Sukan dan Permainan yang meliputi pasukan Ping Pong, Bola Tampar, Bola
Keranjang, Bola Jaring dan Badminton sekolah telah mencatat rekod yang
cemerlang pada tahun 2014. Pasukan Ping Pong kategori lelaki telah mendapat
naib johan dalam Kejohanan Ping Pong peringkat bahagian. Pada peringkat negeri
Sarawak pula, seorang murid iaitu Wong Lik Rong telah mendapat penyertaan dalam
Kejohanan Ping Pong MSS Sarawak. Pasukan Bola Tampar kategori perempuan telah
mendapat johan dalam pertandingan Bola Tampar MSS peringkat daerah.
Pertandingan Bola Tampar MSS peringkat bahagian untuk kategori pasukan
perempuan telah mendapat johan, manakala kategori pasukan lelaki mendapat naib
johan. Pertandingan Bola Tampar MSS peringkat negeri Sarawak untuk kategori
pasukan perempuan juga telah mendapat johan. Pertandingan Bola Tampar MSS
peringkat kebangsaan untuk kategori pasukan perempuan telah mendapat tempat
kelima. Pasukan Bola Keranjang kategori lelaki telah mendapat tempat ketiga
dalam pertandingan Bola Keranjang Mini MSSR peringkat daerah. Dua murid
daripada pasukan tersebut iaitu Henry Wong Jing Jiet dan Daniel Tang Tuong Ching
telah mewakili daerah Sarikei untuk ke peringkat bahagian. Pasukan Bola Jaring
untuk kategori pasukan perempuan telah mendapat johan dalam pertandingan Bola
Jaring MSS peringkat daerah dan seterusnya melayakkan mereka bertanding dalam
pertandingan Bola Jaring MSS peringkat bahagian sebagai mewakili daerah
Sarikei. Pertandingan Badminton turut tidak ketinggalan dalam menyumbangkan
pencapaian kepada sekolah. Pertandingan Badminton 10 TKB MSS peringkat daerah
untuk kategori lelaki perseorangan telah mendapat tempat ketiga. Kategori
perempuan perseorangan turut mendapat tempat ketiga. Manakala, pertandingan
Badminton 12 TKB MSS peringkat daerah untuk kategori lelaki beregu telah
mendapat tempat kedua. Kategori perempuan beregu pula telah mendapat tempat ketiga.
Selain itu, Kelab Kaligrafi juga telah mencatat rekod
pencapaian yang cemerlang pada tahun 2014. Pertandingan Kaligrafi anjuran
Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan peringkat
bahagian yang diwakili oleh Lam Ngiik Bing telah mendapat tempat keempat dan
Merry Wong Chew Lei hanya mendapat saguhati. Manakala, Kelab catur turut
mencapai rekod yang cemerlang dalam beberapa pertandingan yang disertai oleh
murid. Pertandingan Catur MSSD peringkat daerah untuk kategori lelaki 12 TKB
telah mendapat tempat ketiga, manakala kategori perempuan 12 TKB telah mendapat
johan. Kategori pasukan lelaki pula telah mendapat johan, manakala kategori
pasukan perempuan telah mendapat naib johan. Pertandingan Catur peringkat
bahagian kategori perempuan telah mendapat johan dan seterusnya melayakkan
pemain iaitu Wong Ping, Frennie Law dan Wong Yung Seng untuk ke peringkat
negeri Sarawak. Kejohanan Catur MSS Sarawak 12 TKB untuk kategori pasukan
lelaki telah mendapat johan, manakala kategori pasukan perempuan telah mendapat
tempat ketiga. Kategori lelaki individu pula telah mendapat tempat keempat,
manakala kategori perempuan individu telah mendapat tempat kelima.
3.0 KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN
KEINDAHAN SEKOLAH.
Berdasarkan pemerhatian dan
kajian lapangan yang telah kumpulan kami laksanakan terhadap SJK (C) Kwang
Chien, ternyata sekolah ini memberi sepenuhnya perhatian dan tumpuan terhadap
konsep persekitaran serta suasana pembelajaran yang mampu menarik perhatian.
Hal ini jelas terlihat melalui persekitaran sekolah yang lengkap dari aspek
kemudahan dan keceriaan suasana di dalam sekolah.
