1.0
PENGENALAN
Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) bermaksud
proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara sistematik atau terancang
dalam jangka masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis
data dan persediaan satu laporan yang betul (Educational Technology Division,
2006: 3). PBP boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan,
mengikut perancangan guru atau mengikut projek yang hendak dijalankan oleh
murid. Biasanya, penilaiannya akan dijalankan pada setiap tahap proses
sehinggalah ke tahap hasil yang siap.
Antara ciri-ciri PBP
ialah, ia adalah satu kaedah yang mengintegrasikan pengetahuan dengan aktiviti.
Hal ini kerana aktiviti yang dirancang adalah berasaskan kemahiran,
pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid. Pekara yang dirancang juga sesuai
dengan murid dan kurikulum yang sedang digunakan murid pada masa tersebut.
Selain itu, interaksi antara
guru dan murid juga berupa bimbingan dan perundingan pada setiap tahap proses.
Ini kerana guru perlu menjelaskan prosedur pelaksanaan yang lengkap. Proses ini
melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan
pelaporan hasil juga refleksi kendiri.
Untuk PBP yang kami
jalankan, kami dikehendaki untuk memilih sebuah sekolah untuk mendapatkan data
dan maklumat berkaitan dengan Standard Kandungan 1.3
Sejarah Sekolah dalam DSKP Tahun 4. Untuk itu, kumpulan kami telah memilih SJK
(C) Ming Tee sebagai sekolah kajian.
·
2.0
PENERANGAN TENTANG SEJARAH PENUBUHAN
SEKOLAH, COGAN KATA, VISI DAN MISI SEKOLAH SERTA MAKSUD WARNA DAN SIMBOL PADA
LENCANA DAN BENDERA SEKOLAH
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Tee
merupakan sekolah yang terletak di daerah Bintangor. Sejarah penubuhan sekolah
ini bermula pada tahun 1933 apabila mubaligh-mubaligh Methodist mula masuk ke
Sarawak. Kebanyakan gereja yang didirikan pada masa tersebut digunakan sebagai
pusat penyebaran pendidikan. Kemudiannya, pada tahun yang sama, Encik Lau Siew
Yung telah mohon untuk dijadikan Penolong Gereja untuk gereja yang terletak di
Batu 3, Jalan Kelupu, Bintangor. Untuk menubuhkan gereja baru tersebut, beliau
dan beberapa orang tempatan telah memberi bantuan termasuk dari segi kewangan.
Gereja itu kemudiannya dijadikan bilik darjah dan diberikan nama Sekolah Ming
Tee atau ‘Ming Tee Primary School’.
Pada
awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai seorang murid. Semakin lama,
jumlah muridnya meningkat ke 170 orang. Apabila bangunan gereja tersebut tidak
dapat lagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah, bangunan baharu
telah dibina hasil kutipan derma daripada orang-orang tempatan. Selepas
pendudukan Jepun tamat pada tahun 1945, pada tahun 1946, sekolah tersebut
diperbaiki semula dan dilengkapkan dengan peralatan-peralatan yang diperlukan.
Pada tahun 1949 pula, sekolah ini telah menerima derma daripada sekumpulan
mubaligh Methodist sebanyak RM 5000 untuk membina bangunan baru. Bilangan murid
pada masa itu ialah 250 orang dan bilangan guru ialah 8 orang.
Pada tahun 1964, sekolah
ini telah diambil alih oleh kerajaan. Maka, kebanyakan perbelanjaan sekolah ini
adalah ditanggung oleh kerajaan. Pada tahun 1977, 6 buah bilik darjah, sebuah
bilik staf dan sebuah kantin telah didirikan. Selain itu, 4 buah tandas lelaki
dan 5 buah tandas perempuan yang dibuat daripada simen juga telah dibina. Pada
penggal ketiga pada tahun 1986, sebuah bangunan lama telah digantikan dengan
bangunan baru yang dibuat daripada setengah kayu dan setengah simen. Bangunan
baru tersebut mempunyai sebuah bilik staf, sebuah perpustakaan dan sebuah bilik
sumber sekolah. Pada
tahun 1991, tingkat bawah bangunan baru yang kosong dibuat bilik pemulihan dan
dewan sekolah dan pagar sekolah baru berdawai dibina.
Guru Besar pertama sekolah
ini ialah Encik Ting Su Mui. Guru-guru Besar yang seterusnya pula hanya
menjawat jawatan sebagai Guru Besar dalam tempoh masa 6 bulan hingga 4 tahun.
