1.0 Penerangan Tentang Sejarah Penubuhan
Sekolah, Cogan Kata, Visi Dan Misi Sekolah Serta Maksud Warna Dan Simbol Pada
Lencana Dan Bendera Sekolah
Sekolah Kebangsaan St. Augustine ditubuhkan
pada tahun 1927 oleh seorang paderi Kristian Katolik tersebut dikenali sebagai
Rev. Leonard v.d Bergh. Tujuan utama beliau membina sekolah ini adalah untuk
mendidik orang dan menyebarkan agama Katolik. Pada 11 November 1952, Jabatan
Pendidikan Kuching memberikan kelulusan bagi SK St. Augustine untuk mengadakan aliran
Bahasa Cina. Pada masa itu, bangunan St. Augustine ini dibuat daripada papan
dan kayu dua tingkat. Pada tahun 1957, sebuah rumah asrama telah dibina. Asrama
ini khusus untuk murid-murd Iban yang datang dari rumah panjang yang jauh dari
Bandar Bintangor. Apabila Majlis Daerah Meradong membina sekolah tempatan untuk
setiap kampung di seluruh Daerah Meradong, tiada murid lagi yang menetap di
asrama Sk. St. Augustine semenjak tahun 1966. Pada tahun 1927, bangunan sekolah
yang dibina didapati tidak selamat. Justeru itu, atas sumbangan separuh wang dibantu
oleh kerajaan dan separuh wang diderma dari penduduk di Bandar Bintangor maka
bangunan baru siap dibina pada tahun 1969. Bangunan yang lama dimusnahkan pada
Ogos 1969. Kemudian sebuah bangsal untuk meletakkan kereta, motosikal dan
basikal telah dibina pada tahun 1986. Pada masa kini, SK St. Augustine merupakan
sebuah sekolah rendah yang menggunakan Bahasa Melayu. Sekolah ini mempunyai 13
orang guru termasuklah Guru Besar, dua staf sokongan dan 163 orang murid.
Cogan
kata Sekolah Kebangsaan St. Augustine adalah Ketekunan Asas Kejayaan. Cogan
kata ini menekankan kepada perkataan KETEKUNAN. Ketekunan ini menjadi tonggak
kepada kejayaan yang cemerlang sama ada bagi murid-murid atau guru-guru
sekaligus menjulang nama baik sekolah sejajar dengan visi sekolah. Sekolah
Kebangsaan St. Augustine mempunyai visi dan misi tersendiri. Visi Sekolah
Kebangsaan St. Augustine berhasrat untuk menyediakan kemudahan, persekitaran
serta suasana pengajaran dan pembelajaran yang optimum dan harmonis untuk
mencungkil dan mengasah potensi murid sebagai landasan asas perkembangan
individu kearah mencapai kegemilangan dalam bidang akademik, kokurikulum, dan
sahsiah agar menjurus ke arah pembangunan kemanusiaan yang positif sejajar
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Manakala, misi
Sekolah Kebangsaan St. Augustine adalah untuk melahirkan individu yang berilmu,
berwibawa dan berketrampilan. Selain itu, sekolah ini juga mengutamakan kepada
Pendidikan Berkualiti secara formal atau tidak formal dengan berlandaskan
penerapan nilai-nilai murni, mengembangkan potensi, bakat dan minat individu
secara berterusan dan menyeronokkan. Misi sekolah ini juga adalah untuk
menyemaikan persefahaman dan permuafakatan untuk mewujudkan suasana harmonis di
kalangan warga sekolah yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang
budaya yang berlainan seterusnya meningkatkan keputusan peperiksaan secara
berterusan.
Sekolah
Kebangsaan St. Augustine juga mempunyai matlamatnya tersendiri yang ingin
dicapai. Sekolah ini berusaha untuk mencapai ke arah kecemerlangan untuk
menyediakan warga sekolah bagi menghadapi cabaran dari masa ke semasa, mewujudkan
budaya kerja dan budaya belajar yang berkualiti dan cemerlang serta menjadikan
warga sekolah ke arah yang lebih unggul, bestari yang berteraskan akronium “CUT
APPLE A” Caring, Understanding, Trusting,
Accepting, Patience, Positive Thinking, Listening Empathy, Assertive.
