SEKOLAH KEBANGSAAN ABANG AMIN
SEBAGAI SEBUAH INSTITUSI PENDIDIKAN YANG BOLEH DIBANGGAKAN.
- 1.0 PENGENALAN
Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning) merupakan satu kaedah dalam pengajaran dan
pembelajaran. Secara spesifiknya, kaedah ini juga digunakan dalam mata
pelajaran sejarah. Dalam perkembangan pembelajaran terkini berasaskan kumpulan
kerja dalam menghasilkan sesuatu projek yang bermutu dan efisien sering dirujuk
kepada keberkesanan pengurusan dan kaedah yang digunakan. Pembelajaran
Berasaskan Projek ini kini dikembangkan kerana kaedah ini lebih efektif dalam
penyelesaian permasalahan berkaitan pembangunan gerak kerja projek dan terbukti
dalam membantu sistem pendidikan menghasilkan suatu konsep pembelajaran yang
sangat efisien.
Justeru, bertitik tolak kepada
konsep dan keberkesanan kaedah ini, Pembelajaran Berasaskan Projek merupakan
salah satu kursus wajib bagi PISMP Pengajian Sejarah Semester 4. Dalam kursus
ini, satu tugasan berkaitan projek kajian lapangan sejarah sekolah
diperuntukkan bagi memenuhi kehendak proforma. Maka, kajian dijalankan ke atas
beberapa buah sekolah terpilih yang berhampiran dengan IPG Kampus Rajang. Tema
dan tajuk kajian ditetapkan iaitu bagi mengkaji sejauhmana sesebuah sekolah
mampu diklasifikasikan sebagai satu institusi pendidikan yang dibanggakan.
Kumpulan kami telah memilih SK Abang Amin, Bintangor sebagai kawasan kajian.
Maka, bagi mengkaji tajuk tersebut,
beberapa maklumat perlu untuk diperolehi dan dianalisis iaitu sejarah penubuhan
sekolah, program-program berimpak tinggi yang dilaksanakan merangkumi aspek
kurikulum dan kokurikulum, menjustifikasi keberkesanan usaha-usaha yang
dijalankan bagi mengekalkan kebersihan dan keindahan sekolah, dan mengemukakan
idea-idea rasional yang memaparkan SK Abang Amin mampu menjadi salah sebuah institusi pendidikan yang mampu
dibanggakan. Dalam pelaksanaannya, beberapa langkah dan kaedah kami gunakan
dalam memperolehi maklumat yang diperlukan. Antaranya adalah penggunaan
instrumen pengumpulan data yang terdiri daripada pemerhatian, senarai semak,
borang soal selidik dan temubual. Pada masa yang sama, hasil akhir tugasan
adalah berbentuk pendokumentasian bergambar, video, laporan esei dan
bahan-bahan berkaitan seperti brosur dan buku skrap.
Konklusinya, pembelajaran berasaskan
projek memerlukan komitmen yang tinggi untuk dilaksanakan. Namun, kaedah ini
memberikan pengetahuan dan pengalaman sebenar kepada pelajar serta memantapkan
lagi aspek-aspek kemahiran komunikasi serta kemahiran sosial para guru.
- 2.0 HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN
2.1
Sejarah
Penubuhan Sekolah, Visi Dan Misi Sekolah.
2.1.1 Asal-Usul SK Abang Amin
Seorang tokoh yang sangat berpengaruh di kawasan
Binatang, Abang Amin Bin Abang Bujang telah ditugaskan oleh pemerintahan
British menjadi ketua menjaga keamanan sekitar kawasan Binatang. Beliau
mempunyai susuk tubuh yang tegap, tinggi, lampai, kuat serta dipercayai kebal
(tidak lut senjata). Oleh yang demikian, beliau sangat-sangat disegani oleh
masyarakat sekelliling.
Beliau dipercayai berasal dari Kuala
Saribas Bahagian Sri Aman. Beliau merantau bersama keluarga dan menetap sekejap
di Sarikei. Tidak lama selepas itu, beliau bersama-sama pengikutnya cuba
membina kampong di Stubah. Memandangkan Tanah di situ tidak berapa sesaui untuk
bercucuk tanam, maka mereka berpindah pula ke Bunut (kira-kira 8 Kilometer dari
pekan Bintangor sekarang). Tetapi atas arahan British mereka terpaksa berpindah
lagi ke Binatang. Di Kampong Binatang ini mereka cuba membina penghidupan baru
dengan diketuai oleh Abang Amin Bin Abang Bujang.