Pada bulan Ogos 1995, Puan Lee Leh Choo telah ditugaskan untuk menjawat jawatan
Guru Besar hingga sekarang. Sepanjang tempoh beliau menjadi guru besar hingga
sekarang, pembangunan infrastruktur sekolah giat dilakukan. Antaranya ialah
pembinaan bangunan sekolah tiga tingkat (siap pada Julai 2002), pembinaan
sebuah stadium berbumbung (siap pada Mac 2004), projek mendirikan pagar
bersimen dan pintu gerbang sekolah (siap pada Oktober 2004) dan pembinaan
tempat meletak kereta di luar sekolah (2012).
Antara kemudahan lain yang
dibangunkan di SJK (C) Ming Tee ialah sekolah ini telah mewujudkan bilik
bimbingan dan kaunseling untuk memberi bantuan kepada murid yang memerlukan
bantuan, mewujudkan Bilik Operasi untuk melicinkan pengurusan KSSR di SJK (C)
Ming Tee, mewujudkan Bilik Pemulihan supaya murid yang memerlukan bantuan khas
dalam pembelajaran mempunyai suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa dan
sekolah ini telah mewujudkan kemudahan ‘wireless’
untuk memudahkan kerja pengurusan dan pentadbiran, serta untuk mewujudkan
suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dan kondusif.
Cogan
kata SJK(C) Ming Tee ialah “Sehati Sejiwa Ke Arah Kecemerlangan”. Visi sekolah
pula adalah “Organisasi Sekolah Yang Beribawa dan Unggul Serta Bermuafakat
Dengan Sehati Sejiwa Dalam Semua Aspek Perkhidmatan Pendidikan”. Misi sekolah
pula ialah “Memastikan Pengurusan Semua Aspek Perkhidmatan Pendidikan Di
Peringkat Sekolah Yang Melibatkan Semua Warga Sekolah Dilaksanakan Secara
Paling Berkesan Dengan Sehati Sejiwa Ke Arah Kecermelangan Untuk Mencapai Matlamat
Pendidikan”. Untuk tambahan, sekolah ini mempunyai etos SKJ (C) Ming Tee juga
iaitu, “Keutuhan Warga SJK (C) Ming Tee Secara Sehati Sejiwa Ke Arah
Kecemerlangan Dalam Aspek Pengurusan Alam Sekitar Yang Mampan Ke Arah
Pembangunan Modal Insan Berminda Kelas Pertama Demi Mencapai Matlamat
Mewujudkan Sekolah Dalam Taman Bagi Melahirkan Murid Yang Cemerlang, Gemilang
Dan Terbilang.”
*Sekolah
ini tidak memiliki lencana dan bendera sekolah
3.0
PENJELASAN TENTANG PROGRAM ATAU PROJEK
BERIMPAK TINGGI YANG DILAKSANAKAN UNTUK MEMBANGUNKAN KECEMERLANGAN SEKOLAH
Berdasarkan kajian yang dijalankan di
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ming Tee, Meradong, didapati terdapat pelbagai
program yang berimpak tinggi dilaksanakan di sekolah tersebut yang sememangnya
telah memberi impak yang besar kepada kecemerlangan sekolah. Didapati sekolah
ini amat menekankan tentang kesihatan para murid dan kebersihan sekolah. Hal
ini kerana program-pogram yang dijalankan berunsurkan kesihatan dan kebersihan
sekolah. Sebagai contoh, program Kebersihan Gigi, Sekolah Bebas Dadah, Amalan
Pemakanan Yang Sihat, Program Cara Hidup Sihat, Program SERASI dan sebagainya.
(sila rujuk lampiran di belakang berkenaan program-program khas sekolah).
Selain itu, terdapat juga program yang memfokuskan kepada kecemerlangan
akademik murid seperti Program Kad Akses Kendiri yang bertujuan untuk
mewujudkan Alat Bantu Mengajar yang berkesan bagi murid di sekolah tersebut. Di
samping itu juga, Program Nilam, Program Anak Angkat, Program Bestari dan
banyak lagi program yang lain dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memastikan
akademik murid akan sentiasa terjaga dan sentiasa mendapat perhatian lebih
daripada sekolah. (sila rujuk lampiran di belakang berkenaan dengan
program-program sekolah).
