1.0
PENGENALAN
Secara individu, kami dikehendaki menghasilkan satu tugasan projek untuk
kursus SJH3103 Kurikulum Sejarah Sekolah
Rendah. Penghasilan tugasan ini adalah melalui bacaan tambahan pelbagai bahan sumber mengenai peranan
penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah
dalam melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat
patriotik.
Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah
membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat, keunikan
sejarah tanah air dan kegemilangan negara bagi melahirkan warganegara yang
patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia. Kandungan kurikulum
menggunakan pendekatan kronologi. Persembahan kandungannya pula adalah
berfokuskan tentang sejarah negara yang disepadukan dengan elemen kewarganegaraan
dan nilai sivik.
Dalam tugasan ini, fokus dan kandungan kurikulum
sejarah akan dijelaskan dengan lebih lanjut. Begitu
juga, tugasan ini memberi tumpuan mengenai sejauhmanakah penerapan elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan
peranan dalam melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
2.0
KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH
Berdasarkan Dokumen
Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM (2013), Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah bermatlamat untuk
membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat, keunikan
sejarah tanah air dan kegemilangan negara bagi melahirkan warganegara yang
patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia.
Begitu juga, fokus utama Kurikulum Sejarah
Sekolah Rendah adalah untuk menyemai ilmu pengetahuan dan asas kemahiran
pemikiran Sejarah di samping menerapkan semangat patriotisme melalui pengetahuan
tentang masa lalu yang mempengaruhi masa kini. Melalui pembelajaran ini, murid
mampu membina kerangka kronologi tentang
sesuatu peristiwa penting dan tokoh yang terlibat. Begitu juga, murid
dapat membuat perbandingan tentang pengalaman manusia dan seterusnya berupaya
memahami diri mereka secara individu dan sebagai ahli dalam masyarakat.
Seperti yang telah digariskan dalam Dokumen
Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM (2013), organisasi Kurikulum Sejarah
Sekolah Rendah merupakan kesepaduan tiga elemen utama iaitu mencakupi ilmu
pengetahuan (kandungan), asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (kemahiran),
penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik bagi memupuk minat murid
terhadap Sejarah. Kandungan kurikulum Sejarah sekolah rendah menggunakan pendekatan
kronologi, di mana ia mencakupi beberapa tema seperti; Sejarah Awal Negara
(Tahun 4), Kedaulatan Negara (Tahun 5) dan Kemakmuran Negara Kita (Tahun 6).
Begitu
juga, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik turut diserapkan melalui mata
pelajaran Sejarah di sekolah rendah. Penerapan elemen ini menggunakan Dimensi
Kewarganegaraan. Antara dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan ialah
perkongsian sejarah, perkongsian nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa
depan, kesetiaan, tanggungjawab warganegara dan keterikatan emosi kepada
negara. Setiap dimensi kewarganegaraan ini bertujuan untuk membentuk
warganegara yang berketrampilan dan bermaklumat.
Kesimpulannya, mata pelajaran Sejarah di peringkat
sekolah rendah merupakan satu kesinambungan ke peringkat sekolah menengah
sebagai suatu disiplin ilmu yang dinamik. Kurikulum ini merupakan satu usaha
untuk melengkapkan murid dengan perkembangan ilmu pengetahuan, kemahiran dan
pengamalan nilai murni serta penerapan semangat jati diri sebagai warganegara Malaysia.
3.0
PERANAN ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK DALAM
MELAHIRKAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERSATU PADU DAN BERSEMANGAT PATRIOTIK
Dalam
Kurikulum Standard Sekolah Rendah, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang
diajar melalui mata pelajaran Sejarah adalah sebagai asas dalam melahirkan
warganegara yang mempunyai identiti kebangsaan. Elemen tersebut diharapkan agar
dapat membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai kesepaduan sosial dan intergrasi
nasional. Walau bagaimanapun, sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai
sivik melalui mata pelajaran Sejarah ini dapat memainkan peranan dalam
melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
Terdapat
tujuh dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan sebagai penanda aras untuk
menerapkan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah.
