1.0
PENGENALAN
Charles Vyner Brooke
telah mengisytiharkan penyerahan Sarawak kepada British pada 8 Februari 1946.
Namun, penyerahan ini telah mendapat bantahan yang hebat oleh rakyat tempatan.
Ekoran bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke merujuk kepada Majlis Negeri
yang kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan
16 menentang. Pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai
Jajahan Mahkota British. Manakala, di Sabah, British telah menandatangani
perjanjian dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB) pada 26 Jun 1946. Pada
15 Julai 1946, Borneo Utara secara rasminya diisytiharkan menjadi tanah jajahan
British.
Penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British ini
berlaku atas beberapa sebab, sama ada faktor dalaman atau luaran. Penyerahan
Sarawak misalnya, berlaku disebabkan oleh masalah dalaman yang berlaku dalam
keluarga Brooke, keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun dan sejarah hubungan
diplomatik antara British dan Sarawak. Begitu juga, penyerahan Sabah kepada
British adalah disebabkan kerosakan yang dialami selepas pendudukan Jepun,
hubungan erat SBUB dengan kerajaan British dan sistem pentadbiran SBUB yang
lapuk dan ketinggalan zaman dan kepentingan ekonomi British sendiri di Sabah. Sebab-sebab
penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British akan dibincangkan dengan lebih
lanjut dalam tugasan ini.
Begitu juga, penyerahan Sarawak dan
Sabah kepada British ini telah mendapat reaksi daripada rakyat tempatan.
Segelintir rakyat menerima penyerahan ini, tetapi sebilangan besar rakyat
menentang penyerahan tersebut. Di Sarawak, penyerahan ini telah mendapat
tentangan hebat khasnya dari masyarakat Melayu dan Iban. Manakala, hal yang
sebaliknya berlaku di Sabah. Penyerahan Sabah kepada British tidak mendapat
sebarang bantahan yang berkesan. Bantahan yang dilakukan hanyalah penentangan
yang dilakukan oleh waris Kesultanan Sulu yang mendakwa Sabah merupakan
kepunyaan mereka. Dalam tugasan ini, reaksi-reaksi rakyat tempatan terhadap
penyerahan ini akan dianalisis secara kritikal.
2.0
PENYERAHAN SARAWAK KEPADA BRITISH
2.1
Sebab-Sebab Penyerahan
Sarawak telah
dibebaskan dari cengkaman Jepun oleh tentera Australia dan askar-askar Pihak
Berikat pada tahun 1945. Setelah kekalahan Jepun, Pentadbiran Tentera British
(BMA) telah diperkenalkan di Sarawak pada November 1945. Sarawak telah
diletakkan di bawah BMA sehingga tahun 1946. Menurut Sheela (1993), semasa
pendudukan Jepun, Charles Vyner Brooke menetap di Australia untuk meneruskan
usahanya dalam menguruskan masa depan Sarawak. Charles Vyner Brooke kembali
semula ke Sarawak hanya selepas pemerintahan BMA ditamatkan.
Sebelum Charles Vyner Brooke kembali
ke Sarawak, satu rundingan telah diadakan di antara beliau dengan pihak British
yang akhirnya membawa kepada keputusannya untuk menyerahkan Sarawak kepada
British. Hal ini turut disokong oleh Sheela (1993), di mana beliau menyatakan
bahawa rundingan telah diadakan di London untuk menyerahkan Sarawak semasa
Sarawak diduduki oleh Jepun. Pengumuman penyerahan Sarawak kepada British telah
dibuat oleh Charles Vyner Brooke pada 8 Februari 1946 di London. Namun,
penyerahan ini telah mendapat bantahan yang hebat oleh rakyat tempatan. Ekoran
bantahan tersebut, Charles Vyner Brooke merujuk kepada Majlis Negeri yang
kemudiannya bersidang selama tiga hari dengan keputusan 18 menyokong dan 16
menentang. Walau bagaimanapun, merujuk kepada buku Malaysia Kita (1991),
persidangan ini hanyalah untuk mengaburi pandangan masyarakat antarabangsa dan
tempatan. Akhirnya, pada 1 Julai 1946, Sarawak telah diisytiharkan sebagai
Jajahan Mahkota British.