Abang Amin Bin Abang Bujang
mempunyai seorang isteri yang sangat setia dan berbudi tinggi. Mereka telah
dikurniakan dengan beberapa orang anak. Salah seorang daripada anak beliau yang
bernama Dayang Keng telah berkahwin dengan seorang Native Officer iaitu Tun
Haji Matahir (Nama asal SK Abang Haji, Matahir Sarikei). Abang Amin Bin Abang
Bujang telah meninggal dunia di Kampung Binatang (tarikhnya tidak dapat
dipastikan) dan dikebumikan di Bunut. Untuk mengenang jasa bakti beliau itu,
maka pada tahun 1935 penduduk Kampong mendirikan sekolah secara bergotong
royong bersempena nama beliau.
Pada mulanya, sekolah dibuat
daripada atap daun nipah. Penduduk Kampong beramai-ramai bersekolah di situ.
Ketika itu syarat kemasukan sekolah adalah bebas. Masa belajar diatur pada masa
petang sahaja. Pada paginya murid-murid sekolah membantu ibubapa mereka menorah
getah dan bertanam padi. Pelajaran yang diajar pula adalah jawi dan rumi. Guru
pertama mengajar di sekolah tersbeut bernama Cikgu Abang Haji Abdul Wahab bin
Abang Haji Bahak berasal dari Kuching. Pada mula pembukaan sekolah, lebih kurang
empat puluh orang murid telah mengikuti kelas kelas yang diadakan di tempat
sementaranya, di Masjid Kampung. Selepas tiga bulan, mereka berpindah pula ke
bangsal sekolah (bangunan sekolah terawal). Beberapa tahun kebelakangan,
penduduk kampung semakin bertambah besar, begitulah juga dengan bilangan murid
sekolah. Oleh sebab bangsal sekolah atap tidak dapat menampung jumlah murid
yang terlalu ramai, maka bangsal sekolah atap itu terpaksa diperbesarkan lagi.
Dalam tahun 1938, bangunan sekolah
atap dipindahkan lagi ke tempat sekarang ini. Tertubuhnya sekolah ini pada
tahun 1935 hanya masyarakat Melayu sahaja yang mendapat perkhidmatannya.
Tambahan pula nama sekolah ini ketika itu ialah Sekolah Melayu Abang Amin,
Binatang. Pada tahun 1946, pihak Majlis Daerah Binatang mula mengambil alih
tugas mengendalikan pengurusan pentadbiran sekolah ini. Pada ketika itu juga
nama sekolah ini disebut Sekolah Abang Amin, Binatang (Abang Amin School,
Binatang). Masyarakat Iban yang tinggal berdekatan mengambil oeluang menimba
ilmu di sini. Tetapi setelah berpindah ke sekolah tersebut pula. Justeru itu,
tinggalah hanya penuntut Melayu belajar di sini.
Dalam tahun 1973, sekolah ini sekali
lagi menerima perubahan apabila ia mengambil alih oleh kerajaan sepenuhnya.
Oleh yang demikian nama sekolah ini menjadi Sekolah Rendah Kerajaan Abang Amin,
Bintangor. AS.517, Meradong.
2.1.2 Visi Dan Misi Sekolah

VISI
"Pendidikan
Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"
MISI
"Melestarikan
Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi
Memenuhi Aspirasi Negara"

VISI
Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah
Kebangsaan Abang Amin merupakan unit yang memberi perkhidmatan berkualiti
secara menyeluruh dan berkesan
MISI
Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan
penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh menyediakan perkhidmatan membantu murid dari aspek pengayaan,
pengembangan, pencegahan dan pemulihan untuk mempertingkatkan pengetahuan,
ketrampilan, kemahiran, konsep kendiri positif dan jati diri dari aspek jasmani
dan rohani.
2.2
Program
Kurikulum Dan Kokurikulum Yang Berimpak Tinggi
Kurikulum
merupakan satu elemen penting dan sangat utama dalam sistem pendidikan di
Malaysia di samping aktiviti Kokurikulum yang menyokongnya. Berdasarkan kepada
hasil temubual bersama pihak pengurusan sekolah yang terdiri daripada Guru
Besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan
Guru Penolong Kanan Kokurikulum, dokumentasi pencpaian dan penglibatan sekolah
serta pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah,
beberapa maklumat diperolehi bagi menganalisis program-program kurikulum dan
kokurikulum yang berimpak tinggi kepada sekolah secara keseluruhan dan kepada
semua murid khususnya.
