1.0 PENGENALAN
Menurut Blumenfeld (1991),
pembelajaran berasaskan projek (PBL) memberi fokus kepada aktiviti penyiasatan
atau inkuiri penemuan. Pelajar berusaha menyelesaikan masalah melalui aktiviti
penyoalan, membahaskan idea-idea, membuat ramalan, mereka bentuk rancangan,
mengumpul dan menganalisis data atau maklumat, membuat kesimpulan, menyediakan
laporan serta mempersembahkan idea dan penemuan kepada pihak lain.
Pada 19 Ogos 2014 yang
lalu, kami sekumpulan telah memilih Sekolah Kebangsaan Nanga Strass, Bintangor
untuk melaksanakan sebuah kajian lapangan. Kajian lapangan tersebut
dilaksanakan adalah untuk mendapatkan data dan maklumat sekolah berkaitan
dengan Standard Kandungan 1.3 Sejarah Sekolah dalam DSKP Sejarah Tahun 4. Data
sekolah yang dikumpul merangkumi
maklumat umum sekolah, program berimpak tinggi dalam membangunkan
kecemerlangan sekolah, usaha-usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan
sekolah dan idea rasional berkaitan dengan sekolah sebagai institusi pendidikan
yang perlu dibanggakan.
Kajian lapangan ini
dilaksanakan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga pukul 12 tengah hari.
Kedatangan kami disambut dengan baik oleh Guru Besar. Tambahan pula, pihak
sekolah sudah dimaklumkan terlebih awal tentang kedatangan kami ke sekolah.
Antara orang sumber yang telah ditemubual bagi mendapatkan segala data dan
maklumat yang berkaitan ialah Guru Besar, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan Hal
Ehwal Murid (HEM), Penolong Kanan Kokurikulum dan beberapa orang guru biasa.
2.0 PENERANGAN
TENTANG SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH, COGAN KATA, VISI DAN MISI SEKOLAH SERTA
MAKSUD WARNA DAN SIMBOL PADA LENCANA DAN BENDERA SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Nanga
Strass telah ditubuhkan pada awal tahun 1955. Nama asal sekolah ini ialah Wong
Anjai Primary School kerana tapak asal
sekolah ini berdekatan dengan Wong Anjai. Penubuhan awal sekolah ini adalah
atas persetujuan penduduk dari tujuh buah rumah panjang dan penduduk Cina yang
berdekatan yang diketuai oleh Tr Ason ak Rimau, Lau Ngilik Chiong dan Micheal
Chua. Micheal Chua merupakan guru besar pertama sekolah ini.
Bangunan awal
sekolah ini telah dibina secara bergotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Sekolah
(AJK) dan ibu bapa pada masa itu. Pada tahun 1960-an, bangunan-bangunan baharu
telah dibina di tepi jalan KJD, iaitu tapak Sk Nanga Strass sekarang. Antara
bangunan baharu yang dibina ialah sebuah bangunan dua tingkat. Bermula pada
tahun 1966, sekolah ini telah menerima kehadiran guru-guru pelatih dari Maktab
Perguruan Rajang untuk menjalani latihan mengajar. Pada 29 Mei 1981, SK Nanga
Strass telah dibuka secara rasmi oleh Yang Behormat Encik Daniel Tajem (Menteri
Pertanian dan Pembangunan Masyarakat). Senarai nama Guru Besar dapat dilihat
dalam Lampiran 1.
Cogan kata SK
Nanga Strass ialah “Belajar Cita Berbakti”. Dari sudut visi dan misi sekolah,
pihak sekolah telah menyatakan bahawa visi dan misi sekolah adalah selaras
dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ini bermakna visi Sk Nanga Strass ialah “Pendidikan
Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”. Manakala misi sekolah ialah “Melestarikan Sistem
Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi
Aspirasi Negara”.
Seperti sekolah lain,
Sk Nanga Strass juga mempunyai lencana sekolah tersendiri. Walaubagaimanapun,
kami mendapati bahawa sekolah ini tidak mempunyai bendera sekolah. Maksud warna
dan simbol yang terdapat pada lencana sekolah dapat diterangkan dalam gambar di
bawah.
GEGELUNG BULATAN
Semangat
kesukanan yang kental dan tidak mudah putus asa
|
KOMPUTER & OBOR
Kesediaan
warga sekolah menerima perkembangan teknologi setiap masa
|
PELAMPUNG
Disiplin
yang diterap di sekolah membentuk jati diri dalam menjadi insan berguna
|
KUNING
Perpaduan
di kalangan semua warga sekolah
|
MERAH
Berani
dalam membentuk perubahan ke arah positif
|
PUTIH
Kecintaan
kepada sikap positif yang tinggi
|
HITAM
Disiplin
yang tinggi dalam diri warga sekolah
|
3.0
PENJELASAN TENTANG PROGRAM ATAU PROJEK BERIMPAK TINGGI YANG DILAKSANAKAN UNTUK
MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
Program atau projek
berimpak tinggi yang dilaksanakan untuk membangunkan kecemerlangan sekolah di
SK. Nanga Stras boleh dibahagikan kepada dua iaitu dari aspek akademik dan juga
aspek kokurikulum. Dari aspek akademik, sekolah ini telah mengadakan Program Akademik
2014 “PINTU”. Program PInTU merupakan
jenama program utama yang
dirangka khas bagi meningkatkan prestasi akademik murid Tahun 6 sesi 2014.