Berdasarkan hasil temu bual kami bersama Penolong Kanan
Hem yang turut memegang jawatan sebagai Guru 3K di sekolah iaitu kebersihan, kesihatan
dan keselamatan. Beliau menyatakan bahawa sekolah ini amat mengutamakan apek
keselesaan pembelajaran di sekolah. Justeru, pelbagai usaha dan program
dilaksanakan bagi memastikan pelajar mendapat segala manfaat yang diperlukan
agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih kondusif sekaligus
memenuhi kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara program 3K yang
dilaksanakan di sekolah adalah program bebas denggi, kuiz kesihatan anjuran
jabatan pelajaran negeri, ceramah tentang penjagaan kesihatan gigi kepada
murid-murid tahun 1, gotong-royong, aktiviti senamrobik, pertandingan
kebersihan kelas, kawad api, pertandingan lalu lintas anjuran SHELL dan
sebagainya.
Program sekolah bebas denggi yang bertemakan kesihatan
dijalankan dengan harapan agar mampu melahirkan sebuah sekolah yang bebas
daripada Aedes. Objektif program ini adalah untuk memastikan kawasan sekolah
adalah bersih dan air tidak bertakung serta memberi kesedaran kepada
murid-murid tentang bahaya penyakit demam denggi. Antara aktiviti yang
dijalankan sepanjang program ini ialah pameran, demonstrasi daripada pengawai
kesihatan, gotong-royong dengan mengadakan operasi mencari dan memusnahkan
tempat pembiakan Aedes. Berdasarkan hasil temu bual bersama Penolong Kanan Hem,
sekolah ini kerap kali mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan
sekolah ekoran ingin mendedahkan kepada para pelajar akan kepentingan menjaga
kebersihan persekitaran.
Selain itu,
aktiviti yang bertemakan kebersihan adalah projek kitar semula. Sesungguhnya
projek ini dijalankan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif
melalui penjagaan sekolah yang bersih dan ceria. Projek ini kebiasaannya
dijalankan pada setiap bulan dan sepanjang tahun. Antara aktiviti yang
dijalankan sepanjang projek ini ialah gotong-royong, pengumpulan suratkhabar
lama, tin aluminium, botol plastik dan benda kaca. Guru-guru menggalakkan para
pelajar membawa bahan-bahan kitar semula yang tidak berguna daripada rumah
untuk dikumpulkan. Bagi aktiviti yang bertemakan keselamatan pula, sekolah
ini telah menjalankan program sekolah
selamat yang juga dinamakan sebagai kawad api. Program kawad api ini dijalankan
khas jemputan daripada anggota bomba. Objektif program ini adalah untuk
memastikan murid dilatih dan diingati bahawa laluan pemindaan ketika berlakunya
kecemasan. Apabila berlakunya kebakaran, murid-murid juga dapat melarikan diri
di dalam keadaan yang selamat. Antara aktiviti lain yang turut dijalankan ialah
ceramah berkenaan keselamatan daripada anggota bomba, praktikal gambaran
suasana sewaktu kecemasan, memberi peluang kepada para pelajar menggunakan
pemadam api dengan betul dan sebagainya. Justeru, dalam menjayakan program 3K,
peranan guru dan murid adalah amat penting kerana mereka merupakan pihak yang
saling bergantungan dan sepatutnya bekerjasama agar perancangan 3K di sekolah
berjalan dengan lancar.
Perkara yang
turut menarik perhatian kami sekumpulan ialah sekolah ini telah menyertai
pertandingan cahaya bahagian Sarikei. Berdasarkan temu bual bersama guru besar,
idea penyertaan pertandingan cahaya adalah melalui suara guru-guru yang ingin
menaikkkan nama sekolah. Para guru-guru yakin dengan persekitaran sekolah yang
cantik, ditambah dengan hiasan lampu yang pelbagai pastinya dapat menarik perhatian orang ramai apabila melalui
kawasan sekolah pada waktu malam. Perkara yang turut mendapat kepujian adalah
kemudahan asas sekolah yang lengkap dan terjaga. Hal ini dibuktikan dengan
dekorasi sekolah yang lengkap dengan taman permainan, kolam ikan yang mempunyai
pancutan air, pondok pembelajaran dan sebagainya. Selain itu, kemudahan asas
seperti tong kitar semula dan alatan di klinik pergigian juga disediakan.