Sekolah ini juga bermatlamat untuk mengoptimumkan penggunaan semua sumber bagi
memantapkan lagi keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran, menyediakan sekolah
yang ceria, menyeronokkan sebagai tempat belajar (A Learning School), serta melibatkan PIBG dan komuniti setempat
secara aktif ke arah mencapai visi sekolah.
Sekolah
Kebangsaan St. Augustine juga mempunyai lencananya sendiri. Di
sebalik lencana ini, ia mempunyai maksud-maksud tertentu iaitu dari segi warna
dan juga bentuknya. Dari segi warna lencana ini, terdapat lima warna iaitu
biru, putih, kuning, merah, dan hijau. Warna biru melambangkan perpaduan dan
keharmonian di kalangan warga sekolah St Augustine. Manakala warna putih pula
melambangkan keluhuran dan kesucian hati budi warga sekolah St. Augustine.
Warna kuning pula bermaksud kesetiaan dan kepatuhan kepada semua undang-undang
dan peraturan. Bagi warna merah, ia bermaksud keberanian, kesanggupan,
ketegasan, dan kekentalan semangat untuk melakukan tugas dan cita-cita. Warna
yang terakhir iaitu warna hijau membawa maksud kebersihan dan keceriaan kawasan
sekolah tersebut. Dari segi bentuk pula terdapat tiga jenis bentuk iaitu bentuk
tujuh bulatan, obor, dan buku. Bentuk tujuh bulatan bermaksud perpaduan,
permuafakatan dan persefahaman antara warga sekolah yang berbilang kaum seperti
Iban, Cina, Melayu, Melanau, Kenyah, Bidayuh dan Punan. Bentuk obor pula
membawa maksud semangat membara dalam setiap diri warga sekolah untuk menerangi
hala tuju dan merealisasikan misi, visi dan matlamat sekolah. Bentuk buku pula
menegaskan kepentingan kecemerlangan akademik murid-murid.
2.0 Penjelasan
Tentang Program Dan Projek Berimpak Tinggi Yang Dilaksanakan Untuk Membangunkan
Kecemerlangan Sekolah
Sekolah
merupakan sebuah institusi yang dibina untuk mendidik dan mengajar anak bangsa
supaya menjadi insan yang berilmu dalam memajukan negara pada masa akan datang.
Oleh yang demikian, setiap sekolah tidak lari dari melaksanakan program dan
projek yang berimpak tinggi bagi membangunkan kecemerlangan sekolah. Sehubungan
itu, berdasarkan kajian dan temu bual dari warga sekolah St. Augustine kami
telah mendapati bahawa sekolah ini mempunyai inisiatif untuk meningkatkan
kecemerlangan sekolah. Pihak sekolah telah melaksanakan banyak program dan
projek, khasnya dari aspek kurikulum, kokurikulum serta pengurusan dan
pentadbiran sekolah.
Dari
aspek kurikulum, sekolah ini telah mengadakan beberapa program untuk
membangunkan kecemerlangan sekolah. Antara projek atau program yang telah
dilaksanakan ialah kelas tambahan, kelas maju dan juga bengkel motivasi.
Program kelas tambahan ini melibatkan murid-murid yang berada pada tahap dua
yang terdiri daripada tahun 4, 5 dan 6. Manakala mata pelajaran yang diajar
dalam kelas tambahan yang dijalankan adalah mata pelajaran teras seperti Bahasa
Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Kelas tambahan diwajibkan sejak
murid berada pada tahun 4 bagi mendedahkan mereka dengan soalan-soalan sebenar
peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Selain
itu, pelaksanaan program ini juga bermatlamat untuk membimbing murid supaya
tahu menjawab soalan sebenar peperiksaan UPSR. Program kedua iaitu kelas maju
untuk tujuan kelas pemulihan kepada para pelajar yang masih lemah dalam
pembacaan dan pengiraan. Kelas ini melibatkan semua murid bermula dari tahun 1
sehinggalah tahun 6. Selain itu, sekolah ini juga mengadakan program motivasi
yang dikhaskan kepada murid-murid tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR
pada bulan September nanti. Guru-guru tahun 6 terutamanya mereka yang ada
mengajar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan juga
Bahasa Inggeris telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya agar mampu mencapai
matlamat yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak Pejabat Pelajaran Daerah
Bintangor dan juga lembaga sekolah turut terlibat dalam program ini.