Dimensi kewarganegaraan yang pertama ialah melalui perkongsian sejarah. Melalui
perkongsian sejarah, terdapat beberapa elemen yang diterapkan seperti berbangga
dengan sejarah dan asal usul negara, menghargai kewujudan dan kegemilangan
kerajaan Melayu tradisional, mengambil iktibar kesan penjajahan kuasa luar ke
atas negara, menghayati peristiwa kemerdekaan negara dan memelihara warisan
negara. Elemen-elemen ini amat penting khasnya dalam mengambil iktibar
peristiwa yang telah berlaku. Abd. Rahman Abd. Rashid (1999), mempelajari
sejarah bukan semata-mata untuk pengetahuan, tetapi juga menjadi pedoman dan
memberi iktibar kepada sesuatu bangsa tentang apa yang telah berlaku. Melalui
penerapan elemen-elemen ini, mata pelajaran Sejarah akan melahirkan warganegara
yang mengetahui dan memahami sejarah pembentukan negara.
Seterusnya,
dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan ialah perkongsian nilai. Dalam
dimensi ini, tiga elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang akan diterapkan
dalam mata pelajaran Sejarah. Antaranya ialah menyanjungi prinsip Rukun Negara,
menghormati kepelbagaian agama dan budaya serta berbangga dengan lambang dan
simbol negara. Menurut Nazaruddin (2000), Rukun Negara adalah satu susunan cara
(prinsip) hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan
norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara. Dengan
penerapan elemen dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah, ia dapat
melahirkan warganegara yang mengamalkan sikap dan perlakuan yang berhemah.
Ciri-ciri warganegara seperti ini amat penting di mana Malaysia merupakan
sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Selain
itu, dimensi kewarganegaraan yang digunakan ialah perasaan kekitaan. Dalam
dimensi ini, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang diterapkan ialah
menghormati amalan kepelbagaian kaum, budaya dan agama, berbangga dengan hari
kemerdekaan, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
berbangga dengan pencapaian negara. Menurut Ismail Said (2010), mata pelajaran
Sejarah membentangkan pelbagai peristiwa dan fakta berkenaan permuafakatan
pelbagai kaum pada waktu sebelum, semasa dan selepas merdeka boleh
membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan setiap warganegara. Sesungguhnya,
melalui penerapan elemen dan nilai sivik seperti ini, mata pelajaran Sejarah
mampu membentuk warganegara yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
Begitu
juga, melalui dimensi kewarganegaraan seterusnya, iaitu perkongsian masa depan,
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik seperti menghornati masyarakat pelbagai
kaum, memakmurkan ekonomi negara dan mengekalkan warisan negara dapat
diterapkan. Menurut Mohd Sohaimi Esa et al. (2011), negara kita tidak dapat
lari daripada menghadapi pelbagai cabaran hubungan
etnik seperti kepentingan etnik dari aspek sosial yang meliputi aspek pemisahan
fizikal, pengasingan pendidikan, popurisasi kaum dan kontrak sosial. Oleh yang
demikian, penerapan elemen dan nilai sivik khasnya melalui mata pelajarah
Sejarah, masyarakat di negara ini mampu untuk bertolak ansur dan saling
bekerjasama dalam melonjakkan ekonomi negara. Begitu juga, kita mampu membina
keyakinan dan tanggungjawab warganegara Malaysia untuk mencorakkan masa depan
negara pada masa depan.
Di samping itu, melalui dimensi kewarganegaraan
yang seterusnya iaitu kesetiaan, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik seperti
mematuhi perintah Tuhan, mentaati Raja dan Negara, menghormati pemimpin negara
serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara dapat diterapkan melalui mata
pelajaran Sejarah. Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan
sistem raja berperlembagaan. Menurut Nadzan Haron dan Rozeman Abu Hassan
(2010), perlembagaan bertindak sebagai garis panduan kepada pembentukan
undang-undang sama ada di pihak pemerintah atau rakyat. Oleh yang demikian,
dengan penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran
Sejarah, ia dapat memupuk warganegara yang mempunyai kepercayaan kepada
Tuhan dan mempunyai perasaan taat dan
setia kepada negara.