Dalam
aspek kurikulum, pencapaian akademik dan program-program berbentuk akademik
menjadi fokus utama. Merujuk kepada situasi semasa iaitu keputusan ujian
peperiksaan sekolah dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi 3 tahun ke
belakang, sekolah mengalami sedikit kemerosoton. Justeru, pihak sekolah
mengambil beberapa langkah dalam usaha melonjakkan prestasi sekolah kepada
tahap yang dikehendaki. Pertama, pihak sekolah melaksanakan kelas tambahan
intensif dan berfokus khusus kepada murid tahun 6 bagi memastikan mereka mereka
mampu dan berjaya mencapai tahap cemerlang dalam UPSR. Kelas tambahan intensif
dan berfokus ini dilaksanakan selepas waktu persekolahan yang memaparkan
kesungguhan dan kegigihan para guru dalam memastikan kemenjadian murid dalam
akademik.
Di
samping itu, bagi memulihkan keadaan penurunan dalam keputusan akademik,
program motivasi dilaksanakan oleh Guru Kaunseling sekolah. Program motivasi
ini bertujuan mengembalikan semula semangat murid dalam mencapai kecemerlangan
di samping mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan murid. Permuafakatan
bersama ibu bapa murid juga dilaksanakan. Program permuafakatan ini adalah
bertujuan agar ibu bapa sentiasa cakna akan prestasi pencapaian akademik anak
masing-masing. Maka, dengan cara ini, bukan sahaja prestasi murid mampu
ditingkatkan, namun prestasi akademik sekolah secara keseluruhan turut mampu
ditingkatkan.
Selain
itu, SK Abang Amin turut melaksanakan Minggu Matematik, Bulan Bahasa dan
Sambutan Hari Kemerdekaan. Sebagaimana sekolah-sekolah rendah yang lain,
sambutan bulan kemerdekaan pada setiap bulan Ogos sehinggalah bulan September merupakan satu sambutan yang mampu memupuk
semangat patriotisme dalam kalangan murid. Manakala, Minggu Matematik dan Bulan
Bahasa yang diadakan bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap
mata pelajaran yang berkaitan, namun program tersebut diadakan selaras dengan usaha
memperbaiki aspek literasi dan numerasi (LINUS) murid.
Selain
Program dalaman sekolah, SK Abang Amin turut aktif dalam penyertaan program
kurikulum dalam konteks luar sekolah. Antaranya seperti Majlis Tilawah Al-Quran
(MTQ) dan story telling competition.
SK Abang Amin juga merupakan tumpuan kepada pelaksanaan beberapa program khas.
Contohnya, Program Khas Bersama Siswa Siswi Universiti Sains Malaysia, Program
Bersama YB N.36 Semop dan Program Kecemerlangan Bersama Guru Cemerlang SK Kpg
Nangka, Encik Ismail Hj Juhaili. Program-program khas ini adalah untuk
menyuntik semangat murid dalam meningkatkan keyakinan diri serta sentiasa
berusaha mencapai kecemerlangan secara menyeluruh. SK Abang Amin tidak
ketinggalan dalam menyertai progrm anjuran pihak Jabatan Pendidikan Daerah
Meradong seperti Program Motivasi secara berperingkat, Program Galus (Gagal dan
Lulus) serta program kecemerlangan secara berperingkat. Pada masa yang sama,
panitia turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program kurikulum berimpak
tinggi ini iaitu menjalankan program pemulihan dan pengayaan dalam mata
pelajaran yang kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Sekolah
Abang Amin merupakan salah sebuah sekolah yang memberi banyak memberi sumbangan
dalam bidang sukan kerana mampu melahirkan modal insan yang aktif dan sihat.