Seterusnya
dari aspek kokurikulum, sekolah ini telah menyediakan jadual aktiviti yang akan
dijalankan pada setiap minggu. Aktiviti yang dilakukan adalah berlainan pada
setiap minggu. Dalam pada itu, sekolah ini hanya memberikan latihan mengikut
keperluan untuk menghadapi setiap pertandingan yang akan disertai. Ini
bermakna, latihan akan diadakan sekiranya ada acara yang akan disertai. Menurut Penolong Kanan Kokurikulum, sekolah
ini memberikan tumpuan yang lebih
terhadap sukan yang mempunyai potensi untuk menang seperti acara trek,
badminton, bola jaring dan sepak takraw.
Sekolah
ini juga membangunkan kecemerlangan melalui pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Walaupun tidak mempunyai guru cemerlang berikutan ketiadaan guru yang memohon,
namun sekolah ini masih mengamalkan budaya kerja yang cemerlang sehingga
diisytiharkan sebagai Sekolah Harapan Negara Bahagian Sarikei pada tahun 2002. Sekolah ini juga, hanya mempunyai 20 orang
guru yang mana 18 orang daripadanya
adalah guru siswazah manakala 2 orang lagi adalah guru bukan siswazah.
Manakala, dari aspek prasarana pula, banyak pembangunan yang telah dilaksanakan
sejak dari penubuhannya. Pada tahun 2005, sekolah ini telah menerima bantuan
daripada kerajaan sebanyak RM 200 ribu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi pada
ketika itu. Dengan wang inilah sekolah telah membaiki bangunan yang sedia ada
yang agak uzur pada ketika itu.
Selain
itu, pada tahun lepas sekolah St
Augustine telah berjaya membina bangunan pentadbiran baru yang bilik guru, bilik guru penolong kanan, bilik
guru besar dan juga pejabat am. Bangunan pentadbiran yang baru, turut
dilengkapi dengan penghawa dingin serta lebih selesa berbanding dengan bangunan
pentadbiran yang lama. Di samping itu, sekolah ini turut berhasil membina dewan sekolah yang
digunakan sebagai tapak perhimpunan, gelanggang permainan dan sebagainya hasil
sumbangan orang persendirian seperti pihak ibu bapa dan juga kutipan derma dari
orang-orang yang berpangkat tinggi.
Kesimpulannya
dalam usaha untuk membangunkan kecemerlangan sekolah, pihak pengurusan dan
pentadbiran hendaklah merancang dan melaksanakan program-program yang mampu
menjadikan sesebuah sekolah cemerlang dalam semua aspek. Dalam hal ini,
jelaslah bahawa Sekolah Kebangsaan St Augustine telah melaksanakan
program-program yang berimpak tinggi sehingga sekolah ini telah berjaya meraih
gelaran sebagai Sekolah Harapan Negara pada tahun 2002.
3.0 Menilai Dan Memberi Justifikasi Tentang
Keberkesanan Usaha-Usaha Untuk Mengekalkan Kebersihan Dan Keindahan Sekolah
Selain dari aspek akademik dan kokurikulum, SK St.
Augustine turut memberi tumpuan terhadap aspek pengurusan kawasan sekolah. Di
mana setiap warga sekolah ini bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan dan
keindahan sekolah. Di samping itu, program keselamatan, kebersihan dan
keindahan alam sekitar sekolah (3K) juga diberi perhatian.
Matlamat
program 3K sekolah ini berhasratkan supaya warga sekolah mengamalkan kebersihan
secara menyeluruh dan berterusan tanpa batas, ruang, masa untuk menjadikan
sekolah sebagai tempat yang bersih, ceria, kemas, teratur, selesa, sihat dan
selamat bagi meransang perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani mereka.
Di mana terdapat empat objektif program 3K di sekolah iaitu meningkatkan
pengetahuan, kemahiran, dan amalan kebersihan diri, persekitan di kalangan
warga sekolah. Objektif kedua, menjadikan warga sekolah sentiasa bersih, sihat,
cergas, aktif dan positf menjalani aktiviti harian. Objektif ketiga adalah
mewujudkan persekitan sekolah yang bersih, menarik, ceria, selamat dan selesa.