Sesungguhnya, penyerahan Sarawak
kepada British adalah disebabkan oleh beberapa faktor penting. Pertama, masalah
dalaman yang dihadapi oleh keluarga Brooke; kedua, berkait rapat dengan sejarah
hubungan diplomatik di antara Sarawak dengan Britain; yang ketiga, kedudukan
serta keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun; dan seterusnya ialah
kepentingan ekonomi British di Sarawak. Masalah dalaman keluarga Brooke
berpunca daripada konflik di antara Charles Vyner Brooke dengan adiknya, Betram
Brooke. Konflik kedua-duanya telah merumitkan lagi pentadbiran di British.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila Charles Vyner Brooke telah menggubal
Perlembangan 1941 tanpa berbincang dengan Betram Brooke. Begitu juga, pada
tahun 1946, Charles Vyner Brooke telah mengambil keputusan untuk menyerahkan
Sarawak kepada British tanpa memberitahu adiknya.
Charles Vyner Brooke tidak memiliki
anak lelaki untuk mewarisi takhtanya. Keadaannya yang uzur telah membuatkannya
berpendapat bahawa pilihan untuk menyerahkan Sarawak kepada British adalah satu
pilihan yang tepat dan sesuai dengan masanya. Manakala, Betram Brooke mempunyai
seorang anak lelaki yang bernama Anthony Brooke. Walau bagaimanapun, Charles
Vyner Brooke mendapati Anthony tidak sesuai dengan sikap dan pendiriannya.
Anthony bersikap kasar dan berlaku curang. Mac 1939, Anthony telah dilantik
sebagai Raja Muda Sarawak, tetapi dipecat disebabkan oleh perlakuannya yang
kasar dan curang tersebut. Sheela (1993), turut mengatakan bahawa Charles Vyner
Brooke tidak mempunyai keyakinan atas Anthony Brooke untuk menggantikan takhta
kerajaan Sarawak. Masalah dalaman keluarga Brooke inilah yang telah mendorong
Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak British.
Seterusnya, perlu kita ketahui
bahawa Sarawak sudah mempunyai perhubungan rasmi dengan Britain semenjak tahun
1888 sebagai negeri lindungan. Perlindungan ini telah memberi kuasa kepada
pihak British untuk mengawal hal ehwal negeri Sarawak dan menyatakan bahawa
Sarawak tidak boleh diserahkan atau digadaikan kepada mana-mana pihak tanpa
persetujuan British. Menurut Sheela (1993), campur tangan British lebih meluas
lagi apabila satu perjanjian telah ditandatangani pada 22 November 1941 antara
Charles Vyner Brooke dengan kerajaan British. Menurut perjanjian ini, seorang
wakil British akan ditempatkan di Sarawak sebagai penasihat kepada Raja
Sarawak. Charles Vyner Brooke berpendapat bahawa penerusan pemerintahan ‘Raja
Putih’ sudah tidak sesuai lagi dengan adanya kemajuan politik moden. Jelas
dilihat bahawa Charles Vyner Brooke tidak berminat lagi untuk meneruskan
pemerintahannya di Sarawak dan berniat untuk menjual Sarawak kepada British.
Akhirnya, Charles Vyner Brooke telah menandatangani dokumen penyerahan pada 20
Mei 1946 dan Sarawak telah diisytiharkan sebagai Jajahan Mahkota British pada 1
Julai 1946.