Hasil temu bual yang
dijalankan bersama pihak sekolah mendapati program yang dijalankan memberi
impak yang besar kepada para murid sekolah tersebut. Memandangkan bilangan murid
di SJK (C) Ming Tee tidak begitu ramai, maka perlaksanaan program tersebut
mendapat kerjasama yang baik daripada murid, guru dan pihak PIBG. Kerjasama
yang baik inilah yang telah menyebabkan kecemerlangan sekolah ini dapat
ditingkatkan maka tidak hairanlah apabila banyak anugerah-anugerah yang
diterima oleh sekolah ini sebagai contoh Anugerah Lestari - Pensijilan Alam
Sekitar Peringkat Kebangsaan. Dalam program Sekolah Lestari, sekolah ini telah menghasilkan
enzim mereka yang tersendiri. Antara program-program lain yang dijalankan dalam
Program Sekolah Lestari ialah Program Seorang Pelajar Sepohon Pokok dimana setiap
murid mempunyai sepohon pokok, projek menanam sayur-sayur dan buah-buahan tempatan
ditanam di kawasan sekolah dan akhir sekali ialah penghasilan kompos. daripada
daun dan batang pokok yang dicantas.
Daripada aspek akademik
murid, mulai tahun 2013, pihak sekolah telah melaksanakan Program Sarana
Sekolah dan Sarana Ibu bapa dalam pencapaian akademik sekolah dan kokurikulum
sekolah. Sarana sekolah menyaran supaya sekolah menjadi penggerak utama dalam
meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam komuniti dan pembelajaran anak.
Semangat kekitaan dan interaksi sesama ibu bapa dengan warga sekolah telah
dipupuk dan digalakkan. Perlaksanaan program ini sebenarnya telah mendatangkan
faedah kepada murid dan ibu bapa. Dengan melibatkan ibu bapa, keciciran sekolah
dapat dielakkan dan murid mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk belajar.
Dalam bidang akademik ibu bapa telah bekerjasama dengan pihak sekolah untuk
menetapkan sasaran peratusan kuantiti dan kualiti kelulusan Tahun 4, 5 dan 6.
Kecemerlangan sekolah ini dalam
aspek alam sekitar, akademik dan kokurikulum mememang tidak dapat dinafikan.
Program-program yang lain juga turut memberi impak namun program alam sekitar
inilah yang menunjukkan kecemerlangan sekolah yang jelas. Justeru itu, sekolah
ini sememangnya mempunyai banyak program-program yang berimpak tinggi serta
memberi kecemerlangan kepada sekolah khasnya.
4.0
PENILAIAN DAN JUSTIFIKASI TENTANG
KEBERKESANAN USAHA-USAHA UNTUK MENGEKALKAN KEBERSIHAN DAN KEINDAHAN SEKOLAH
Kebersihan dan keindahan sekolah
adalah satu aspek penting dalam sekolah. Tidak dinafikan kecemerlangan sekolah
ini sebenarnya banyak dibantu oleh aspek alam sekitar sekolah. Hakikatnya
SJK(C) Ming Tee cukup terkenal di daerah Sarikei mahupun Bintangor kerana
kecemerlangan sekolah ini mengekalkan status sekolah dalam taman. Melangkah
kaki ke sekolah ini didapati sekolah sememangnya menggambarkan status yang
dipegangnya itu.
Di sekolah ini, terdapat
Program Sekolah Lestari. Antara program-program yang dijalankan dalam Program
Sekolah Lestari ini ialah Program Seorang Pelajar Sepohon Pokok dimana setiap
murid mempunyai sepohon pokok. Tujuan program ini adalah untuk memupuk dan
menyemai sikap cinta akan alam sekitar pada murid. Sayur-sayur dan buah-buahan
tempatan ditanam di kawasan sekolah. Tujuannya adalah untuk menghijaukan
kawasan sekolah dan memupuk sifat jimat cermat di kalangan warga sekolah. Akhir
sekali ialah penghasilan kompos. Kompos dihasilkan daripada daun dan batang
pokok yang dicantas. Daun dan dahan pokok yang dikumpulkan dalam tong sampah
dawai akan dibiarkan berhujan dan berjemuran di bawah matahari. Kemudian, bahan
tersebut akan dipijak supaya menjadi padat dan ditutup dengan kain kanvas untuk
menjalani proses fermentasi. Selepas 3 hingga 6 bulan, kompos akan terhasil.