PInTU membawa maksud Program Intensif Tingkatkan UPSR.
Pendekatan program ini
adalah berkonsepkan Kelas Bimbingan Intensif yang diadakan setiap hari Isnin,
Selasa, Rabu dan Khamis dalam 3 kumpulan murid pelbagai kebolehan. Guru
berfokus kepada kaedah “mastery learning” untuk kelemahan yang dikesan dalam
Analisis Item. Segala bimbingan yang diberikan kepada murid adalah berdasarkan
Pelan Operasi setiap projek (sub-program) Mata Pelajaran Iaitu BM-M2K, BI-TQ,
MT-GOAM dan SN-GKPS. Semasa program ini dijalankan, semua guru terlibat bagi
meningkatkan prestasi akademik murid-murid tahun 6 dalam menduduki peperiksaan.
Kesan daripada program ini belum dapat dilihat kerana program ini baru
dilaksanakan pada tahun 2014. Oleh yang demikian, kesannya hanya dapat dilihat
setelah murid-murid menduduki peperiksaan UPSR tahun 2014.
Selain daripada itu,
guru-guru di sini menekankan program kebudayaan dan juga program sukan bagi
membangunkan kecemerlangan sekolah dari aspek kokurikulum. Dalam aktiviti
kebudayaan, sekolah ini sering menyertai pertandingan yang dianjurkan di
peringkat sekolah dan juga peringkat daerah. Hal ini menunjukkan bahawa
walaupun sekolah ini hanya sekolah yang kecil namun mampu meletakkan nama
sekolah seiring dengan sekolah-sekolah lain di daerah Meradong ini.
Aktiviti kebudayan seperti
pertandingan tarian sering mendapat pingat di bawah bimbingan Cikgu Latifah.
Manakala, dalam aktiviti sukan, sekolah ini sering mendapat pingat di peringkat
sekolah, daerah dan kebangsaan. Antara aktiviti sukan yang sering dipertandingkan
ialah olahraga dan bola sepak. Murid-murid yang menyertai pertandingan ini
kebanyakannya adalah murid-murid tahap dua. Pertandingan ini adalah di bawah
bimbingan Cikgu Paul dan juga Cikgu Ruby. Kesimpulannya, pelbagai program atau
projek berimpak tinggi yang dilaksanakan untuk membangunkan kecemerlangan
sekolah terutamanya dari aspek akademik dan juga aspek kokurikulum. Bagi
membantu dalam membangunkan kecemerlangan sekolah, semua pihak iaitu ibu bapa,
guru dan murid perlu bekerjasama.
4.0
PENILAIAN DAN JUSTIFIKASI TENTANG KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN
KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH
Bagi mengekalkan kebersihan
dan keindahan sekolah, warga SK. Nanga Stras telah mengadakan pelbagai program
yang boleh mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih dan selesa. Antara usaha
yang telah mereka lakukan ialah penanaman bunga dalam pasu, mengecat pagar
mengikut warna bendera Sarawak dan menyemai anak benih bunga. Bagi mengekalkan
kebersihan dan keindahan sekolah, murid-murid didedahkan dengan aspek penjagaan
kebersihan dan keindahan sekolah dengan mengajak murid-murid menyemai benih.
Selain daripada itu, pihak
sekolah juga melibatkan pihak luar dalam program kebersihan dan keindahan
sekolah. Pihak sekolah telah melibatkan ibu bapa murid-murid dan juga warga
sekolah ini bagi membantu mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah. Ibu
bapa murid-murid akan terlibat dalam mengekalkan kebersihan dan keindahan di
sekolah ini semasa program PIBG dan juga apabila terdapatnya aktiviti
gotong-royong yang diadakan hanya dua kali setahun.
Program 3R atau program
kitar semula ada dilaksanakan di sekolah SK. Nanga Stras bagi mengekalkan
kebersihan dan keindahan sekolah. Program ini dapat dilihat di sekolah ini
kerana terdapat tong sampah kitar semula yang diletakkan bersebelahan dengan
dewan makan. Bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, penerapan nilai-nilai kebersihan dan keindahan juga telah diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Ini
dapat dilihat dalam mata pelajaran Pendidikan Moral apabila guru-guru
Pendidikan Moral mengajar nilai-nilai murni kepada murid-murid.
Kesimpulannya, pelbagai
usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah telah dilakukan oleh
pihak sekolah. Namun demikian, ini tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat
sokongan daripada semua pihak terutamanya murid-murid dan juga para ibu bapa
murid. Oleh yang demikian, bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah,
warga sekolah ini perlu berganding bahu dan memupuk sikap cintakan kebersihan
alam sekitar bagi memastikan keindahan dan keceriaan sekolah tetap terpelihara.