Selepas tamat Perang Dunia Kedua,
Sarawak telah mengalami kemusnahan yang teruk dan memerlukan perbelanjaan yang
besar untuk memulihkan kembali keadaan tersebut. Keluarga Brooke tidak
mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung dan membiayai
kerja-kerja pemulihan tersebut. Hal ini turut dinyatakan oleh Sheela (1993),
yang mengatakan bahawa niat Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak
adalah untuk kepentingan rakyat dan hanya kerajaan British berkemampuan untuk
menanggung beban pembangunan semula dan pemulihan. Keadaan ini telah mendorong
Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak British untuk
memberi kuasa kepada British dalam membangunkan semula Sarawak.
Seterusnya, penyerahan Sarawak
kepada British turut disebabkan oleh desakan British sendiri. Desakan ini
berpunca daripada kepentingan ekonomi British di Sarawak, iaitu jaminan
pelaburan pemodal British. Pelaburan pemodal British dalam ladang-ladang getah,
lada hitam, sagu dan kelapa kering. Mereka juga memiliki pelaburan dalam
syarikat pembalakan dan petroleum. Hasil keluaran ini boleh didapati dengan
mudah di Sarawak dan Sabah, dan keadaan ini sangat diperlukan oleh British
untuk mengembangkan perindustriannya. Selain itu, Sabihah (1990), juga
menyatakan bahawa penjajahan British di Sarawak adalah disebabkan oleh potensi
negeri ini sebagai pembekal bahan mentah dan tempat pemasaran barangan keluaran
Britain.
Kesimpulannya, penyerahan Sarawak
kepada British disebabkan oleh empat faktor utama iaitu masalah dalaman yang
berlaku dalam keluarga Brooke, sejarah hubungan diplomatik British dan Brooke,
keadaan negeri Sarawak selepas pendudukan Jepun serta kepentingan ekonomi pihak
British di Sarawak. Faktor-faktor inilah yang telah menjadi pendorong kepada
Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946.
2.2
Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan
Pengisytiharan
penyerahan Sarawak yang dilakukan oleh Charles Vyner Brooke telah menimbulkan
perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan di Sarawak. Golongan
yang menentang hebat penyerahan ini terdiri daripada orang Melayu dan orang
Iban. Gerakan penentangan ini dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan (anti-cession movement). Gerakan
anti-penyerahan ini dilakukan atas dua sebab utama. Pertama, penyerahan Sarawak
bertentangan dengan Perlembagaan 1941; dan yang kedua, Charles Vyner Brooke
tidak berunding bersama pemimpin tempatan terlebih dahulu.
Menurut Sheela (1993), Charles Vyner
Brooke telah menjanjikan pemerintahan sendiri kepada Sarawak menjelang Perang
Dunia Kedua melalui Perlembagaan 1941. Gerakan ini mahukan Brooke terus
memerintah Sarawak kerana penjajahan British hanya akan melambatkan lagi proses
kemerdekaan yang ingin dicapai. Mendapatkan kemerdekaan di bawah pemerintahan
Brooke dapat dilakukan dengan cara yang mudah kerana pentadbiran Brooke telah
menjadi semakin lemah. Namun, sekiranya Sarawak diserahkan kepada British,
usaha untuk mendapatkan kemerdekaan akan menjadi lebih sukar dan mengambil masa
yang agak lama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan ini wujud disebabkan oleh
tindakan Charles Vyner Brooke yang menyerahkan Sarawak kepada British tanpa
berunding atau bertanya terlebih dahulu kepada pemimpin-pemimpin Bumiputera di
Sarawak.
Gerakan anti-penyerahan yang
dilakukan oleh masyarakat Melayu telah diketuai oleh Datu Patinggi Abang Haji
Abdillah (gambar; rujuk lampiran).
Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah membuat bantahan semasa Rang
Undang-Undang Penyerahan dibahaskan. Penentangan ini turut dilakukan disebabkan
penyerahan yang bertentangan dengan Perlembagaan 1941 dan keputusan penyerahan
yang dibuat tanpa berunding dengan ketua-ketua bumiputera Sarawak. Begitu juga,
penubuhan persatuan berkembangan secara drastik di Sarawak rentetan daripada
gerakan anti-penyerahan ini. Menjelang awal tahun 1947, sebanyak 52 buah
persatuan telah ditubuhkan di Sarawak dengan hasrat mementang penyerahan
Sarawak kepada British. Menurut Sabihah (1990), antara persatuan yang
ditubuhkan ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Angkatan Semangat
Anak Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), Pergerakan Pemuda
Melayu (PPM), Kesetiaan Melayu Matu, Kesetiaan Melayu Simanggang dan Persatuan
Dayak Sarawak (PDS).
Begitu juga, penentangan ini turut
dilakukan oleh masyarakat Iban di Sarawak. Menurut Sutlive Jr. (1992), dalam
kalangan masyarakat Iban, persatuan yang paling kuat menentang penyerahan
Sarawak ini adalah Persatuan Dayak Sarawak (PDS). Persatuan ini telah
menghantar bantahan mengenai penyerahan ini melalui telegram kepada pihak
British. Di samping itu, dua orang wakil masyarakat Iban iaitu Philip Jitam dan
Edward Jerah juga telah menentang penyerahan tersebut dalam sesi mengundi di
Majlis Negeri pada 15 Mei 1946. Selain itu, di Sibu, Pergerakan Pemuda Melayu
(PPM) telah merekrut sebanyak 52 penghulu Iban, termasuk Temenggung Jugah dan
Temenggung Koh (gambar; rujuk lampiran). Kedua-kedua
mereka mempunyai posisi yang penting dan memberikan sokongan padu dalam
pergerakan tersebut.
Selain itu, gerakan anti-penyerahan
tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki sahaja. Gerakan tersebut turut disertai
oleh golongan wanita. Antara golongan wanita yang menentang hebat penyerahan
Sarawak ialah Cikgu Lily Everwin (PKMS), Puan Hajah Sipah Tuanku Othman, Dayang
Fauziah dan Cikgu Ajibah Abol (gambar;
rujuk lampiran). Menurut Sabihah (1990), kaum ibu yang diketuai oleh Cikgu
Lily Everwin telah pergi ke rumah-rumah panjang untuk mengadakan kempen
kesedaran sama ada berjalan kaki ataupun menaiki bot. Begitu juga, menurut K.
C. Jong (1983), Datuk Ajibal Abol turut memainkan peranan yang penting dalam
gerakan anti-penyerahan. Beliau telah mengetuai kaum wanita untuk bergabung
tenaga dengan gerakan anti-penyerahan untuk memperjuangkan kemerdekaan Sarawak
dan bukannya menjadi koloni British.
Penentangan demi penentangan telah
dilakukan oleh rakyat tempatan di Sarawak sebagai tanda protes terhadap
penyerahan Sarawak kepada British. Pelbagai cara telah dilakukan oleh gerakan
anti-penyerahan ini untuk memperjuangkan misi mereka. Menurut Mohd. Hasbie
(1989), golongan anti-penyerahan telah menghantar surat, kawat dan telegram
bantahan kepada kerajaan British, tetapi tidak diendahkan oleh British. Gerakan
ini turut menganjurkan tunjuk perasaan (gambar;
rujuk lampiran) dan bertindak
memulaukan perlantikan Gabenor Sarawak. Tunjuk perasaan yang terbesar berlaku
di Kuching pada 1 Julai 1947 yang disertai oleh PKMS, BPM dan PDS bagi
membantah perlantikan Charles Arden Clarke sebagai Gabenor Sarawak yang
pertama. Begitu juga, gerakan anti-penyerahan bertindak menampal poster dan
sepanduk di setiap kampung dan juga kampus. Antara poster yang ditampal adalah
mengandungi ayat provokatif seperti “Sarawak adalah hak kami, leburkan
kolonial”.