Sekolah ini juga terkenal
dalam penghasilan enzim. Enzim yang digunakan tersebut adalah bersifat organik
malah pihak sekolah menggunakan enzim tersebut di sekitar sekolah sebagai
contoh untuk mengurut murid, bahan pencuci dan banyak lagi. Sekolah ini
menghasilkan pelbagai jenis enzim yang digunakan dalam sesi persekolahan. Maka
tidak hairanlah jika sekolah ini dianugerahkan Anugerah Khas Elemen Khas
(Penghasilan Enzim) dalam Program Sekolah Lestari.
SJK(C)
Ming Tee banyak menerima bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam
mengekalkan keindahan dan kebersihan sekolah. Kawasan luar sekolah ini telah
diitanam dengan pelbagai pokok palma dan tumbuhan-tumbuhan lain yang
menceriakan dan mengindahkan sekolah.
Persekitaran sekolah juga ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan ditambah lagi
dengan mural-mural dan arca-arca yang berunsurkan alam sekitar. Berdasarkan
temu bual, pada tahun 2003 pihak sekolah telah mendapat peruntukan sebanyak
RM70 000 untuk projek keceriaan sekolah. Dibawah projek tersebut, kawasan sekolah
telah diberikan dua pondok/gazebo , sebuah air terjun buatan, sebuah lorong
reflexologi serta ditanami pelbagai pokok bagi menceriakan dan mengindahkan
sekolah. Pemandangan yang indah inilah yang menjadi salah satu faktor pendorong
untuk menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik kepada warga
pendidik dan murid sekolah tersebut. Berikut merupakan pengiktirafan dan
anugerah yang diterima berkenaan dengan kebersihan dan keceriaan sekolah.
TAHUN DIPEROLEHI
|
PERKARA/ TAJUK ANUGERAH/ PENGIKTIRAFAN
|
2005
|
|
2006
|
|
2007
|
·
Anugerah Sekolah
Cemerlang
|
2007/2008
|
|
2009
|
|
2009/2010
|
|
2011/2012
|
Anugerah
Lestari-Pensijilan Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan:
|
5.0
PERBINCANGAN IDEA-IDEA YANG RASIONAL
TENTANG MENGAPAKAH SEKOLAH SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN YANG PERLU DIBANGGAKAN
Menurut pemerhatian kami di SJK (C) Ming
Tee, sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang cemerlang dimana ianya pernah
menerima beberapa kali anugerah sebagai sebuah sekolah yang cemerlang. Untuk
menjadi sebuah sekolah yang cemerlang, tidak dapat dinafikan bahawa muridnya
mestilah cemerlang dari segi akademik, kokurikulum dan juga sahsiah mereka.
Warga sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan murid yang
cemerlang demi menjaga nama baik sekolah. Terdapat banyak usaha yang telah
dilaksanakan oleh warga sekolah untuk melahirkan murid cemerlang dari segi
kurikulum dan kokurikulum. Dalam masa yang sama, SJK (C) Ming Tee juga berusaha
bersungguh-sungguh dalam membentuk sahsiah murid-murid. Dalam melahirkan murid
yang cemerlang di sekolah ini, pihak sekolah telah mengadakan pelbagai jenis
program dan aktiviti. Warga sekolah, ibu bapa dan murid sendiri memainkan
peranan masing-masing dalam membantu menjayakan program dan aktiviti yang telah
dilancarkan.
Mulai tahun 2013, pihak
sekolah telah melaksanakan Program Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa dalam
pencapaian akademik sekolah dan kokurikulum sekolah. Sarana sekolah menyaran
supaya sekolah sebagai penggerak utama dalam meningkatkan penglibatan ibu bapa
dalam komuniti dan pembelajaran anak. Semangat kekitaan dan interaksi sesama
ibu bapa dengan warga sekolah telah dipupuk dan digalakkan. Pelaksanaan Program
Sarana Ibu Bapa mendatangkan faedah kepada murid dan ibu bapa. Dengan
melibatkan ibu bapa, keciciran sekolah dapat dielakkan dan murid mempunyai
motivasi belajar yang lebih tinggi. Ibu bapa juga berpeluang untuk mengetahui
kaedah membantu anak di sekolah. Dalam bidang akademik, ibu bapa telah
bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menetapkan sasaran peratusan kuantiti
dan kualiti kelulusan untuk Tahun 4, 5 dan 6. Menurut temu bual bersama pihak
sekolah, terdapat ramai bekas murid yang cemerlang dan insan berkualiti
dilahirkan oleh sekolah ini sehinggakan mereka mampu memegang profesion tinggi
pada hari ini. Sebagai contoh, Lu Siew Chui yang mendapat 7A dalam keputusan
UPSR dulu, kini telah meneruskan pengajiannya di universiti dalam bidang doktor
gigi, Wong Ba Huay seorang murid lelaki yang mendapat 6A pula telah menamatkan
pengajiannya dan bekerja sebagai seorang doktor dan Kiew Kwong Rong juga
merupakan seorang murid yang cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum dan
kini telah menjadi seorang doktor yang berjaya. Terdapat ramai lagi murid yang
cemerlang dan kini telah menjadi seorang insan yang berjaya.