5.0
IDEA-IDEA RASIONAL TENTANG SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG PERLU
DIBANGGAKAN
Terdapat beberapa aspek
yang boleh menjadikan SK Nanga Strass ini sebagai institusi pendidikan yang
dapat dibanggakan. Antaranya adalah dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
Pencapaian tersebut dapat dilihat sepanjang tempoh tahun 2011 sehingga tahun
2014. Kecemerlangan tersebut melibatkan pihak pengurusan sekolah sendiri iaitu
guru-guru, murid-murid dan pihak PIBG.
Perkara pertama yang dapat
dibanggakan ialah apabila wujudnya guru cemerlang di sekolah ini. Guru tersebut
ialah Puan Sia Kee Huong dan Encik Leinus Endam. Kedua-dua guru tersebut telah
memperolehi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013. Puan Sia Kee
Huong merupakan guru Matematik dan beliau sangat komited menjalankan kelas
tambahan setiap petang melalui program PINTU. Manakala Encik Leinus Endam pula
adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM).
Sk Nanga Strass turut
melahirkan murid-murid yang telah mengharumkan nama sekolah sehingga peringkat
kebangsaan. Mereka terlibat aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak dan
olahraga. Mereka terdiri daripada murid-murid tahap 2 dan dibimbing oleh Puan
Roby Brandi, Encik Sidi Jantan dan Encik Lienus Endam. Antara kejayaan yang
telah diperolehi seperti menjadi Naib Johan Kejohanan Balapan dan Padang 12 TKB
MSSD Meradong 2014. Seramai 4 orang murid telah terpilih untuk mewakili daerah
Meradong sempena Kejohanan Balapan & Padang 12 TKB MSSG Sarikei dan mereka
ialah Cynthia Ranny, David Baran, Eryieka Rita serta Rakie Sebang.
Di samping itu, sekolah ini
juga sangat aktif di dalam kebudayaan. Mereka telah menjadi johan dalam Pertandingan
Tarian peringkat daerah Bintangor. Rentetan daripada itu, mereka akan mewakili
ASAT peringkat negeri di Miri pada bulan Oktober tahun ini. Puan Latipah Binti
Haji Hassan adalah seorang guru yang komited dalam membimbing murid-murid
tersebut. Beliau merupakan guru kebudayaan dan telah menubuhkan Kelab
Kebudayaan semenjak 1998 dan kemudiannya diubah nama kepada Tunas Budaya. Kelab
ini turut bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
(JKKN) Sarawak. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti bicara
berirama dan berlakon.
Bukan itu sahaja, Sk Nanga
Strass turut dapat dibanggakan kerana terdapatnya kelas kondusif iaitu kelas
pemulihan yang sering menjadi tumpuan kepada setiap pengunjung ke sekolah ini.
Kelas ini telah diubahsuai oleh Puan Andretta dengan kreativitinya sendiri.
Keadaan kelas yang kondusif ini telah membolehkan murid LINUS dari tahap 1
menguasai kemahiran belajar berdasarkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang
terdapat di dalam kelas tersebut. Dapatlah dikatakan sekolah ini mampu
dibanggakan kerana adanya kelas pemulihan yang begitu kondusif untuk murid
LINUS.
Selain daripada para guru
dan murid-murid, pihak PIBG turut memainkan peranan dalam menjadikan sekolah
ini sebagai institusi pendidikan yang perlu dibanggakan. Pihak PIBG serta
pengurusan sekolah akan mengadakan Mesyuarat Agung sebanyak dua kali setiap
tahun bagi membincangkan tahap pencapaian akademik murid. Pihak ini turut
prihatin terhadap aspek keselamatan dan keselesaan murid di sekolah tersebut.
Jelaslah bahawa peranan pihak PIBG dapat membentuk sekolah ini sebagai sekolah
yang perlu dibanggakan.
Apabila melihat kepada
kecemerlangan yang telah digapai oleh Sk Nanga Strass, kita dapat menyatakan
bahawa sekolah ini dapat menjadi sebuah institusi pendidikan yang dibanggakan.
Justeru, perlunya pelbagai program dan aktiviti harus dijalankan oleh pihak
sekolah agar murid yang seimbang dari aspek kokurikulum dan kurikulum dapat
dilahirkan.
6.0 PENUTUP
Kesimpulannya, melalui
kerjasama yang diberikan oleh warga Sk Nanga Strass, kami sekumpulan telah
berjaya melaksanakan kajian lapangan ini dengan jayanya. Segala data dan
maklumat sekolah yang ingin dikumpul telah kami dapati berdasarkan hasil
temubual bersama pihak sekolah. Sesungguhnya, tugasan melalui kajian lapangan ini
membolehkan kami lebih memahami dengan lebih mendalam konsep pembelajaran
berasaskan projek berdasarkan pengalaman yang telah kami lalui. Seorang guru
Sejarah boleh menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam mata
pelajaran Sejarah agar pelajar lebih faham dan merasai sendiri tentang sesuatu
yang diajar. Tambahan juga, mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah
akan lebih menyeronokkan sekiranya guru akan mempelbanyakkan lagi aktiviti di
luar kelas.
No comments:
Post a Comment