Pada mulanya, British hanya
memandang ringan gerakan anti-penyerahan ini kerana berpendapat bahawa
penentangan yang dilakukan hanya bersifat sementara. Walau bagaimanapun,
apabila penentangan demi penentangan dilakukan tanpa menunjukkan pengakhiran, British
bertindak mengeluarkan Pekeliling No. 9 pada Disember 1946. Pekeliling No. 9
ini bertujuan untuk melarang kakitangan kerajaan terlibat dengan gerakan
anti-penyerahan. Menurut K. C. Jong (1983), akibat daripada larangan ini,
sebanyak 337 orang kakitangan kerajaan telah bertindak meletakkan jawatan dan
keadaan ini menyebabkan sebanyak satu pertiga buah sekolah Melayu kerajaan di Sarawak
terpaksa ditutup.
Kemuncak gerakan anti-penyerahan di
Sabah adalah apabila Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), Sibu telah berhimpun
secara sulit dan menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan Rukun Tiga Belas.
Kumpulan ini mempunyai 13 orang ahli dan
diketuai oleh Awang Rambli. Kumpulan yang bersifat radikal ini telah bersumpah
akan menghapuskan semua pegawai Inggeris dan Dato-dato Melayu yang menyokong penyerahan
Sarawak (Sheela, 1993: 148). Pada 3 Disember 1949, gabenor kedua Sarawak, Sir
Duncan Stewart telah mengadakan lawatan rasmi yang pertama ke Sibu. Semasa
lawatan beliau, ahli kumpulan Rukun 13 iaitu Rosli Dhobi, seorang guru pelatih
di Maktab Perguruan Sarawak (gambar;
rujuk lampiran) telah menikam Sir Duncan Stewart dan membunuhnya. Peristiwa
pembunuhan ini telah menggemparkan pihak British sekaligus memberikan alasan
kepada British untuk bertindak secara kekerasan. Rosli Dhobi (gambar; rujuk lampiran), Morshidi
Sidek, Ramli Mohd Deli dan Bujang Suntong telah dikenakan hukuman gantung
sampai mati pada 2 Mac 1950. Seramai 15 orang lagi yang dipercayai bersuhabat
dalam pembunuhan tersebut turut dipenjarakan. Begitu juga, menurut Reece
(1989), pada 6 Disember 1950, British telah mengharamkan Pergerakan Pemuda
Melayu (PPM). Sehingga tahun 1951, selama lima tahun, gerakan anti-penyerahan
ini tidak membuahkan hasil. Hal ini telah membawa kepada kelumpuhan gerakan ini
secara berperingkat-peringkat.
Kesimpulannya, penyerahan Sarawak
kepada British telah menimbulkan tentangan hebat daripada rakyat tempatan di
Sarawak. Golongan yang menentang terdiri daripada orang Melayu yang diketuai
oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, orang Iban yang diketuai oleh
Temenggung Jugah dan Temenggung Koh serta kaum Ibu yang diketuai oleh Cikgu
Lily Everwin dan Cikgu Ajibah Abol. Begitu juga, banyak persatuan seperti PDS,
PPM, PKMS telah ditubuhkan untuk menyokong gerakan anti-penyerahan ini. Banyak
cara yang telah dilakukan oleh gerakan anti-penyerahan ini seperti menghantar
telegram, surat dan kawat kepada British, menampal poster dan menggantung
sepanduk di kawasan kampung serta mengadakan tunjuk perasaan. Kemuncak gerakan
anti-penyerahan ini adalah peristiwa pembunuhan Sir Duncan Stewart di Sibu.
Rentetan daripada pembunuhan tersebut, British mula menggunakan kekerasan untuk
menghentikan gerakan anti-penyerahan. Akhirnya, gerakan anti-penyerahan
tersebut telah dapat dilumpuhkan oleh pihak British.