Objektif seterusnya ialah meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti dan
kebersihan, keindahan dan keselamatan sekolah.
Berdasarkan
maklumat yang telah diperolehi, SK St. Augustine telah menetapkan jawatankuasa
kecil yang bertanggungjawab melaksanakan program 3K. Selaras dengan program 3K,
tiga jawatankuasa kecil (JK) ditubuhkan iaitu JK Keselamatan,JK kebersihan dan
JK keceriaan. Setiap jawatan kuasa tersebut mempunyai peranan masing-masing.
Pembahagian JK ini bertujuan untuk meningkatan kelancaran pelaksanaan program
3K. Walau bagaimanapun, selain daripada projek 3K, sekolah ini turut
melaksanakan Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS). Dalam program ini, SK St.
Augustine telah menubuhkan jawatankuasa PBSS peringkat sekolah dan melaksanakan
program kesihatan PBSS kebangsaan.
Selain
daripada memperoleh anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri, SK St.
Augustine turut melonjakkan nama sekolah melalui program 3K di peringkat
Kebangsaan. Di mana SK St. Augustine telah mendapat Naib Johan dalam
Pertandingan 3K pada tahun 2000. Selain itu, SK St. Augustine juga berjaya
mendapat Johan dalam Pertandingan Halaman Cantik & Keceriaan bahagian
Miri-Bintulu pada tahun 2001. Manakala, pada tahun 2003, sekolah ini mendapat
sijil penyertaan dalam pertandingan 3K. selain itu, pada tahun yang sama,
sekolah ini juga berjaya merangkul pingat gangsa dalam Program Bersepadu
Sekolah Sihat peringkat Negeri Sarawak. Kejayaan SK St. Augustine ini telah
menunjukkan bahawa sekolah ini mempunyai potensi besar bukan sahaja dalam
bidang akademik namun turut berpotensi dalam pelbagai aspek. Dengan kejayaan
ini, tidak dinafikan bahawa SK St. Augustine merupakan sebuah institusi
pendidikan yang perlu dibanggakan.
Berdasarkan
maklumat yang diperolehi, sekolah ini sentiasa melaksanakan program kesihatan
dan keselamatan sepanjang tahun. Contohnya, Program Bersatu Sekolah Sihat,
Program Sekolah Selamat dan Program Bebas Denggi. Melalui pelaksanaan program
tersebut, catatan menunjukkan tiada kes kesihatan yang serius begitu juga
dengan kes kemalangan adalah sifar dan tiada kes demam denggi. Sesungguhnya,
program tersebut menunjukkan keprihatinan pihak sekolah terhadap kesihatan,
keselamatan dan selesaan warga sekolah.
Walau
bagaimanapun, gotong-royong akan diadakan mengikut keperluan sekolah.
Gotong-royong ini biasanya melibatkan ibu bapa. Di mana penglibatan murid lebih
tertumpu kepada kebersihan kelas. Semasa gotong-royong diadakan peralatan akan
disediakan oleh pihak sekolah, namun terdapat juga peralatan yang disediakan
oleh ibu bapa seperti chainsaw. Selain itu, sekolah turut menyediakan makanan
dan minuman. Kerjasama ibu pada dengan pihak sekolah ini menunjukan hubungan
yang erat dan kukuh. Sesungguhnya, gotong-royong seperti ini adalah salah satu
cara untuk mengeratkan lagi hubungan sekolah dengan ibu bapa.
Jelas
bahawa program 3K yang dilaksanakan di sekolah ini dilaksanakan dengan
kerjasama semua warganya. Justeru, peranan semua pihak yang terlibat
terutamanya guru-guru, staf sokongan, ibu bapa dan murid di SK St. Augustine
sangat memainkan peranan penting dalam menjayakan program 3K hingga ke
peringkat kebangsaan. Kerjasama daripada semua pihak dalam program 3K
membuktikan sekolah ini boleh dijadikan sebuah institusi pendidikan yang perlu
dibanggakan.