Melalui kegiatan kokurikulum, SK Abang Amin telah mengadakan pelbagai aktiviti
dan program yang berimpak tinggi untuk permainan badminton, takraw dan bola
jaring. Selain itu, SK Abang Amin juga menjalankan aktiviti kokurikulum pada
setiap petang hari Khamis. Selain itu, sukan olahraga juga tidak ketinggalan
dijalankan di sekolah. Penglibatan aktif sekolah ini telah mencapai peringkat
yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Antara aktiviti dan program yang
berimpak tinggi diadakan di SK Abang Amin ialah Klinik Bola Sepak dan Klinik
Takraw yang dilaksanakan bersama PPD. Klinik ini bertujuan untuk memberi
pendedahan yang lebih lanjut kepada murid-murid tentang kemahiran-kemahiran
dalam bola sepak dan takraw. Di samping itu, klinik ini juga memberi motivasi
kepada murid-murid supaya lebih bersemangat dalam bersukan. Selain itu, Program
Mentor-Mentee yang diadakan untuk murid-murid supaya mereka dapat dibimbing
oleh guru-guru yang mahir dalam bidang yang diceburi. Program ini penting
supaya murid-murid jelas akan hala tuju penglibatan dalam sukan dan dapat
memberi sumbangan kepada negara. Sekiranya diadakan pertandingan pada mana-mana
peringkat, guru akan berperanan sebagai jurulatih kepada murid-murid yang
mengambil bahagian.
Kemudian,
dalam bidang olahraga SK Abang Amin juga terlibat dalam Kejohanan Balapan dan
Padang MSS Bahagian Sarikei ke-40 2014 pada tahun ini dalam acara 200 meter
iaitu adik Mohd. Shahrul Adham b. Abeng. Dalam olahraga juga, sekolah ini
pernah mewakili perikat bahagian dan negeri
pada tahun 2012 sehingga 2013.
Selain itu, terdapat juga wakil yang dihantar dalam kejohanan tersebut bagi
permainan Bola Jaring dan memperoleh
Naib Juara. Dalam kejohanan tersebut, beberapa orang pasukan Bola Jaring SK
Abang Amin telah terpilih mewakili Daerah Meradong iaitu Nuratika bt. Alias,
Nurhayati Bt. Jekeri dan Basirah Bt. Baki. Akhir sekali, SK Abang Amin juga
menghantar seorang pemain badminton dalam kejohanan tersebut iaitu adik
Sharifah Daniamalyana Bt. Wan Deros. Murid-murid di sekolah ini sangat berbakat
kerana mereka telah dilatih dan terlibat dengan sukan secara aktif sejak Tahun
3 lagi. Oleh itu, guru-guru SK Abang Amin sangat memberi galakkan kepada
murid-murid untuk bergiat dalam bidang sukan.
Di samping itu, aktiviti kokurikulum
juga diadakan pada setiap petang. Ini juga mampu menaikkan semangat murid-murid
dalam belajar dan menceburi bidang baru. Kemahiran murid juga dapat
ditingkatkan dan dipelbagaikan supaya mempunyai kebolehan dan kecekapan dalam
melakukan pelbagai perkara. Sistem Kokurikulum SK Abang Amin terbahagi kepada
tiga sama seperti sekolah lain iaitu Unit Beruniform, Kelab atau Persatuan dan
Sukan atau Permainan. Dalam Unit Beruniform terdapat Persatuan Bulan Sabit Merah
(PBSM), Pengakap, Tunas Puteri dan TRKS. Manakala Kelab atau Persatuan pula
dalam bidang Seni Budaya / Rukun Negara, Pendidikan Islam, Perpustakaan, dan
Akademik seperti Bahasa Melayu, Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Seterusnya, Sukan atau Permainan pula dalam sukan bola sepak, bola jaring,
olahraga dan badminton.
Implikasinya, kegiatan
kokurikulum telah mewujudkan peluang yang seluasnya kepada murid dan guru untuk
menyertai kegiatan kokurikulum yang diminati oleh mereka.
Di samping itu, sekolah juga
mengadakan aktiviti yang melibatkan murid, guru dan masyarakat luar dalam
beberapa program. Antara program yang diadakan adalag seperti Senamrobik
Serentak 1 Murid 1 Sukan, Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena
Bulan Kemerdekaan ke 55, Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell, Perkhemahan
Unit Beruniform, dan Merentas Desa. Selain itu, terdapat juga program Majlis
Permuafakatan Guru dan Ibu Bapa, Program Guru Penyayang dan Motivasi Tahun 6.