3.0
PENYERAHAN SABAH KEPADA BRITISH
3.1
Sebab-Sebab Penyerahan
Seperti Sarawak, Sabah
juga telah dibebaskan daripada pemerintahan Jepun oleh angkatan tentera
Australia. Selepas pembebasan tersebut, pentadbiran Sabah telah diambil alih
sementara oleh Pentadbiran Tentera Australia.
Menurut Sheela (1993), untuk memperbaiki kerosakan dan memulihkan
undang-undang serta pentadbiran Sabah, Pentadbiran Tentera British telah
diisytiharkan oleh Leftenan Jeneral L.J. Morshead pada 10 Jun 1945. Pemerintahan
SBUB di Sabah selama 63 tahun berakhir apabila Sabah telah menjadi Tanah Jajahan
British pada 15 Julai 1946. Penyerahan Sabah kepada pihak British telah
didorong oleh beberapa faktor. Pertama, kerosakan yang dialami selepas
pendudukan Jepun; kedua, hubungan erat British dengan SBUB; ketiga, kelemahan
sistem pemerintahan SBUB; dan seterusnya, kepentingan British di Sabah.
Selepas pendudukan Jepun, kerosakan
akibat peperangan di Sabah adalah lebih teruk berbanding dengan keadaan di
Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak. Hal ini turut disokong oleh Tregonning
(1965), yang menyatakan bahawa Sabah ialah negeri yang terbinasa sekali akibat
Perang Dunia Kedua daripada negeri-negeri jajahan British yang lain. Serangan
tentera Berikat telah membinasakan bandar-bandar besar, perhubungan dan
pengeluaran hasil eksport telah diberhentikan. Kerosakan ini memerlukan
perbelanjaan yang terlalu besar dan tidak mampu dipikul Kompeni. SBUB tidak
mempunyai pilihan lain selain daripada menyerahkan Sabah kepada British.
Menurut Sheela (1993), Sir Neill Malcolm, pengerusi badan pengarah Kompeni
menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai sumber kewangan untuk membangunkan
semula negeri Sabah kecuali diserahkan kepada pentadbiran Tanah Jajahan
British.
Seterusnya, penyerahan Sabah dibuat
hasil daripada wujudnya kerjasama yang erat di antara Sabah dan pihak British.
Pada tahun 1881, British telah mengurniakan sebuah Piagam kepada Syarikat
Berpiagam Sabah. Keadaan ini sebenarnya telah memperlihatkan penguasaan British
terhadap Syarikat tersebut. Sama seperti
Perjanjian 1888 di Sarawak, Piagam tersebut telah mengikat Syarikat untuk
memberikan hak istimewa kepada warganegara British dan Syarikat tidak boleh
menjualkan atau menyerahkan Sabah kepada kuasa asing. Begitu juga, pada tahun
1888, Sabah telah menjadi negeri naungan British, sekaligus memberikan kuasa
kepada British untuk menguasai perhubungan luar negeri dan pertahanan Sabah
(Siti Aidah, 2007). Keadaan ini lah yang telah mendorong Syarikat untuk
menyerahkan Sabah kepada British pada tahun 1946.
Selain itu, kelemahan sistem
pentadbiran SBUB juga telah menjadi satu faktor penting dalam penyerahan Sabah
kepada British. SBUB telah mentadbir Sabah selama lebih 60 tahun. Dalam usia
ini, pentadbiran SBUB di Sabah telah menjadi usang dan ketinggalan zaman.
Seiring dengan perkembangan politik moden, sistem pentadbiran yang dilaksanakan
oleh SBUB menjadi tidak relevan dan memerlukan pucuk pimpinan yang baharu.
Menurut Buyong Aidil (1981), rundingan penyerahan hak tersebut telah dibuat di
London. Setiausaha Tanah Jajahan telah mengisytiharkan kepada Dewan Rakyat
mengenai perjanjian mengambil alih Sabah daripada kompeni pada 26 Jun 1945.