4.0 Idea-Idea Yang Rasional Tentang Sekolah
Sebagai Institusi Pendidikan Yang Perlu Dibanggakan
Secara umumnya, sekolah berperanan
sebagai sebuah institusi pendidikan, yakni tempat untuk menimba ilmu
pengetahuan dan mendidik seseorang. Bagi SK St Augustine, peranan sekolah jelas
digariskan dalam Visi dan Misi sekolah ini. Visi sekolah ini ialah berhasrat
untuk menyediakan kemudahan, persekitaran serta suasana pengajaran dan pembelajaran
yang optimum dan harmonis untuk mencungkil dan mengasah potensi murid sebagai
landasan asas perkembangan individu ke arah mencapai kegemilangan dalam bidang
akademik, kokurikulum dan sahsiah agar menjurus ke arah pembangunan kemanusiaan
yang positif sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Manakala, misi
sekolah ini pula melahirkan individu yang berilmu, berwibawa dan
berketrampilan, mengutamakan kepada pendidikan berkualiti secara formal atau
tidak formal dengan berlandaskan penerapan nilai-nilai murni, mengembangkan
potensi, bakat dan minat individu secara berterusan dan menyeronokkan. Di
samping itu, sekolah ini juga berusaha ke arah menyemaikan persefahaman dan
permuafakatan untuk mewujudkan suasana harmonis dalam kalangan warga sekolah yang
terdiri daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya yang
berlainan, seterusnya meningkatkan potensi keputusan peperiksaan secara
berterusan.
Hasil temu bual kami bersama Guru Besar Sk St Augustine, Encik William
Awing, kami berpendapat dan yakin bahawa sekolah ini mampu melahirkan insan
yang dibanggakan di masa hadapan. SK St Augustine merupakan sekolah yang tertua
di daerah Meradong, yang mana telah dibina pada tahun 1927. Sepanjang
penubuhannya, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya mencapai
segulung ijazah di universiti. Sesungguhnya, sekolah ini telah melahirkan
banyak doktor, peguam, jurutera, usahawan berjaya termasuklah menjadi Menteri
di Kabinet Malaysia, iaitu YB Datuk Joseph Salang Ak Gandum. Kejayaan-kejayaan
ini difahamkan merupakan hasil daripada budaya sekolah mubaligh yang kukuh di
sekolah ini. Budaya sekolah mubaligh ini amat mementingkan disiplin yang
tinggi, di mana peraturan perlu dipatuhi dan usaha belajar yang jitu dalam
kalangan pelajar. Hal ini secara tidak langsung memudahkan pihak guru
menguruskan pelajar dan berfikiran terbuka dalam pentadbiran dan pengurusan
sekolah.
Bukan sahaja dari aspek pencapaian kurikulum, SK St Augustine juga
merupakan sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan dari aspek
kokurikulum. Pada tahun 2014 sahaja, pelajar sekolah ini berjaya mewakili
sekolah di peringkat Negeri Sarawak dalam Pertandingan Badminton dan Olahraga.
Antaranya ialah adik Sharlene, Tahun 6 yang telah mendapat Johan dalam Olahraga
MSSR Peringkat Negeri Sarawak dan adik Fletcher, Tahun 6 yang telah mendapat
Naib Johan dalam Pertandingan Badminton di Peringkat Negeri Sarawak. Begitu
juga, pasukan sepak takraw sekolah ini turut berjaya mendapat Johan dalam
Pertandingan Sepak Takraw di peringkat bahagian Sarikei. Kejayaan ini telah
membuktikan bahawa sekolah ini mampu menjadi sebuah institusi pendidikan yang
membanggakan bukan sahaja dari aspek akademik, malahan aspek kokurikulum.
Seterusnya, SK St Augustine juga pernah mendapat Anugerah Sekolah Harapan
Negara bagi kategori Sekolah Rendah Harian Luar Bandar Peringkat Negeri
Sarawak. pada tahun 2002. Anugerah ini merupakan satu penanda aras yang besar
bagi sekolah ini ke arah pencapaian sekolah yang lebih cemerlang, gemilang dan
terbilang. Begitu juga, pada tahun 2013, bilangan murid yang mendapat keputusan
5A dalam peperiksaan UPSR ialah seramai 3 orang dan peratus kelulusan penuh
pula sebanyak 78.56%. Keputusan UPSR tersebut merupakan antara yang terbaik di
daerah Meradong.