Selain itu, terdapat juga aktiviti sampingan yang membezakan SK Abang Amin
dengan sekolah-sekolah lain adalah seperti mengalu-alukan kedatangan murid dan
menghantar murid balik di pintu pagar sekolah, memberi hadiah sebagai galakan
kepada murid-murid yang berjaya selepas ujian dijalankan dan perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling. Program-program ini sangat penting kerana dapat
memberi galakkan kepada murid untuk menceburi pelbagai bidang agar dapat
membantu menghadapi cabaran hidup era teknologi kini di samping mengeratkan
hubungan baik antara guru dan murid serta masyarakat sekitar. Dengan ini, murid
akan berperibadi mulia dan mempunyai sahsiah yang cemerlang.
Hasil temubual bersama En Jahari bin
Ini, PK Kokurikulum SK Abang Amin, beliau berharap dapat melahirkan pelajar
yang bergiat aktif dalam sukan agar dapat bersukan ke peringkat yang lebih
tinggi. Bakat murid-murid juga tidak sia-sia dipupuk sejak Tahun 3 lagi. Oleh
itu, bakat itulah yang membawa mereka ke peringkat yang lebih baik berbanding
sekarang. Pada pendapat beliau, daripada pelbagai program yang diadakan, SK
Abang Amin telah melahirkan modal insan yang penyayang. Ini terbukti apabila
budaya bersalaman antara guru dan murid diamalkan sehingga ke hari ini. Murid
menunjukkan rasa hormat kepada guru mereka sebagai pendidik. Ini menunjukkan,
hasil daripada program kokurikulum telah membantu guru untuk mengawal disiplin
murid di sekolah dan nilai murni dapat diterapkan dalam diri mereka sebagai
bekalan di mana jua mereka berada kelak.
2.3 Justifikasi Keberkesanan Usaha-Usaha
Untuk Mengekalkan Kebersihan Dan Keindahan Sekolah
Konsep 3K (Kebersihan, Kebajikan dan Keselamatan) telah
dilaksanakan di sekolah ini seperti yang dituntut oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia dan sehubungan dengannya. Pendedahan 3K kepada murid di sekolah ini
dilakukan setiap hari waktu pagi semasa perhimpunan sebelum murid-murid
memasuki kelas. Aktiviti sebegini sebagai tanda nasihat dan teguran kepada
murid-murid untuk sentiasa mengekalkan kebersihan dan keindahan kelas dan
persekitaran sekolah khasnya.
Dalam
menggamalkan dan memberi pendedahan berterusan kepada murid-murid SK Abang Amin
ini, tidak akan berjaya jika tiada sokongan yang padu daripada khidmat ibu bapa
kepada murid-murid SK Abang Amin. Program Persatuan Ibu Bapa dan Guru iaitu
PIBG SK Abang Amin telah menjalankan tugas yang aktif dalam pendukung dan
penyokong kepada konsep 3K tersebut. Buktinya setiap kelas tahun akan ada Ahli
Jawatankuasa dalam kalangan ibu bapa yang terlibat dalam memastikan murid-murid
mengutamakan kebersihan, keceriaan dan keindahan kelas dan sekolah. Oleh kerana
staf sokongan keceriaan dan kebersihan SK Abang Amin kebanyakkannya telah
diswastakan maka sukar dan kurang menglibatkan mereka sepenuhnya kerana bukan dibawah tanggungan
pihak sekolah secara keseluruhannya.
Terdapat
beberapa program yang dijalankan oleh pihak sekolah berkenaan konsep 3K
tersebut bagi memastikan persekitaran sekolah bersih, cantik dan ceria. Antara
aktiviti program yang dianjurkan ialah kebersihan antara kelas, menghapuskan
nyamuk AEDES yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau.
Pertandingan keceriaan dan kebersihan antara kelas sangat memberi motivasi
untuk semua murid untuk sentiasa menggamalkan kebersihan kelas setiap masa.
Pertandingan ini dalam Kategori Tahap 1 bagi Tahun 1, 2, dan 3 manakala Tahap 2 bagi Tahun 4, 5 dan 6. Program
sebegini mampu memupuk sikap menjaga kebersihan dalam diri murid masing-masing.
Banyak
lagi program yang pernah dijalankan di sekolah ini seperti Pertandingan kelas
yang tercantik, murid contoh yang bersih dan banyak lagi. Tahap pencapaian
kebersihan di sekolah ini dalam tahap baik dan sederhana. Masih dalam tahap
yang baik di mana penjagaan kebersihan sangat dititiberatkan dan diutamakan
oleh pihak sekolah khasnya dan murid-murid umumnya. Anugerah pencapaian
kebersihan seperti ke peringkat sekolah-sekolah, daerah dan lain-lain tidak
pernah walaubagaimanapun, sekolah ini tetap menitikberatkan konsep 3K tersebut.