Kerajaan British juga turut membayar wang pendahuluan sebanyak £860,000 untuk mengurangkan beban hutang kompeni.
Begitu
juga, penyerahan Sabah kepada British turut disebabkan oleh kepentingan British
di negeri tersebut. Menurut Sheela (1993), pada mulanya kerajaan British tidak
berminat untuk mengambil alih Sabah kerana Perdana Menteri Clemer Atlee pada
ketika itu mempunyai anti-dasar tanah jajahan dan sedang menyelesaikan soal pemberian
kemerdekaan kepada Sri Lanka, Burma dan India. Walau bagaimanpun, setelah
memikirkan kedudukan negeri ini dari pelbagai aspek, khasnya dari segi ekonomi,
British akhirnya membuat keputusan untuk mengambil alih Sabah daripada SBUB.
Kepentingan ekonomi British di Sabah jelas dilihat kerana Sabah merupakan satu
negeri yang kaya dengan hasil pengeluaran seperti getah, lada hitam dan kayu
balak yang amat penting bagi British untuk mengembangkan perindustriannya.
Justeru itu, dapat kita simpulkan bahawa penjajahan British di Sabah adalah
disebabkan oleh potensi negeri tersebut sebagai pembekal bahan mentah dan
tempat pemasaran barangan keluaran British.
Konklusinya,
penyerahan Sabah kepada pihak British adalah disebabkan oleh empat faktor
utama. Antara faktor tersebut ialah kerosakan
yang dialami oleh Sabah selepas pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan
SBUB, kelemahan sistem pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan
ekonomi British di Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni
(SBUB) untuk menyerahkan Sabah kepada British. Pada 15 Julai 1946, Sabah secara
rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali
sebagai Crown Colony.
3.2
Reaksi Rakyat Tempatan Terhadap Penyerahan
Penyerahan Sarawak
kepada British telah menimbulkan tentangan hebat oleh rakyat tempatan di
Sarawak. Hal yang sebaliknya pula berlaku di Sabah. Menurut Sabihah (1986),
penyerahan Sabah kepada British berlaku tanpa sebarang penentangan yang
berkesan. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh tahap kesedaran rakyat Sabah
yang rendah mengenai kemerdekaan. Hal ini turut disokong oleh Sheela (1993),
yang mengatakan bahawa rata-rata penduduk Sabah tidak memahami tujuan perubahan
pemerintahan daripada Kompeni kepada pemerintahan British.
Malahan, sehingga tahun 1961, Sabah
masih belum mengenal pilihan raya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa
perkembangan politik di Sabah telah jauh ketinggalan berbanding dengan Sarawak.
Rakyat Sabah tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pentadbiran. Hal
ini mungkin disebabkan oleh pemerintahan Kompeni yang menggunakan Piagam 1881.
J. P. Ongkili (1972), turut mengatakan bahawa Piagam tahun 1881 tidak banyak
memberi peluang kepada orang-orang Sabah untuk campur tangan dalam pentadbiran
negeri mereka.
Begitu juga, sekiranya ditinjau dari
aspek kesedaran nasional, rakyat di Sabah jelas menunjukkan kelembapan mereka.
Selepas pendudukan Jepun, semangat nasionalisme di Asia Tenggara telah
meluap-luap, khasnya di Indonesia, Tanah Melayu dan juga Sabah. Hal yang
sebaliknya pula berlaku di Sabah. Menurut Sheela (1993), walaupun terdapat
persatuan seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sabah dan Barisan Pemuda Sabah
yang ditubuhkan pada tahun 1946, kedua-dua persatuan ini tidak menjadi
pendorong untuk menimbulkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat
tempatan di Sabah.
Walau bagaimanapun, penyerahan Sabah
kepada British telah ditentang oleh negara jiran Sabah, iaitu Kesultanan Sulu.