Sekolah juga dilengkapkan dengan kemudahan “CCTV” yang boleh digunakan untuk
memantau pergerakan pelajar disamping menjaga keselamatan pelajar di sekolah.
Dengan adanya
penglibatan yang aktif daripada warga sekolah, sekolah SJK (C) Kwang Chien
telah menerima pelbagai anugerah kecemerlangan. Antaranya ialah anugerah
sekolah lestari peringkat negeri pada tahun 2005 dan 2006, anugerah alam
sekitar kategori pengurusan serasi terbaik sesi 2007 dan 2008, anugerah program
bersepadu sekolah sihat, peringkat negeri 2003 mendapat pingat emas, juara kategori
pengurusan alam sekitar (serasi) terbaik tahun 2007 dan 2008, perkhemahan alam
semula jadi peringkat kebangsaan 2007 di Kem Malanggang Kiulu Tuaran, johan
bagi karnival pendidikan pencegahan dadah peringkat gabungan Sarikei 2008,
johan bagi pertandingan kuiz kesihatan peringkat negeri tahun 2008, johan bagi
pertandingan lalu lintas shell peringat bahagian tahun 2008 dan sebagainya.
Bukti bagi keadaan persekitaran sekolah dan program-proogram 3K yang dijalankan
yang telah membawa kepada kecemerlangan sekolah telah saya lampirkan di
bahagian lampiran. Sesungguhnya, jelas terlihat program dan aktiviti yang
dijalankan di sekolah ini sememangnya telah memberi impak dan kesan yang
membangun kepada sekolah dan juga para pelajar.
4.0 IDEA-IDEA YANG RASIONAL TENTANG MENGAPAKAH SEKOLAH SEBAGAI
INSTITUSI PENDIDIKAN YANG MEMBANGGAKAN.
Sekolah Kebangsaan Kwang
Chien sememangnya mampu menjadi sekolah yang dibanggakan sebagai sebuah
institusi pendidikan di Malaysia. Pelbagai kejayaan dan anugerah yang telah
diperolehi oleh sekolah ini sama ada dari aspek akademik mahupun kokurikulum.
Pencapaian yang diperolehi juga adalah daripada pelbagai peringkat. Sebagai
contoh, sekolah ini pernah mendapat anugerah Anugerah 3K peringkat kebangsaan, Anugerah
BOSS Cemerlang SR 2012 oleh Pengarah JPN, Anugerah BOSS Peringkat Kebangsaan
dan banyak lagi. Aanugerah ini sememangnya mampu menunjukkan mengapa sekolah
sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan.
Murid-murid
yang menuntut di sekolah ini juga berasa selesa dan selamat di sekolah ini.
Sekolah ini banyak berusaha dalam memastikan keperluan pelajar dipenuhi. Segala
keperluan infrastruktur seperti padang, tandas, kantin dan banyak lagi dijaga
dengan rapi. Bukan itu sahaja, sekolah ini juga membina taman dihadapan setiap
bangunan bagi mengindahkan lagi suasana sekolah tersebut. Sebagai contoh,
sekolah tersebut menyediakan pondok untuk pelajar berehat, pusat sumber di luar
bilik dan juga tempat murid bermain. Kelas-kelas juga kelihatan kemas dan
selesa dilengkapi dengan teknologi maklumat yang diperlukan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran seperti Projektor LCD. Bagi kelas tahun 6 pula,
mereka belajar dalam keadaan yang kondusif di mana kelas mereka disediakan
penghawa dingin dan teknologi maklumat yang berpatutan. Dengan itu, kemudahan
yang disediakan oleh sekolah adalah untuk memastikan murid berasa selesa untuk
menuntut ilmu dan pengalaman di sekolah ini.