2.3
Idea-Idea
Rasional Sekolah Sebagai Institusi Pendidikan Yang Boleh Dibanggakan
Subjektiviti adalah kesaksian atau tafsiran yang
merupakan gambaran hasil parasaan atau pikiran manusia. Ini bermakna,
subjektiviti adalah suatu sikap yang memihak dipengaruhi oleh pendapat peribadi
atau golongan. Maka, dalam membincangkan berkaitan idea-idea rasional sekolah
sebagai sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan, konsep ini
digunakan. Justeru, dalam konteks sekolah sebagai sebuah institusi yang mampu
untuk dibanggakan, SK Abang Amin secara lahiriahnya dan dalam aspek pencapaian
akademik serta kokurikulumnya tidaklah mencapai satu standard yang boleh untuk
dibanggakan bagi pandangan umum. Namun, mengambilkira konsep subjektiviti dalam
kajian sejarah, maka pandangan daripada individu tertentu serta berdasarkan
pemerhatian di sepanjang proses kajian lapangan, maka beberapa kesimpulan dapat
dilaksanakan berkaitan bagaimana SK Abang Amin mampu dibanggakan.
Menurut Guru Besar SK Abang Amin,
Puan Safiah binti Tai, secara fizikalnya, SK Abang Amin bagaikan sekolah biasa.
Namun, aspek kebanggaan yang disentuh oleh Guru Besar adalah aspek kemenjadian
murid yang dilahirkan oleh SK Abang Amin. Hal ini kerana, berdasarkan laporan
prestasi dan maklumbalas daripada beberapa bekas murid sekolah tersebut ,
mereka bukan sahaja melanjutkan di universiti ataupun institusi pengajian
tinggi tempatan, namun bekas murid dari sekolah tersebut juga kini bertugas
sebagai seorang guru, pegawai di jabatan-jabatan kerajaan serta swasta dan
menjadi usahawan yang berjaya.
Demikian juga pernyataan daripada
Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Mohamed Aini Bohari. Guru Penolong Kanan
Pentadbiran menjelaskan bahawa, meskipun dalam aspek pencapaian akademik baik dalam
peperiksaan UPSR mahupun peperiksaan sekolah, prestasi murid adalah kurang
memberangsangkan dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini. Namun, mengimbau kepada
sejarah kegemilangan sekolah ini, SK Abang Amin merupakan sekolah melayu
pertama dan tertua dibina di kawasan Bintangor. Maka, di sepanjang
pengoperasiannya bermula dari tahun 1935, SK Abang Amin telah melahirkan ramai
pemimpin, usahawan yang berjaya, para golongan profesional dan juga melahirkan guru-guru yang akhirnya
berkhidmat kembali di sekolah tersebut. Antara tokoh-tokoh tersebut adalah
Dato’ Hasmi Hasnan yang tersenarai sebagai 40 orang yang terkaya di Malaysia,
Dr. Suli Lamat yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Dr.
Lopi dan ramai lagi. Maka, ikon-ikon seperti inilah yang menjadi kebanggaan dan
sumber semangat murid serta ibu bapa murid SK Abang Amin yang memberikan
sepenuh kepercayaan dalam mendidik serta membentuk anak mereka menjadi modal
insan yang berminda kelas pertama.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid ( PK HEM ), Encik Junatan Jimbun anak Awat, perkara yang menjadikan
sekolah ini mampu dibanggakan adalah disiplin murid yang sentiasa dalam kawalan
meskipun sekolah ini merupakan sekolah yang mempunyai murid paling ramai bagi
Daerah Meradong. Tiada sebarang kes disiplin yang teruk dilaporkan. Demikian
juga dalam aspek berkaitan kehadiran dan komitmen murid terhadap sebarang
aktiviti sekolah yang dijalankan. Hal ini ditambah dengan budaya guru dan
penyayang yang diamalkan oleh warga sekolah. Berikutan pelaksanaan konsep ini
di sekolah, hubungan baik antara guru dan murid yang dilunasi dengan batasan
serta adab yang betul telah menjadikan sistem pentadbiran dan pendidikan di sekolah menjadi lebih mudah. Maka,
meskipun wujud masalah, namun masalah tersebut mampu diselesaikan dengan cara
yang baik.