Seterusnya, elemen kewarganegaraan dan nilai
sivik dalam mata pelajaran Sejarah diterapkan melalui dimensi kewarganegaraan,
iaitu tanggungjawab warganegara. Dalam dimensi ini, antara elemen dan nilai
sivik yang akan diterapkan ialah mempertahankan identiti negara, mempertahankan
warisan negara serta menerima perbezaan kaum, budaya dan agama. Hal ini turut
dinyatakan oleh Omardin Haji Ashaari dan Yunus Muhamad (2002), sejarah dapat
membantu mengembang dan membangkitkan kesedaran terhadap tugas dan tanggungjawab
warganegara itu kepada negaranya dan mampu menanam rasa bangga menjadi
warganegara. Ini sekaligus membuktikan penerapan elemen kewarganegaraan dan
nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah mampu melahirkan warganegara yang
mengetahui dan memahami tanggungjawab sebagai warganegara dengan sepenuh hati.
Dimensi
kewarganegaraan yang terakhir seperti yang digariskan dalam Dokumen KSSR, Sejarah ialah keterikatan emosi kepada
negara. Dalam dimensi kewarganegaraan ini, antara
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang akan diterapkan melalui mata
pelajaran Sejarah ialah menghargai sejarah asal usul negara, menghargai warisan
negara dan identiti negara, menghayati prinsip Rukun Negara, bersyukur dengan
keharmonian dan kemajuan ekonomi serta berbangga dengan pencapaian negara.
Dengan penerapan elemen dan nilai sivik ini, mata pelajaran Sejarah mampu
melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
Hal ini turut disokong oleh Sheela Abraham (1994), di mana beliau mengatakan
bahawa sudah menjadi satu tradisi bahawa sejarah diberi tanggungjawab untuk
menanam nilai-nilai seperti moral, budaya dan patriotik dalam kalangan generasi
muda.
Jelas
sekali bahawa penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik ini dilaksanakan
secara sistematik melalui tujuh dimensi kewarganegaraan yang telah digariskan
dalam Dokumen KSSR, Sejarah. Sesungguhnya, penerapan elemen kewarganegaraan dan
nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan dalam
melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.
4.0
PENUTUP
Secara
keseluruhannya, tugasan ini telah membincangkan mengenai sejauh manakah
penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah
dapat memainkan peranan dalam melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu
dan bersemangat patriotik.
Seperti yang
kita sedia maklum, mata pelajaran Sejarah akan diperkenalkan dan diajar di
peringkat sekolah rendah (Tahap 2). Fokus utama Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah adalah untuk
menyemai ilmu pengetahuan dan asas kemahiran pemikiran Sejarah di samping
menerapkan semangat patriotisme melalui pengetahuan tentang masa lalu yang
mempengaruhi masa kini. Manakala,
organisasi Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah merupakan kesepaduan tiga elemen
utama iaitu mencakupi ilmu pengetahuan (kandungan), asas Kemahiran Pemikiran
Sejarah (kemahiran), penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik bagi
memupuk minat murid terhadap Sejarah.
Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik akan diterapkan melalui mata pelajaran Sejarah.
Elemen dan nilai sivik tersebut diharapkan agar dapat melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan
bersemangat patriotik. Elemen kewarganegaraan dan nilai sivik diterapkan secara
sistematik melalui dimensi kewarganegaraan yang telah digariskan. Antara
dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan ialah perkongsian sejarah, perkongsian
nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa depan, kesetiaan, kewarganegaraan
serta keterikatan emosi kepada negara.
Sesungguhnya, melalui penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik
dalam mata pelajaran Sejarah, kita mampu melahirkan warganegara yang bersatu
padu dan bersemangat patriotik. Hal ini amat penting untuk diterapkan dari
peringkat awal lagi, khususnya di sekolah rendah bagi mengukuhkan lagi nilai
yang ada dalam diri seorang warganegara. Bak kata pepatah, melentur buluh
biarlah dari rebungnya.
Hasil Tugasan Projek,
Anita Dilam (PISMP Sej)
No comments:
Post a Comment