Pencapaian yang
dikecapi pula tidak hanya terhenti setelah satu-satu matlamat tercapai malahan
usaha berterusan dilaksanakan untuk memastikan tahap kecemerlangan sekolah
ditahap yang memuaskan sebagai sebuah institusi pendidikan yang perlu
dibanggakan. Salah satu usaha yang dilakukan oleh sekolah ini adalah
mengeratkan hubungan kerjasama dengan pihak PIBG. PIBG sekolah ini mula bergiat
aktif pada tahun 2011 di sekolah ini. PIBG sememangnya mempunyai peranan
penting dalam memastikan kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan. Selain
daripada guru-guru, ibu bapa juga adalah orang yang terdekat dengan murid yang
mampu membantu dan mendorong murid serta sekolah mencapai kecemerlangan. Dengan
itu, pihak sekolah mendapatkan sokongan dan kerjasama yang utuh daripada ibu
bapa.
Selain
menyediakan infrastruktur yang lengkap kepada pelajar, sekolah juga
menganjurkan beberapa akvitivi akademik mahupun kokurikulum bagi melahirkan
murid cemerlang yang seimbang dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani,
intelek serta sosial. Antara aktiviti akademik yang dijalankan adalah seperti
Kelas Ekspres Pagi untuk tahun 6, Kelas Bacaan Awal Pagi untuk murid tahun 1
hingga tahun 5, Kelas Tambahan, Program Anak Angkat untuk tahun 6. Program
kokurikulum yang paling ditekankan adalah Program Kem Tunas. Melalui program
ini, segala aktiviti kokurikulum dilaksanakan dan dirancang dengan terperinci.
Program ini banyak melahirkan murid yang berbakat dalam sukan untuk mewakili
sekolah seperti sukan ping-pong, bola tampar dan badminton. Pihak sekolah dan
PIBG sentiasa berusaha untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat yang dimiliki
oleh murid untuk diasah ke arah kecemerlangan murid sekali gus sekolah.
Pihak sekolah
akan berjumpa dengan PIBG setiap kali terdapat perkara tertentu yang memerlukan
penglibatan dan kehadiran PIBG. PIBG bukan sahaja memberikan kerjasama yang
padu malahan juga sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan
program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah berjaya. Sebagai contoh,
PIBG sering kali memberikan bantuan kewangan kepada sekolah untuk memastikan
anak-anak mereka belajar dengan selesa di sekolah yang telah mereka amanahkan
untuk mendidik anak-anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang berkemahiran
menawarkan diri untuk menjadi jurulatih dan tenaga pelajar. Pengorbanan dan
kerjasama ini merupakan penyumbang dan penggerak utama dalam mengekalkan
kecemerlangan sekolah.
Demi memastikan
pencapaian sekolah ditahap yang memuaskan, pihak sekolah juga menitikberatkan
peranan guru-guru sebagai pendidik. Pihak sekolah juga berusaha mendapatkan
kerjasama yang padu dalam kalangan guru bagi menjayakan segala aktiviti yang
dijalankan tidak kira akademik, kokurikulum mahupun sahsiah murid. Justeru,
pihak sekolah turut melaksanakan usaha untuk melahirkan pendidik cemerlang.
Antaranya adalah Program Pembangunan Staf. Program ini dilaksanakan dibawah
program Perkongsian Amalan Terbaik (PAT) yang dijalankan dalam bentuk dalaman
bagi apa juga kursus yang telah dihadiri. Setiap guru yang telah menghadiri
kursus digalakkan untuk berkongsi ilmu tersebut dengan guru lain untuk
memastikan kecemerlangan guru-guru yang lain sekali gus kecemerlangan sekolah.
Konklusinya,
dengan kejayaan yang telah dicapai dan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh
pihak sekolah mencerminkan prestasi yang boleh dibanggakan sebagai institusi
pendidikan di Malaysia. Segala usaha yang dijalankan membuahkan hasil yang
memuaskan. Semua warga juga sudi menyumbang tenaga tanpa mengira latar belakang
keluarga warga pendidikan. Perkara ini penting untuk memastikan sekolah terus
maju dan menjadi sekolah pilihan utama untuk murid, ibu bapa malahan guru.
Dengan itu, segala pencapaian yang dikecapi diharapkan mampu memenuhi kehendak
pendidikan Malaysia dalam melahirkan modal insan yang seimbang dan menyeluruh
dari aspek JERIS.
No comments:
Post a Comment