Penentangan ini dilakukan kerana Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah
merupakan milik mereka. Penentangan ini langsung tidak memberi kesan kepada
penyerahan Sabah kepada British. Secara keseluruhannya, penyerahan Sabah kepada
British pada 15 Julai 1946 tidak mendapat sebarang penentangan yang berkesan
daripada rakyat tempatan di Sabah.
4.0
PENUTUP
Secara keseluruhannya,
tugasan ini telah membincangkan mengenai sebab-sebab penyerahan Sarawak kepada
British pada 1 Julai 1946 dan penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai
1946. Begitu juga, tugasan ini telah menganalisis secara kritikal tentang
reaksi rakyat tempatan terhadap penyerahan tersebut. Seperti yang telah
dijelaskan, penyerahan Sarawak dan Sabah kepada British telah didasari oleh
beberapa sebab.
Penyerahan Sarawak kepada British
telah didorong oleh beberapa faktor, iaitu masalah dalaman yang berlaku dalam
keluarga Brooke, sejarah hubungan diplomatik British dan Brooke, keadaan negeri
Sarawak selepas pendudukan Jepun serta kepentingan ekonomi pihak British di
Sarawak. Faktor-faktor inilah yang telah menjadi pendorong kepada Charles Vyner
Brooke untuk menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1946.
Begitu juga, penyerahan Sabah kepada
British turut didasari oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut
ialah kerosakan yang dialami oleh Sabah
selepas pendudukan Jepun, hubungan erat British dengan SBUB, kelemahan sistem
pemerintahan SBUB sendiri dan untuk menjamin kepentingan ekonomi British di
Sabah. Faktor-faktor inilah yang telah mendorong Kompeni (SBUB) untuk
menyerahkan Sabah kepada British, di mana pada 15 Julai 1946, Sabah secara
rasminya telah diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan British atau dikenali
sebagai Crown Colony.
Sesungguhnya, penyerahan Sarawak kepada British telah
menimbulkan penentangan yang hebat daripada rakyat tempatan di Sarawak.
Penentangan tersebut dikenali sebagai gerakan anti-penyerahan. Rakyat Sarawak
percaya bahawa penyerahan Sarawak ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan
1941. Hal ini akan melambatkan lagi proses kemerdekaan yang diingini oleh
rakyat di Sarawak. Penentangan demi penentangan telah dilakukan oleh gerakan
anti-penyerahan di Sarawak. Kemuncak gerakan tersebut adalah peristiwa
pembunuhan Sir Duncan Stewart yang membawa kepada tindakan keras British yang
akhirnya melumpuhkan gerakan anti-penyerahan di Sarawak.
Manakala, di Sabah, penyerahan Sabah
kepada British tidak mendapat sebarang tentangan yang berkesan dalam kalangan
rakyat tempatan. Hal ini disebabkan oleh rakyat Sabah yang tidak mempunyai
kesedaran politik dan semangat nasionalisme seperti di Sarawak. Begitu juga,
ketiadaan penentangan ini turut berpunca daripada akyat Sabah yang tidak
mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pentadbiran kerana tidak diberikan
peluang untuk mentadbir semasa pemerintahan Kompeni.
Konklusinya, penyerahan Sarawak dan
Sabah ini merupakan satu titik tolak kepada kebangkitan kesedaran nasionalisme
dalam kalangan masyarakat tempatan. Walaupun penentangan yang dilakukan tidak
membuahkan hasil, namun, kesedaran yang timbul semasa gerakan tersebut
merupakan satu langkah yang diperlukan oleh rakyat dalam proses mencapai
kemerdekaan. Selepas penyerahan tersebut, British telah menyediakan kedua-dua
negeri tersebut ke arah berkerajaan sendiri. Pada 16 September 1963, kedua-dua
negeri ini telah bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk
sebuah entiti politik yang dikenali sebagai Malaysia sehinggalah pada hari ini.
No comments:
Post a Comment