Selain daripada bidang
akademik, dalam bidang sukan ibu bapa anak murid turut menghulurkan bantuan
kepada sekolah dalam melahirkan murid cemerlang. Ibu bapa telah menjadi sebagai penolong
jurulatih dalam beberapa bidang sukan. Hal ini kerana terdapat segelintir ibu
bapa yang mahir dalam sesetengah sukan dan pernah menjadi wakil pemain. Ini
bukan sahaja dapat meringankan bebanan guru manakala juga membolehkan pihak ibu
bapa lebih memahami cara melatih murid dan semangat kekitaan disemai secara
tidak langsung. Program ini dengan jelasnya telah mampu menunaikan hasrat
sekolah dalam melahirkan murid cemerlang. Ini disebabkan menurut laporan
pencapaian kokurikulum tahun 2014, sekolah ini telah mampu melahirkan murid
untuk menjadi wakil pemain sehingga ke peringkat bahagian, daerah, negeri dan
kebangsaan. Dalam pertandingan Catur antarabangsa murid yang bernama Ernest
Ling telah menjadi sebagai wakil kebangsaan dan mendapat tempat ke-14. Dalam
permainan bola baling pula, SJK (C) Ming Tee juga berjaya melahirkan dua
pasukan sebagai wakil daerah iaitu satu pasukan perempuan dan satu pasukan
lelaki. Bukan itu sahaja, SJK (C) Ming Tee turut menghantar wakil untuk
mengikuti pertandingan Bola Jaring, Bola Tampar, Bola Keranjang dan Badminton.
Sebagai seorang murid yang
cemerlang bukan hanya perlu cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum malah
mereka juga harus memiliki sahsiah diri yang terpuji. Bagi aspek sahsiah murid,
sikap positif dan disiplin yang baik telah disemai dengan amat ketara di
kalangan murid sekolah Ming Tee. Beberapa Program HEM telah dilaksanakan
sebagai usaha melahirkan murid yang bersahsiah tinggi. Pelaksanaan program
bertujuan untuk memupuk sikap mendisiplinkan diri sendiri di kalangan murid.
Program HEM merangkumi Program Gigi Saya Bersih, Program Saya Tidak Petik
Bunga, Program Saya Benci Sampah, Program Berdoa dan Bersyukur Kepada Tuhan
serta Program Bebas Denggi. Program tersebut dipantau oleh guru bertugas harian
dan direkodkan. Selain itu, Program Penyayang Sekolah juga telah dilaksanakan
dengan sepenuhnya di sekolah kami. Guru bertugas perlu bertugas di depan pagar
sekolah sebelum dan selepas waktu persekolahan supaya dapat bertegur sapa
dengan murid dan mengemaskan pakaian mereka. Semua guru juga sentiasa bercakap
baik dengan murid dan menasihati murid dengan baik jika mereka melakukan
kesalahan.
Tuntasnya, dengan jelas
sekali menunjukkan bahawa kesemua usaha yang telah dilaksanakan oleh warga
sekolah ini telah berjaya melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik,
kurikulum dan sahsiah peribadi murid. Secara rasionalnya, murid yang cemerlang
akan mampu menjadikan sekolah ini sebagai institusi pendidikan yang
dibanggakan.
6.0
PENUTUP
Kesimpulannya, daripada dapatan kajian
kami, kami mendapati pihak pengurusan dan guru-guru SJK (C) Ming Tee
sememangnya komited dengan pengurusan aspek-aspek perkhidmatan pendidikan
sekolah ini. Dengan semangat ini, SJK (C) Ming Tee pastinya dapat menjadi
sebuah sekolah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di masa depan, di
samping dapat merealisasikan aspirasi Negara.