Menurut Guru Besar Sk St Augustine ini juga, sekolah ini telah menunjukkan
peningkatan dalam akademik semenjak ditubuhkan. Walaupun terdapat penurunan dan
peningkatan dalam pencapaian akademik seperti dalam keputusan UPSR, sekolah ini
tetap berjaya muncul antara sekolah yang terbaik di daerah Meradong.
Berdasarkan statistik yang diberikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Puan
Kussanawati Saibi, dari tahun 2009 sehingga 2013, sekolah ini telah menunjukkan
peningkatan dari aspek pencapaian akademik, khasnya pada tahun 2012, di mana peratus
kelulusan UPSR telah meningkat sebanyak lebih 15%, iaitu dari 68.42% pada tahun
2011 kepada 83.33% pada tahun 2012. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa
sekolah ini mampu menjadi sebuah institusi pendidikan yang membanggakan.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, bukan sahaja dari aspek
jasmani dan intelek, malahan aspek emosi dan rohani turut diberi penekanan
dalam sistem pendidikan. Di Sk St Augustine, aspek kerohanian amat
dititikberatkan. Warga sekolah ini percaya bahawa jati diri pelajar dapat
diperkukuhkan melalui perkembangan emosi dan rohani yang mantap. Sesuai dengan
status sebagai sebuah sekolah mubaligh, tuntutan agama diterapkan di sekolah.
Setiap pagi sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar akan
membaca doa pembukaan di dalam kelas masing. Begitu juga selepas berakhirnya
sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari tersebut. Seterusnya, pelajar juga
akan membaca doa makan di gelanggang sebelum mengambil makanan RMT. Keadaan ini
merupakan satu budaya yang berteruskan dijalankan di sekolah ini sejak
penubuhannya dari awal lagi. Sesungguhnya, berkat daripada doa pelajar dan
guru, segala ilmu dan kemahiran dapat diterima dan diaplikasikan dengan mudah
dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Di samping itu, pihak sekolah juga telah melaksanakan banyak program
sebagai satu usaha untuk melahirkan insan yang berketrampilan selaras dengan
Misi sekolah. Hasil dari temu bual bersama Guru Besar Sk St Augustine, dapat
dirumuskan bahawa usaha pihak sekolah ini bermula dari peringkat rendah, iaitu
dari Tahun 1 sehinggalah ke Tahun 6. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Latihan dan usaha secara berterusan ini akan memudahkan pihak
sekolah dalam melahirkan insan yang berketrampilan dari pelbagai aspek seperti
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Antara usaha yang dilaksanakan
untuk aktiviti kurikulum (intelek) adalah seperti kuiz, kelas tambahan,
pertandingan bercerita dan NILAM. Manakala, dari aspek jasmani, sekolah ini
melaksanakan aktiviti kokurikulum pada waktu petang sebagai satu keperluan
seperti aktiviti permainan dan persatuan. Begitu juga, dari aspek kerohanian,
pihak sekolah mengambil inisiatif untuk menerapkan budaya berdoa dalam kalangan
pelajar. Program Penghayatan Kerohanian turut dilaksanakan di sekolah untuk
memberi kesedaran mengenai betapa pentingkan aspek kerohanian dalam melahirkan
insan yang berketrampilan seterusnya menjadikan sekolah sebagai sebuah
institusi pendidikan yang boleh dibanggakan.
Sesungguhnya, sekolah ini mempunyai kunci kejayaannya yang tersendiri.
Hasil daripada pemerhatian projek yang telah dilaksanakan, kunci kejayaan
sekolah ini adalah terletak pada disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar
dan guru. Kerjasama yang jitu ditunjukkan oleh pihak sekolah, ibu bapa dan
pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan dan prestasi sekolah ini, khasnya dari
aspek kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga, budaya sekolah mubaligh yang
menekankan disiplin dan kerohanian yang kukuh dalam kalangan pelajar merupakan
kunci kejayaan sekolah ini. Kesimpulannya, Sk St. Augustine merupakan sebuah
institusi pendidikan yang boleh dibanggakan.
Hasil Pembentangan,
Anita Dilam,
Haina Dinol,
Suzie Defrin
Sabit Angong
No comments:
Post a Comment