Pada masa yang sama, borang soal
selidik turut diedarkan kepada para guru dan anggota kakitangan sekolah.
Berdasarkan kepada hasil analisis soal selidik yang diedarkan, beebrapa aspek
kebanggaan pihak sekolah dapat disimpulkan. Pertama, hubungan yang erat
menimbulkan kerjasama yang berkesan dalam kalangan guru. Hal ini kerana sekolah
ini terdiri daripada pelbagai kaum. Selain itu, guru yang berasal dari
semenanjung Malaysia dan guru tempatan, Sarawak sentiasa bekerjasama dan
bergabung dalam melaksanakan tugasan dan tidak timbul sebarang diskriminasi.
Antara sebab yang lain adalah kerana SK Abang Amin merupakan sekolah terbesar
di kawasan Daerah Meradong. Di samping itu, SK Abang Amin boleh dibanggakan
apabila sekolah ini menjadi tumpuan untuk penganjuran aktiviti-aktiviti sekolah
di sekitar kawasan Meradong kerana sekolah ini mempunyai sebuah dewan besar
yang boleh menampung ramai murid atau peserta iaitu Dewan Perdana SK Abang Amin.
Selain daripada pandangan pihak
pentadbiran sekolah, pandangan daripada pihak murid, anggota kakitangan
sokongan serta ibu bapa juga diambil kira. Daripada pandangan murid di SK Abang
Amin, perkara paling membanggakan tentang sekolah tersebut adalah keselesaan
mereka untuk untuk meneruskan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan. Demikian
juga menurut pandangan ibu bapa yang menyatakan kerjasama dan usaha pihak
sekolah adalah sangat komited dalam membantu murid-murid secara keseluruhan
meskipun mereka sedar kekurangan dan kelemahan murid yang ada di sekolah
tersebut. Di samping itu, SK Abang Amin boleh dibanggakan adalah dalam konteks
sekolah yang menjadi tumpuan pihak Pegawai Pentadbiran Daerah Meradong. Ini
kerana, setiap tinjauan dan pemantauan yang berkaitan pentadbiran, akademik dan
pengurusan adalah amat diteliti oleh pihak PPD.
Konklusinya, kebanggaan SK Abang
Amin lebih berfokus kepada budaya, usaha dan semangat yang tinggi di dalam
sekolah tersebut. Secara ironinya, mungkin keadaan itu bukanlah satu
kebanggaan, namun dalam situasi dan keadaan tertentu sebagaimana yang dialami
oleh sekolah ini, perkara tersebutlah yang menjadikan SK Abang Amin sebagai
sekolah yang boleh untuk dibanggakan.
3.0 PENUTUP
Kesimpulannya, SK Abang Amin boleh dilasifikasikan
sebagai salah sebuah institusi pendidikan yang dibanggakan dengan merujuk
kepada keunikan sejarah penubuhan sekolah itu sendiri, aspek kemenjadian murid,
prasarana sekolah yang tidak dimiliki oleh sekolah lain, bilangan murid yang
ramai dengan disiplin yang terkawal, konsep guru penyayang yang membawa kepada
pembentukan modal insan dan kerjasama antara guru pelbagai kaum serta wilayah
tanpa unsur diskriminasi. Meskipun SK Abang Amin tidak menonjol dalam aspek
pencapaian akademik serta kokurikulumnya yang terkini, sejarah penglibatan
murid dalam aktiviti kokurikulum serta pencapaian akademik dalam 8 tahun ke
belakang adalah sangat cemerlang dan merupakan salah satu sejarah sekolah yang
boleh dibanggakan. Hal ini ditambah dengan lahirnya tokoh-tokoh usahawan,
akademik, pendidik dan banyak lagi profesion lain yang lahir dari SK Abang Amin
sebagai tempat bermulanya awal pendidikan mereka. Rumusannya, setiap sekolah
pasti mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Sudut pandang yang
berbeza akan mampu melihat sejauhmana kekuatan sesebuah sekolah tersebut untuk
diklasifikasikan sebagai sebuah institusi pendidikan yang boleh dibanggakan.
Kumpulan :
1. Jurisda binti Risno
2. Rahmah binti Radin
3. Sarwinah binti Sulong
PISMP Sejarah IPG Kampus Rajang Ambilan Januari 2013